Pencemaran plastik kini begitu serius. Kira-kira 430 juta tan plastik dihasilkan setahun dan dua pertiga daripadanya adalah plastik sekali guna. Sektor pembungkusan menghasilkan sisa plastik sekali guna terbesar di dunia. Kira-kira 36 peratus daripada semua plastik yang dihasilkan adalah bagi tujuan pembungkusan misalnya bekas makanan dan minuman sekali guna dan 85 peratus daripadanya akan berakhir di tapak pelupusan sampah dan menjadi sisa berbahaya. Hakikatnya, 98 peratus daripada produk plastik sekali guna dihasilkan daripada bahan api fosil atau bahan mentah asli dan kedua-dua bahan ini pula meningkatkan pelepasan gas rumah hijau dan semakin merosot jumlahnya.
Sisa plastik akhirnya menjadi mikroplastik dan hal ini merupakan satu masalah serius masa kini. Mikroplastik masuk ke dalam badan manusia melalui pernafasan, penyerapan serta melalui makanan dan minuman dan terkumpul di dalam organ badan manusia. Sesetengah bahan kimia dalam mikroplastik dikaitkan dengan kesan kesihatan yang serius, terutamanya kepada wanita. Pun begitu, pengetahuan tentang kesan sebenar mikroplastik kepada manusia masih terhad dan para saintis masih lagi meneruskan kajian tentang hal ini. Kajian mereka setakat ini menunjukkan bahawa wujudnya pertalian antara pendedahan terhadap bahan kimia yang terlarut daripada plastik dengan obesiti, diabetes, kesihatan otak dan kanser. Selain manusia, kesan pencemaran plastik turut menjejaskan alam dan ekosistemnya serta memberi tekanan kepada ekonomi global.
Semua pihak seharusnya bimbang dengan begitu banyaknya jumlah sisa plastik kini. Asasnya, isu ini menunjukkan bahawa amalan penggunaan (consumption) plastik dalam kalangan masyarakat begitu tidak terkawal. Penggunaan berlebihan berbahaya kepada bumi kerana lebih banyak sumber diperlukan untuk penghasilan barangan dan perkhidmatan untuk kegunaan manusia. Keadaan ini menyusutkan sumber alam dan menambah jumlah sisa. Kedua-dua keadaan ini tidak produktif kepada bumi. Penggunaan berlebihan juga menunjukkan bahawa lebih ramai ahli masyarakat yang mendambakan mutu hidup yang lebih tinggi. Malangnya, mutu hidup yang tinggi itu dikaitkan semata-mata dengan penggunaan dan pemilikan pelbagai barangan yang sebenarnya bukan satu keperluan dalam hidup.
Penggunaan berlebihan merupakan satu perbuatan tidak bermoral kerana ia mengundang banyak masalah. Dalam konteks pandangan hidup Islam, penggunaan berlebihan juga ditolak. Namun, ini tidak bermakna Islam melarang umatnya mengguna dan memiliki barangan atau harta. Pemilikan barangan atau harta dibenarkan asalkan perkara itu tidak sampai ke tahap membazir dan berlebihan-lebihan. Amalan membazir dan berlebih-lebihan ditolak dalam Islam dan dijelaskan dalam ayat 7, Surah al-A’raaf dan ayat 26, Surah al-Isra’. Islam turut memberi panduan dalam menentukan keperluan hidup manusia iaitu berdasarkan tiga kategori iaitu kepentingan (al-daruriyyat), keperluan (al-hajiyyat) dan kemewahan (al-tahsiniyyat). Hakikatnya, keperluan hidup pada tahap daruriyyat dan hajiyyat sudah memadai. Namun, manusia mempunyai cita-cita serta keinginan dan ini adalah fitrah mereka. Oleh itu, ada ketikanya manusia berkeinginan mencapai tahap tahsiniyyat. Hal ini tidaklah diharamkan dalam Islam tetapi tidak boleh dilazimi secara berlebih-lebihan.
Masalah penggunaan plastik secara berlebihan perlu ditangani dengan memahami tahap keperluan manusia dan usaha ini juga perlu disokong dengan azam dan tindakan semua pihak secara kolektif. Ketika ini, telah ada sedikit harapan untuk melihat masalah pencemaran plastik ditangani. Pada Mac 2022, dalam sesi kelima Perhimpunan Alam Sekitar PBB (UNEA-5.2), satu resolusi bersejarah telah dicapai untuk membangunkan satu instrumen antarabangsa, yang mengikat secara sah dari segi undang-undang, untuk mengurangkan pencemaran plastik termasuk di persekitaran marin. Matlamat instrumen tersebut ialah untuk mengurangkan pencemaran plastik secara global. Usaha ini dimulakan dengan penubuhan satu jawatankuasa yang dikenali sebagai Intergovernmental Negotiating Committee (INC). Jawatankuasa ini telah mengadakan beberapa siri perjumpaan dan pertemuan kali ketiga (INC-3) telah diadakan di Nairobi, Kenya pada 13-19 November 2023. Pertemuan kali keempat (INC-4) pula bakal diadakan di Ottawa, Kanada pada 23-29 April 2024 untuk membincangkan draf instrumen antarabangsa tersebut.
Usaha ini perlulah disokong oleh semua pihak. Atas dasar ini, Malaysia turut menghantar wakil ke pertemuan INC tersebut. Pada pertemuan INC-3, Malaysia turut berpeluang menyatakan pandangan berkaitan usaha ini. Satu perkara menarik yang ditekankan oleh Malaysia ialah kepentingan ekonomi kitaran (circular economy). Secara umumnya, konsep ekonomi kitaran menekankan amalan “guna,” “pulang” dan “cipta semula” (use, return and re-create). Ia merupakan satu sistem ekonomi yang direka untuk mengurangkan pembaziran dan menekankan penggunaan sumber yang cekap. Dalam ekonomi kitaran, produk dan bahan dikitar secara berterusan melalui pelbagai peringkat dan usaha ini boleh mengurangkan masalah alam sekitar serta menggalakkan kelestarian alam kerana sumber kekal berapa dalam sistem selama mungkin.
Ekonomi kitaran berbeza dengan ekonomi linear (linear economy). Ekonomi linear menumpukan pada amalan “beli,” “guna” dan buang (buy, use and throw). Di bawah model ekonomi ini, sumber alam diekstrak, dikilangkan untuk mengeluarkan barangan yang akhirnya dibuang sebagai sisa. Hal ini menunjukkan bahawa sumber digunakan sekali sahaja dan kebanyakan produk berakhir di tapak pelupusan sampah atau insinerator pada penghujung kitaran hayatnya. Pendekatan ekonomi linear selalu dikritik kerana tidak cekap, menghabiskan sumber serta menyebabkan pencemaran.
Perubahan kepada ekonomi kitaran memerlukan perubahan yang besar dan komitmen yang kuat. Bersediakah Malaysia? Apapun jawapannya, perubahan itu tidak dapat dielakkan. Maka bekerjasamalah kita ke arah perubahan yang lebih baik bagi menangani masalah pencemaran plastik serta masalah alam sekitar lainnya demi sebuah negara Malaysia yang lestari.