KEPENTINGAN sektor pertanian dalam kehidupan manusia begitu ketara sejak zaman terawal lagi. Kepentingan peranan pertanian sentiasa diberikan penekanan oleh ahli agronomi dalam buku tulisan mereka.
Antaranya al- Tighnari dari Granada (abad ke-5-6 hijrah/11-12 masihi). Dalam tulisannya, beliau menyatakan bahawa `pertanian membentuk asas sara hidup bagi manusia dan haiwan’.
Dengan itu, ia mendorong `pemeliharaan kehidupan dan keseimbangan rohani’. Bidang pertanian juga menjadi lambang kesejahteraan dan kemakmuran hidup sesebuah bangsa seperti yang disebut dalam banyak ayat al-Quran.
Firman Allah bermaksud: “Demi sesungguhnya! Adalah bagi penduduk negeri Saba’ satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) yang ada di tempat tinggal mereka, iaitu, dua kumpulan kebun (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah kiri (qaryah mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka) : “Makanlah daripada rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepada-Nya; (negeri kamu ini ialah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu ialah) Tuhan yang Amat Pengampun!” (Surah Saba’, ayat 15)
Bidang pertanian yang kini menjadi tumpuan dan sandaran sebagai penggerak utama pertumbuhan ekonomi negara menjanjikan limpahan kemakmuran dan kesejahteraan hidup bagi rakyat. Namun, semuanya tidak mungkin dapat dicapai sekiranya sektor pertanian negara tidak diurus dengan penuh minat, bijaksana dan terancang, selain diberikan sokongan secara sepadu oleh semua pihak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam Bajet 2005 menekankan bahawa kerajaan akan memberikan tumpuan untuk mencorakkan semula sektor pertanian sebagai jentera ketiga pertumbuhan selepas sektor pembuatan dan perkhidmatan.
Dasar ini mempunyai dua objektif iaitu menambah pendapatan, di samping mengurangkan pergantungan pada import, terutama barang makanan. Pelbagai langkah dan strategi disusun bagi memastikan dasar ini dapat dicapai.
Antaranya mengamalkan kaedah pertanian terkini melalui aplikasi teknologi moden dan penemuan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D), termasuk bioteknologi. Menjadikan negara sebagai pusat pemprosesan, pembungkusan dan pemasaran hasil pertanian ke pasaran global serta membangunkan sumber tenaga mahir dengan menjadikan Universiti Putra Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan pertanian.
Langkah lain ialah menggalakkan syarikat swasta, terutama GLC (syarikat berkaitan kerajaan) untuk menjadi pemangkin dalam usaha mengkomersialkan sektor pertanian. Bagi tujuan ini, kerajaan akan mewujudkan satu dana bernilai RM300 juta sebagai bantuan modal.
Tumpuan yang diberikan oleh Malaysia terhadap sektor pertanian kena pada masanya, khususnya kerana keperluan ketara untuk memajukan sektor ini. Ia bagi memenuhi keperluan rakyat, mengelakkan pergantungan pada barang makanan import (import barangan makanan mencecah 13.9 bilion ringgit pada 2003) dan lebih penting, membolehkan Malaysia muncul sebagai pengeluar pertanian teknologi berasaskan teknologi.
Maka, bermula revolusi pertanian yang menetapkan dua matlamat utama, meningkatkan hasil pertanian dan memberikan pendapatan berganda kepada pengusaha atau petani.
Sehubungan itu, Malaysia mula mengorak langkah untuk menggunakan teknologi moden bagi memajukan bidang pertanian negara. Penggunaan teknologi moden dalam bidang ini melalui pelbagai proses sejak ratusan tahun dulu.
Pengalaman negara lain dalam mengaplikasikan teknologi dalam pertanian iaitu dengan berasaskan kaedah tepat dan sesuai, selain penyesuaian ciri tertentu dalam agronomi menunjukkan hasil positif.
Misalnya, hasil tuaian memberikan pulangan yang lumayan dan kerugian hasil tanaman dapat dikurangkan. Nyata, teknologi berperanan penting untuk menjana perubahan dalam bidang pertanian, sama ada untuk meningkatkan pengeluaran, membentuk nilai komersial, meningkatkan kualiti atau selamat digunakan.
Kepesatan pertambahan penduduk dunia dan kemajuan dalam kejuruteraan genetik tanaman pada masa depan mempunyai potensi untuk memenuhi keperluan serta permintaan terhadap makanan yang semakin meningkat.
Melalui penggunaan teknologi lebih terkini seperti bioteknologi, makanan yang memiliki ciri mutu lebih spesifik, misalnya yang menambahbaikkan kandungan pemakanan atau yang dapat membentuk ketahanan terhadap penyakit juga dapat ditanam bagi memberikan lebih manfaat kepada pengguna pada masa depan.
Penyelidikan dalam bidang pertanian adalah satu lagi aspek penting dalam memajukan bidang ini. Ternyata penyelidikan yang dijalankan, termasuk yang membabitkan bidang penyelidikan baru membuka ruang penambaikan bukan saja terhadap rangkaian penghasilan produk dari makmal atau ladang, bahkan meliputi aspek pemasaran dan komersial.
Bagi Malaysia, agensi seperti Mardi dan Fama mencatatkan kecemerlangan dalam bidang penyelidikan pertanian. Ini memberikan kesan besar terhadap kemajuan bidang pertanian negara. Langkah Malaysia mungkin sama hala tujunya dengan apa yang disasarkan oleh Andalusia (Sepanyol) suatu ketika dulu.
Kegigihan, kehebatan dan kegemilangan yang digerakkan oleh rakyatnya membolehkan ia merancang pertumbuhan serta kemajuan bidang agronomi dengan tersusun. Masyarakat Arab, kerajaan itu, misalnya, merintis kajian yang sistematik terhadap kimia tanah dan hakisan tanah (Sepanyol berada di bawah pemerintahan Islam antara kurun ke-8 hingga 15 hijrah).
Beberapa kurun selepas itu, barulah tamadun Eropah mula mengumpulkan jenis pengetahuan botani yang dikembangkan oleh masyarakat Arab Sepanyol dan Afrika. Kemuncak perkembangan bidang agronomi kerajaan itu pada abad ke-5 hingga 7 hijrah/11-13 masihi membawa ia mencapai apa yang dipanggil “revolusi pertanian Andalusia”. Usaha, pengetahuan dan kepentingan yang berbeza-beza digabungkan untuk membawa kemajuan dalam bidang pertanian.
Pertama, pemerintah atau pemimpin yang mengarahkan supaya tumbuh- tumbuhan baru dibawa masuk ke Andalusia bagi disesuaiiklimkan dalam taman botani mereka.
Kedua, penasihat kerajaan yang benar-benar menyedari kepentingan pertanian bagi kemakmuran negara.
Ketiga, pakar undang-undang yang membentuk kerangka undang-undang yang memberikan tafsiran terhadap keperluan sektor yang berkembang maju.
Terakhir, ahli agronomi yang secara umumnya disertai orang yang memiliki pengetahuan yang luas. Mereka mencurahkan segala teori dan amalan praktikal dalam bidang pertanian dalam tulisan mereka.