Harapkan pagar, pagar makan padi – itulah peribahasa Melayu bagi menggambarkan kekecewaan mereka terhadap orang yang bukan sahaja gagal melaksanakan amanah yang diberikan kepada mereka, malah mereka pula yang mensia-siakan amanah tersebut.
Inilah yang berlaku kepada kanak-kanak yang menjadi mangsa rogol, sumbang mahram dan jenayah seksual yang lain. Kanak-kanak merupakan amanah kepada masyarakat dan menjadi tanggungjawab semua ahli masyarakat yang lebih dewasa untuk melindungi mereka.
Malangnya, dalam masyarakat kini, realitinya tidak begitu. Data yang ada menunjukkan bahawa ramai kanak-kanak di Malaysia mengalami penderaan seksual (10 peratus perempuan dan 35 peratus lelaki) dan biasanya pemangsa adalah orang yang sepatutnya melindungi kanak-kanak tersebut.
Bila berlaku kes-kes seperti ini, fokus sering diberikan kepada memberatkan lagi hukuman kerana ramai yang percaya bahawa hukuman yang lebih berat bakal menakutkan penjenayah.
Namun, berdasarkan kekerapan kes yang berlaku, ternyata hukuman bukanlah satu faktor yang menghalang bakal pelaku daripada meneruskan niat jahatnya itu.
Sebaliknya, hukuman tersebut hanya mengubah cara mereka mengendalikan mangsa selepas kejadian tersebut iaitu bunuh dan disembunyikan mengikut cara yang mereka fikir selamat.
Ada juga yang meminta agar ibu bapa sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak mereka. Namun, tidak semua ibu bapa berkesempatan untuk berbuat demikian. Oleh kerana, apabila pagar sudah tidak boleh menjaga padi, padi perlulah menjaga dirinya sendiri. Di sinilah isu mengukuhkan daya atau istilahnya memberdaya kanak-kanak menjadi penting dan perlu diberi perhatian oleh semua.
Memberdaya kanak-kanak bererti mendidik dan memberi mereka ilmu serta kemahiran untuk menjaga keselamatan diri dan mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini. Melihat kepada keadaan semasa, semua kanak-kanak tanpa mengira jantina perlu diberi ilmu dan kemahiran ini kerana ternyata penjenayah sudah tidak mengira mangsanya.
Persoalannya, bagaimana untuk memberdayakan kanak-kanak? Pertama, kita perlu kembali kepada didikan asas berhubung dengan orang yang tidak dikenali. Didik anak-anak untuk tidak bercakap dengan orang yang tidak dikenali, mengikut mereka atau menerima apa-apa barangan daripada mereka. Beritahu anak-anak bahawa jika ada orang yang tidak dikenali menghampiri mereka untuk meminta pertolongan bertanya arah jalan dan sebagainya, minta orang itu bertanya kepada orang yang lebih dewasa.
Kedua, didik anak-anak agar sentiasa berada dalam kumpulan dan elakkan daripada bersendirian apabila berada di luar rumah. Tempat-tempat yang terpencil dan tersorok, semak dan belukar, hendaklah sentiasa dijauhi. Ini akan mengurangkan kesempatan bakal penjenayah untuk bertindak.
Ketiga, bincang dengan mereka tentang apa yang perlu dilakukan sekiranya sesuatu yang tidak dijangka berlaku. Misalnya, tertinggal bas sekolah atau ibu bapa lambat tiba untuk menjemput mereka atau terhilang di pasar raya. Perbincangan ini akan memandu kanak-kanak untuk bertindak sekiranya perkara tersebut benar-benar berlaku. Ibu bapa pula akan dapat menjangkakan tindakan yang bakal diambil oleh anak-anak mereka. Dengan itu, kedua-dua belah pihak akan lebih bersedia dan tenang untuk berhadapan dengan situasi seumpama ini.
Keempat, bincang dengan anak-anak tentang kejadian-kejadian malang yang menimpa kanak-kanak lain agar mereka sedar dan maklum bahawa kejadian-kejadian seumpama itu boleh menimpa sesiapa sahaja dan oleh itu mereka perlu sentiasa berwaspada dan berhati-hati.
Kanak-kanak juga perlu diberi ilmu dan kemahiran tentang cara untuk mengelak dan berhadapan dengan kejadian sumbang mahram. Satu cara yang paling mudah ialah dengan mewujudkan peraturan tentang siapa yang boleh sentuh dia dan di mana.
Akhirnya, beritahu anak-anak bahawa anda amat prihatin dan ingin tahu jika ada benda-benda yang buruk berlaku kepada mereka.
Jika anak itu sukar untuk menilai apa yang baik dan buruk, suruh sahaja dia melaporkan apa-apa perbuatan orang lain yang menyebabkannya rasa tidak seronok atau tidak selesa. Ia mungkin cara bagaimana pembantu rumah membersihkan punggungnya atau cara mamak di restoran yang sentiasa mencubit pipinya dan sebagainya.
Beritahu anak-anak bahawa jika mereka melaporkannya kepada anda, anda akan pastikan bahawa perbuatan-perbuatan itu tidak akan berlaku lagi. Ini akan mewujudkan rasa percaya dalam diri anak-anak bahawa anda sentiasa ada untuk menghilangkan ketidakselesaan mereka.
Sebagai penyambung warisan, kanak-kanak adalah anugerah dan amanah Allah kepada kita semua. Untuk itu, menjadi tanggungjawab kita memberdayakan mereka agar mereka dapat memelihara keselamatan diri dan mengelakkan diri daripada perkara-perkara yang tidak diingini.