Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 yang berakhir baru-baru ini menyaksikan konsep wakaf telah diangkat untuk menjadi salah satu pendekatan bagi memperkasa ekonomi bumiputera. Ini berikutan pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri tentang perancangan kerajaan untuk menubuhkan Tabung Wakaf MARA Madani (TWMM). Tabung yang mensasarkan jumlah terkumpul minimum RM1 billion dalam tempoh 2 tahun tersebut telah mendapat suntikan awal sebanyak RM100 juta menerusi geran peluncuran yang diberikan oleh pihak kerajaan. Apa yang lebih menarik Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah berkenan untuk menjadi penaung kepada TWMM ini.
Isu pemerkasaan ekonomi bumiputera adalah satu isu yang besar yang masih belum dapat ditangani dengan berkesan orang pemimpin kaum Bumiputera di negara ini. Walaupun pelbagai dasar telah diperkenalkan, namun jurang kekayaan di antara kaum bumiputera dengan bangsa-bangsa lain di negara ini masih belum dapat dikurangkan, bahkan ia semakin melebar. Namun apabila pihak kerajaan mengumumkan penubuhan TWMM yang dinaungi oleh Yang di-Pertuan Agong, ia seakan memberi satu sinar harapan kepada isu ini.
Pengumuman yang dibuat oleh kerajaan ini merupakan pengumuman penting kedua terbesar berkaitan inisiatif wakaf di negara kita selepas kerajaan mengumumkan Wakaf Madani dalam Belanjawan 2023. Untuk rekod, Wakaf Madani merupakan usaha kerajaan membangunkan tanah wakaf berdaftar dengan kerjasama pihak swasta. Bagi tujuan tersebut, aset-aset wakaf yang bernilai lebih 1 billion ringgit yang terdiri daripada tanah, masjid, kemudahan kesihatan dan pendidikan akan dioptimumkan bagi manfaat golongan fakir miskin, mereka yang berpendapatan rendah dan golongan rentan yang lain.
Berbalik kepada TWMM, pihak media melaporkan tabung wakaf tersebut akan dimanfaatkan bagi tujuan menawarkan pendidikan yang berkualiti dan percuma, pembangunan usahawan dan aspek-aspek lain yang menjurus kepada memperkasa agenda Bumiputera. Memang tidak dinafikan bahawa pendidikan dan keusahawanan merupakan antara dua unsur utama yang mampu membantu kaum Bumiputera memperkasa kehidupan mereka. Ini bertepatan dengan kata-kata Imam Syafie yang ada menyebut bahawa sesiapa yang inginkan dunia atau akhirat atau keduanya, maka dia perlu mempunyai ilmu. Begitu juga dengan bidang keusahawanan yang ada kaitan dengan aspek perniagaan di mana terdapat beberapa hadis Nabi SAW dan ayat al-Quran yang menunjukkan kelebihan aktiviti keusahawanan dan perniagaan. Antaranya ialah sabda Nabi SAW yang dipetik daripada kitab Ihya’ Ulumuddin karya Imam al-Ghazali yang bermaksud, “Ceburilah bidang perniagaan dan perdagangan kerana sembilan persepuluh rezeki itu ada dalam perniagaan dan perdagangan.”
Bagaimanapun sebelum TWMM dapat berfungsi dan memainkan peranannya sebagai sebuah tabung wakaf yang dapat memberi manfaat kepada golongan sasar, cabaran utama yang perlu diatasi sekarang ialah usaha mengumpul RM900 juta lagi dana bagi tabung tersebut dalam tempoh 2 tahun kehadapan ini.
Bagaimanapun usaha ini tentunya tidak begitu sukar memandangkan lebih 2.5 juta alumni yang dibantu oleh MARA sebelum ini dan kebanyakannya sudah berjaya dalam pelbagai sektor korporat dan profesional boleh digerakkan bagi membantu menyumbang kepada tabung wakaf ini. Selain itu sektor-sektor korporat terutamanya usahawan-usahawan Bumiputera yang berjaya juga boleh diajak untuk turut sama berwakaf.
Dalam ajaran Islam, wakaf tidak menyebabkan harta seseorang itu berkurang. Akan tetapi disebabkan amalan wakaf dan sedekah yang dibuat, kita akan beroleh keberkatan dalam kehidupan dan limpahan rezeki daripada Allah SWT. Apa yang penting amalan berwakaf dapat menjana pahala yang berterusan kepada si pewakaf walaupun selepas kematiannya. Justeru aspek kelestarian yang ada pada wakaf baik dari sudut pahala dan manfaatnya untuk kesejahteraan kehidupan individu mahupun masyarakat awam boleh dijadikan satu insentif untuk mengajak umat Islam di Malaysia mengembleng sumber tunai yang ada ke arah menjayakan tabung wakaf ini.
Selain cabaran untuk mengumpul, TWMM ini juga dijangka berhadapan dengan cabaran untuk mengekalkan dana pokok atau dana asal wakaf. Ini kerana dalam konsep wakaf, corpus atau aset yang diwakafkan itu perlu dikekalkan atau dipelihara dan cuma manfaatnya sahaja yang boleh diambil atau diguna bagi tujuan kebajikan. Dalam kes TWMM, dana RM1 billion tadi tidak boleh digunakan secara terus. Ia sebaliknya perlu dilaburkan dan hasil yang diperoleh daripada pelaburan sahaja yang boleh diguna bagi tujuan yang dinyatakan oleh tabung tadi – iaitu bagi tujuan memperkasa ekonomi Bumiputera.
Dalam suasana ekonomi dan pasaran saham sukar diramal seperti sekarang, tugas pengurus dana untuk membuat keputusan pelaburan yang tepat amatlah mencabar sekali. Bagaimanapun dengan melihat prestasi terkini yang ditunjukkan oleh pihak PNB dan KWSP (serta Khazanah Nasional) yang meraih keuntungan berbillion ringgit daripada pelaburan yang dibuat yang kemudiannya diterjemahkan dalam bentuk peningkatan kadar keuntungan yang diberikan kepada pelabur dan pencarum masing-masing, kita berharap pihak TWMM dapat mencontohi sesuatu daripada institusi-institusi ini bagi memastikan dana wakaf dapat menjana hasil sepertimana yang diharapkan.
Seperkara yang perlu dinyatakan di sini ialah pihak kerajaan dilihat akan menunjukkan komitmen yang jitu dalam penubuhan TWMM apabila Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menjadi penaung kepada sistem wakaf ini. Apa yang lebih menarik prestasi TWMM ini akan dilaporkan secara berkala kepada Majlis Raja-Raja Melayu. Justeru isu-isu integriti yang biasanya dikaitkan dengan tadbir urus dan salah laku pihak pengurusan tidak akan berlaku dan masyarakat boleh menaruh harapan yang TWMM ini mampu untuk berfungsi dan berperanan secara berkesan dalam memperkasa agenda ekonomi kaum Bumiputera di negara kita.