Kata orang, ‘tua’ merupakan sejenis penyakit yang tidak dapat dielakkan oleh sesiapapun. Ia mungkin dapat dilambatkan, misalnya dengan menggunakan ubatan tertentu agar wajah dan tubuh kekal cantik dan sihat. Malahan, kita juga digalakkan berdoa ke hadrat Ilahi agar dipanjangkan usia. Walau apapun, usia tua pasti akan datang jua. Dalam proses penuaan yang semulajadi ini, sedikit demi sedikit wajah dan tubuh badan menunjukkan tanda-tanda penuaan tersebut. Kedut di tepi mata, kulit yang menggeleber di sana-sini, sendi yang sakit-sakit, badan berasa lenguh dan nafas yang mudah semput merupakan tanda-tanda penuaan yang alami. Dalam masa yang sama, cara berfikir seseorang juga boleh dan akan berubah dalam meniti usia yang semakin meningkat.
Walau apapun, manusia secara semulajadinya tidak begitu risau dengan perubahan corak berfikir apabila usia meningkat. Apa yang selalunya paling ditakutkan oleh manusia adalah perubahan fizikal yang berlaku apabila semakin tua. Dalam masa yang sama, keberkesanan organ-organ dalaman badan untuk berfungsi dengan penuh effisyen juga akan menurun dengan peningkatan usia. Oleh itu, kita dapat lihat bagaimana manusia cuba mengekalkan ciri-ciri usia mudanya. Misalnya, nenek-moyang kita menggalakkan pemakanan ulam-ulaman agar nampak awet muda. Zaman moden pula memperlihatkan penggunaan ubatan dan alat kosmetik untuk kembali kelihatan muda. Lebih canggih lagi apabila ada yang sanggup melalui kesakitan semata-mata ingin tampak muda.
Penjelasan di atas menyebabkan penulis tertanya-tanya ‘adakah menjadi tua itu begitu buruk sekali?’ Atau adakah ia hanya ilusi semata-mata? Jika benar menjadi tua itu begitu menyusahkan dan menyedihkan, kenapakah pula sebahagian besar dari pemimpin negara, malahan pemimpin dunia sekalipun terdiri dari mereka yang tua-tua belaka. Walaupun tua, mereka masih gagah malah berjaya membawa negara ke mercu kejayaan. Jadi, adakah benar menjadi tua itu begitu membebankan dan tidak akan membawa apa-apa kebaikan atau faedah kepada diri sendiri atau masyarakat di sekeliling kita?
Di Malaysia, orang tua mempunyai gelaran-gelaran yang lain seperti warga emas, golongan veteran atau golongan senior. Takrifan ‘warga emas’ adalah mereka yang berusia 60 tahun ke atas. Pada usia ini, orang selalu beranggapan bahawa mereka sepatutnya berehat sahaja dan tidak perlu menyumbang ke arah pembangunan diri dan masyarakat sekeliling. Ini merupakan satu tanggapan yang salah. Walaupun tua, mereka sepatutnya bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti agar dapat menabur bakti ke arah pembangunan negara dan bangsa.
Pada 6 Oktober setiap tahun, sambutan Hari Warga Tua peringkat kebangsaan diadakan. Ia merupakan satu pengiktirafan kepada golongan tersebut agar mereka tidak lagi dilihat sebagai satu golongan yang membawa beban. Tanggapan sebegini haruslah dikikis, malahan golongan muda haruslah menghargai jasa mereka selama ini. Agama Islam sendiri mewajibkan agar golongan muda menghormati dan menghargai segala jasa baik golongan tua. Kita perlu sentiasa beringat bahawa kita juga akan menjadi tua dan pada ketika itu, kita juga mahu agar orang lain menghormati dan menyayangi diri kita.
Apakah sumbangan yang boleh diberikan oleh warga emas ini? Sebenarnya banyak perkara boleh dilakukan oleh mereka ke arah pembangunan bangsa, agama dan negara. Golongan ini boleh terus melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan dengan menyumbang idea yang bernas berdasarkan pengalaman yang telah dilalui. Samuel Ullman memberikan satu pesan bestari “Nobody grows old merely by living a number of years. We grow old by deserting our ideals. Years may wrinkle the skin, but to give up enthusiasm wrinkles the soul”. Apa yang dapat difahami dari kata-kata ini adalah bahawa jumlah angka pada usia kita tidak penting. Apa yang utama adalah semangat untuk hidup dan memberikan sumbangan yang berguna kepada manusia disekeliling kita.
Bagi generasi muda, mereka masih bergantung harap kepada golongan tua dalam memberikan nasihat dan tunjuk ajar dalam mengharungi liku-liku kehidupan yang penuh mencabar ini. Tanpa tunjuk ajar dan nasihat dari mereka, generasi muda akan mudah goyah dan diperalatkan oleh anasir luar yang mempunyai niat yang jahat. Jika ini berlaku, keharmonian sebuah negara boleh tergugat. Oleh itu, golongan tua hendaklah terus membimbing golongan muda berdasarkan pengalaman mereka agar halatuju hidup golongan muda ini terjamin dan lebih bermakna.
Di samping itu, warga tua juga sebenarnya boleh menyumbang sedikit tenaga dengan melakukan kerja-kerja yang bersesuaian dengan kemampuan mereka. Contohnya, seorang bekas guru boleh mengajar kelas tambahan kepada pelajar-pelajar di kawasan kejirannannya ataupun seorang profesor boleh menulis artikel-artikel ilmiah yang bersesuaian dengan bidangnya agar tulisan beliau itu dapat dijadikan bahan rujukan oleh masyarakat umum. Bukan itu sahaja, bekas-bekas guru agama boleh juga mengajar bacaan al-Quran kepada anak-anak di sekitar rumahnya. Bagi yang mempunyai kemahiran, misalnya mahir bertukang, melukis atau menjahit, boleh menggunakan kemahiran itu untuk mendapatkan sedikit pulangan.
Beberapa contoh yang disebutkan di atas hanyalah beberapa saranan yang boleh dijadikan panduan bagi warga emas untuk terus memberikan sumbangan kepada negara, bangsa dan agama. Penulis yakin golongan ini lebih bijaksana dalam menentukan apa yang ingin mereka sumbangkan kepada masyarakat sekeliling dalam menelusuri hari tua mereka. Sumbangan yang diberikan itu, walaupun kelihatannya kecil namun golongan ini tidak perlulah berasa rendah diri atau merasakan usahanya sia-sia kerana semua yang besar dan hebat itu bermula dari yang kecil. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit, insyaAllah, sumbangan yang diberikan itu akan mempunyai impak yang besar di kemudian hari.
Walaupun begitu, mungkin ada sesetengah warga tua yang berpendapat bahawa masa tua ini adalah masa untuk mereka berehat setelah sekian lama bekerja atau membesarkan anak-anak. Namun begitu pendapat sebegini tidak tepat kerana ia akan hanya mensia-siakan kebolehan dan ilmu yang mereka ada. Sedangkan ilmu di dada mereka itu amat berguna dan diperlukan dalam membantu membangunkan negara. Lagipun, ramai yang berpendapat bahawa jika golongan warga emas ini hanya mahu berehat, mereka akan lebih mudah ‘sakit’.
Untuk menjamin sumbangan yang lebih berkesan, kesihatan warga tua ini perlulah diberikan perhatian. Di samping itu, penjagaan makanan dan pengambilan makanan tambahan (supplementary food) juga adalah amat digalakkan. Nabi Muhammad s.a.w. sendiri amat prihatin dengan apa yang Baginda makan kerana sesuatu yang dimakan itu akan menjadi darah daging dan seterusnya mempengaruhi tingkah laku dan pemikiran seseorang. Dalam masa yang sama, golongan warga emas ini perlulah sentiasa bersikap terbuka, senang didekati dan bersedia bertukar-tukar idea dengan golongan muda agar percambahan ilmu antara mereka dan golongan muda dapat berjalan dengan lancar dan berkesan.
Sebagai kesimpulan, proses penuaan merupakan satu perkara semulajadi. Tidak ada sesiapapun yang dapat lari dari proses ini. Jadi, elakkanlah diri anda dari menjadi sedih atau sensitif jika orang lain mengatakan yang anda kelihatan tua kerana semua orang akan melalui proses penuaan itu. Walaupun meningkat usia, sebenarnya kita masih mampu memberikan sumbangan-sumbangan yang tertentu kepada bangsa, agama dan negara. Oleh itu hadapilah usia emas anda dengan penuh gemilang.