Setiap kali menjelang sambutan Maal Hijrah, telinga kita pasti akan dihidangkan dengan seruan untuk “berhijrah”. Saranan yang biasa didengari adalah berpindah daripada tabiat buruk kepada tabiat baik, daripada malas kepada rajin, dan daripada culas ibadah kepada menjaga amalan.
Namun begitu, perasan atau tidak, setiap kali kita memasang niat untuk berubah, pasti akan ada satu rasa berat yang amat sangat dalam diri kita. Azam tahun baharu Hijrah sering kali bertahan hanya beberapa hari sahaja sebelum kita kembali ke tabiat lama. Mengapa perkara ini berlaku? Adakah kita ini tiada iman atau sekadar lemah semangat?
Sains psikologi dan neurosains (sains otak) mempunyai jawapan yang sangat menarik untuk fenomena ini. Selain membantu mengenali diri, ilmu psikologi paling bermanfaat apabila dijadikan panduan untuk mencetus kesedaran diri ke arah lebih baik melalui proses tazkiyah (penyucian jiwa), bukannya kefahaman sifat diri yang tidak dapat diubah.
Untuk memahami mengapa hijrah mental itu sukar, kita perlu tahu satu sifat utama otak manusia: otak kita sangat sukakan zon selesa. Dalam istilah sains, keadaan ini dipanggil sebagai homeostasis, iaitu kecenderungan otak untuk mengekalkan status quo demi menjimatkan tenaga. Homeostasis bukanlah sesuatu yang negatif, malah ia penting untuk mengekalkan keseimbangan komponen jiwa untuk mencapai kesejahteraan kesihatan mental. Namun, mekanisme tindak balas otak ini perlu diurus agar tidak terperangkap dalam zon selesa.
Walaupun berat otak manusia hanya sekitar dua peratus daripada berat badan keseluruhan, ia menggunakan hampir 20 peratus daripada tenaga harian kita. Membina tabiat baharu memerlukan tenaga elektrik dan kimia yang sangat besar untuk otak membina laluan saraf (neural pathways) yang baharu. Atas sebab ini, membaiki diri adalah satu jihad besar kerana ia menuntut kesungguhan melawan nafs ammārah (jiwa yang mendorong kejahatan) yang sentiasa mahukan kepuasan segera dan jalan yang mudah.
Melakukan tabiat buruk seperti melengah-lengahkan kerja tidak memerlukan tenaga yang banyak kerana laluan sarafnya sudah sedia luas dan berturap. Perbuatan ini, jika diulang-ulang, akan menjadi satu kualiti yang mampat dalam jiwa sehingga akan keluar secara automatik tanpa perlu berfikir panjang.
Apabila kita cuba berubah, otak akan menghantar isyarat cemas kerana ia enggan menggunakan tenaga tambahan untuk melawan keinginan nafsu yang cenderung kepada keadaan rendah tenaga. Namun, melalui latihan spiritual yang konsisten, kita mampu melatih akal untuk mengawal dorongan nafsu dan membina tabiat baharu yang membawa kepada nafs muṭmaʿinnah (jiwa yang tenang).
Strategi Hijrah Mental: Melatih Semula Otak
Nabi Muhammad SAW dan para sahabat dahulu berhijrah dari Mekah ke Madinah bukan secara kaedah moden, tetapi berjalan kaki merentasi padang pasir yang mencabar selama berhari-hari. Segalanya melibatkan proses dan strategi.
Begitu juga dengan otak kita. Kita tidak boleh memaksa otak berubah 360 darjah dalam masa satu malam. Teknik paksaan mengejut biasanya akan menemui kegagalan kerana otak akan memberontak. Jadi, bagaimana cara sains membantu kita melakukan hijrah mental?
- Hijrah Langkah Kecil
Jangan bebankan otak dengan sasaran yang terlalu besar. Jika azam Hijrah anda adalah untuk membaca Al-Quran setiap hari, jangan paksa diri membaca satu juzuk sehari pada minggu pertama. Otak manusia akan cepat penat. Sebaliknya, mulakan dengan satu muka surat, atau sebaris ayat sahaja sehari. Sains membuktikan bahawa langkah kecil yang konsisten akan menipu otak supaya tidak mengesan perubahan itu sebagai “ancaman tenaga”. Lama-kelamaan, laluan saraf baharu akan terbentuk tanpa kita sedari.
- Ubah Persekitaran, Bukan Sahaja Niat
Semasa peristiwa Hijrah, umat Islam berpindah tempat dari Mekah ke Madinah kerana terdapat halangan dalam persekitaran Mekah untuk perkembangan rohani. Dalam psikologi Islam, tingkah laku manusia adalah hasil interaksi antara fitrah (sifat semula jadi yang suci) dengan persekitaran luaran. Ibn Khaldun menekankan bahawa pengaruh sosial yang buruk seperti gaya hidup materialistik yang melampau boleh merosakkan fitrah dan menyebabkan sifat agresif mendominasi personaliti seseorang.
Tokoh seperti Ahmad Sirhindi mencadangkan bahawa intervensi untuk mengubah tabiat buruk perlu tertumpu kepada membuang keadaan persekitaran yang mencetuskan herotan kognitif ini. Atas dasar inilah Islam sangat menganjurkan lelaki untuk menunaikan solat berjemaah di masjid pada awal waktu. Hal ini bukan sekadar mewujudkan suasana solat yang lebih khusyuk, tetapi juga melatih sifat menepati masa di samping memperoleh pahala 27 kali ganda serta berada di tempat yang sama para Malaikat beribadah dan berdoa.
- Manfaatkan Sifat Plastik Otak (Neuroplasticity)
Berita baiknya, otak kita bukanlah seperti simen yang sudah keras, sebaliknya ia mempunyai sifat neuroplasticity, iaitu kemampuan untuk berubah dan membentuk corak pemikiran baharu tanpa mengira usia. Dalam tradisi Islam, konsep ini dikenali melalui pembentukan malakah, iaitu kualiti mampat dalam jiwa yang terhasil daripada tindakan yang diulang-ulang sehingga ia menjadi tabiat tanpa perlu berfikir panjang. Kajian neurosains moden kini menyokong pandangan ini dengan menunjukkan bahawa latihan seperti belas kasihan dan empati (compassion and empathy training) secara fizikal mampu mengubah laluan saraf dan respon neural dalam otak. Oleh itu, latihan seperti berbuat baik kepada orang lain walaupun dengan senyuman mampu mengubah hati dan tabiat buruk kita secara perlahan-lahan. Itulah hikmah di sebalik pesan Nabi SAW untuk sebarkan salam sesama kita.
Membina Jambatan Antara Sains dan Iman
Menghubungkan sains psikologi dengan konsep Hijrah sebenarnya mengajar kita satu perkara: Islam adalah agama yang sangat praktikal. Allah SWT berfirman dalam Surah Ar-Ra’d, ayat 11 yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.”
Ayat ini adalah asas kepada sains psikologi moden. Perubahan tidak datang secara bergolek atau sendiri dengan hanya berpeluk tubuh sahaja. Sebaliknya memerlukan usaha fizikal untuk melatih minda, mendisiplinkan nafsu, dan melawan sifat negatif kita sendiri.
Maal Hijrah kali ini, marilah kita memandang proses perubahan diri dengan sudut pandang yang lebih luas. Apabila kita rasa berat dan takut untuk berubah, senyumlah dan bisikkan pada diri: “Jika tidak berubah harini, bila lagi kita akan mula.”
Lawan rasa berat itu dengan langkah yang paling kecil, tetapi berterusan. Kerana sesungguhnya, hijrah yang paling agung itu bermula daripada satu anjakan kecil di dalam minda kita. Selamat menyambut Maal Hijrah, dan selamat membina azam yang baharu!
Penulis :
Nur Muhammad Azim bin Norazizi (Pegawai Penyelidik Pusat KIAS, IKIM)
dan
Sulaiman Fitri bin Ramli (Pegawai Tadbir, Unit Pengurusan Penyelidikan IKIM)

