ALHAMDULILLAH, kita digamit lagi oleh ketibaan bulan mulia yang dinantikan oleh setiap mukmin iaitu Ramadan Al-Mubarak.
Ibadat puasa difardukan oleh Allah melalui firman-Nya bermaksud : “Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang dulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183)
Puasa adalah ciri paling utama Ramadan, selain ibadat sunat lain seperti solat Tarawih, bertadarus al-Quran dan beriktikaf di masjid pada 10 hari terakhir Ramadan.
Ramadan juga bulan, al-Quran diturunkan bermula daripada Lailatul Qadar, yakni Malam Kemuliaan dan Kebesaran. Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada Lailatul Qadar.” (Surah al-Qadr, ayat 1)
Pada Ramadan kita dianjurkan supaya melipatgandakan amal ibadat untuk manfaat diri sendiri. Namun, falsafah di sebalik anjuran itu sebenarnya amat tinggi, melangkaui batasan dan sempadan seseorang.
Seseorang mukmin apabila dapat melaksanakan amal ibadatnya dengan kesempurnaan, kesannya sebenar akan dapat dirasakan oleh dirinya merentasi kepentingan peribadi semata-mata.
Malah, jika falsafah ini dapat difahami dan dihayati, latihan sepanjang Ramadan ini akan dapat membentuk peribadi bersifat ummah-centric.
Iaitu yang berpaksi dan berteraskan ummah, yang meletakkan kepentingan ummah mendahului dan mengatasi kepentingan peribadinya. Bagaimanakah dapat kita fahami konsep `ummah-centric’ ini?
Puasa difardukan ke atas sekalian mukmin tanpa mengenal batasan usia, harta benda, pangkat, darjat, kedudukan dalam masyarakat.
Apabila menahan diri daripada lapar dan dahaga serta hambatan nafsu sepanjang hari, barulah dapat merasa dan memahami nasib serta penderitaan yang ditempuhi oleh golongan kurang bernasib baik.
Mereka yang fakir miskin, sakit terlantar dan lanjut usia tidak dapat merasakan kenikmatan seperti yang kita kecapi setiap hari. Apa yang lebih menyedihkan, ada berjuta-juta umat Islam di seluruh dunia yang tidak pernah mengenal erti keamanan, kebebasan dan kemerdekaan seperti dinikmati rakyat Malaysia.
Buktinya, pada hari pertama masyarakat Islam di Malaysia menyambut kedatangan Ramadan, kita terus disajikan dengan berita menyayat hati dari Palestin, Iraq dan seluruh pelusuk bumi umat Islam yang dibunuh, ditindas, diceroboh dan dirampas hak mereka dengan sewenang-wenangnya oleh musuh.
Mereka mengharungi kesengsaraan sepanjang masa, sedangkan kita hanya diuji setahun sekali. Itu pun sekadar berlapar dan dahaga pada siang hari. Pada waktu petang dan malamnya ibarat berpesta makanan dan minuman setiap hari.
Kita di sini ibarat `mati’ kekenyangan dalam kemewahan dan kenikmatan, sedangkan mereka di sana mati kebuluran dalam kedaifan dan kemelaratan. Jadi, apakah sebenarnya hikmah kita diwajibkan berpuasa?
Puasa itu sendiri seharusnya menjadikan diri kita sebagai umat Islam bertambah kuat bagi menghadapi cabaran dan rintangan. Jika menelusuri imbasan sejarah, sebenarnya umat Islam banyak menghadapi dugaan yang begitu berat pada Ramadan bermula zaman awal kemunculan Islam.
Perang Badar al-Kubra, persiapan bagi menghadapi Perang Uhud dan Khandak serta pembebasan kota suci Makkah al-Mukarramah daripada tangan Musyrikin Quraisy pada zaman Rasulullah saw.
Kita juga menyaksikan kejayaan Salahuddin al-Ayyubi menewaskan tentera Salibiyyah – semua ini berlaku dalam bulan yang sungguh istimewa, Ramadan al-Mubarak. Oleh itu, ibadat puasa tidak seharusnya dijadikan alasan untuk kita bermalas-malasan.
Sebaliknya, Ramadan perlu dijadikan sumber bagi mencetuskan dan menjana kekuatan ummah. Ramadan seharusnya difahami sebagai bulan keinsafan, muhasabah diri, kasih-mengasihi sesama insan, dan melipatgandakan amal kebajikan.
Bulan ini bukan sekadar untuk kita menjaga dan memelihara hubungan dengan Yang Maha Mencipta, malah harus dilihat sebagai peluang untuk memperbaiki hubungan sesama manusia.
Ramadan tidak seharusnya dimanfaatkan sekadar memenuhi keperluan individu semata-mata, malah dijadikan bulan untuk menggembleng seluruh potensi ummah bagi mencapai kesejahteraan bersama.
Jangan kita jadikan Ramadan ini bulan untuk berlapar dahaga pada siang hari, berpesta dan membazir pada waktu malamnya. Jangan pula kita jadikan bulan ini sekadar latihan bersifat sementara. Hilang Ramadan, maka lenyaplah segalanya.
Usahlah Ramadan ini kita dijadikan bulan persiapan untuk menyambut ketibaan Syawal semata-mata, sedangkan Aidilfitri hanya hasil ganjaran bagi mereka yang taat mengerjakan ibadat sepanjang berpuasa.
Ia bukan matlamat untuk kita berpuasa. Paling utama, janganlah Ramadan ini sekadar bulan di mana kita memperoleh dan melaksanakan segala-galanya, sedangkan saudara sesama Islam yang lain hanya mampu berputih mata.
Perkuatkan tekad dan azam supaya Ramadan ini bukan hanya membawa makna bagi diri kita semata-mata, bahkan memberi erti yang sama kepada umat seluruhnya. Bagaimanakah dapat kita sempurnakan tekad dan azam tersebut? Marilah kita sama-sama kasih-mengasihi, sayang-menyayangi, bantu-membantu dan janganlah berbalah serta bersengketa sesama insan.
Tunjukkan akhlak dan teladan terbaik sepanjang Ramadan ini supaya kita benar-benar akan menjadi contoh ikutan bagi umat sejagat. Marilah kita sama-sama bermuhasabah dan mencari peluang untuk memperbaiki segala kesilapan lampau.
Kita hendaklah berazam untuk tidak mengulanginya, seolah-olah Ramadan ini adalah terakhir buat kita di dunia yang fana ini. Elakkan diri daripada menuruti segala kehendak hawa dan nafsu supaya tidak melakukan pembaziran dan pemborosan.
Perkara ini kerana orang yang membazir dan berlebih-lebihan itu adalah saudara syaitan, sedangkan syaitan itu amat ingkar kepada Tuhannya.
Semoga setiap ringgit yang dijimatkan dapat digunakan ke jalan Allah demi membantu dan membela nasib saudara kita yang ditindas, kurang bernasib baik dan amat memerlukan pertolongan di seluruh pelusuk dunia Islam hari ini.
Hayati firman Allah bermaksud: “Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.”Surah Al-Furqaan, ayat 67)