Islam membuka ruang yang luas bagi umat manusia melakukan perkara kebajikan. Di antara cara melakukannya adalah melalui wakaf. Bagi sesetengah golongan masyarakat mereka tidak memahami konsep wakaf. Faham tentang sesuatu tidak semestinya merangsang seseorang itu melakukannya, terutama apabila .menyentuh kekayaan harta benda. Masyarakat Islam masih dianggap mempunyai imej yang negatif dalam pembangunan dan pengurusan harta benda. Bahkan doktrin perniagaan Islam masih belum diperkembangkan secukupnya dalam menghadapi cabaran pembangunan fizikal. Dalam konteks masyarakat Islam di Malaysia, peluang telah diberi sehingga lahir ahli-ahli korporat yang berjaya. Sama ada kejayaan mereka itu membawa bersama ketelusan sistem perniagaan Islam masih perlu kepada perhatian.
Baru-baru ini diadakan satu seminar mengenai “Etika dan Keuntungan”. Dalam sesi dialog dengan YB. Dato’ Mustapha Mohamed, Menteri Pembangunan Usahawan, peserta ada menimbulkan tentang sejauh mana etika dalam perniagaan dapat dipertahankan dan dalam masa yang sama tidak menjejaskan peluang pengurusan dan keuntungan. Peserta juga ada mendedahkan pengalaman masing-masing dalam menghadapi etika negatif yang diamalkan dalam dunia perniagaan. Ini adalah secebis cabaran dan pengalaman ahli-ahli korporat yang berjiwa Islam.
Pengurusan yang beretika adalah pengurusan yang mendapat berkat. Tidak semua orang berpeluang mengaut laba dalam perniagaan. Bagaimanapun laba boleh diperolehi dengan cara lain. Mengikut tokoh “Literal Thinking “, E. De Bono, yang dipetik oleh YAB. Perdana Menteri, “Adakah kita ada jalan lain untuk mencapai tujuan yang sama”.
Dalam dunia permagaan manusia mengutamakan keuntungan. Pertumbuhan ekonomi negara pada kadar 7-8 % setahun boleh membawa keuntungan dua kali ganda kepada ahli-ahli perniagaan. Oleh demikian dalam dunia saham pula akan memberi pulangan yang lebih tinggi, walaupun mempunyai risiko dalam urus niaga.
Urus niaga yang besar dan urus niaga saham di BSKL masing-masing ada risiko. Menurut Dato’ Dr. Abdul Halim Ismail, risiko tinggi pelaburan dalam saham dapat dikurangkan melalui Skim Amanah Saham. Melalui Amanah Saham, keadaan risiko pelaburan dalam saham-saham berkurangan, walaupun potensi kadar untung juga berkurangan. Beberapa amanah saham telah menguruskan pemilikan saham bagi orang Islam seperti Amanah Saham Bank Islam (ASBI) dan Anak Saham Mara (ASM). Adalah difahamkan ASM akan berurus niaga dengan saham-saham yang berlandaskan Islam. BIMB Securities yang diterajui oleh Dato’ Abdul Halim Ismail menyediakan senarai saham-saham yang dikenalpasti selaras dengan kehendak Islam. Saham-saham tersebut dividennya boleh dikutip semasa hidup. Ada saham lain yang dividennya juga tinggi, tetapi tidak dikutip bagi kegunaan semasa hidup seseorang. Ia direkodkan dalam akaun untuk kegunaan kemudian hari iaitu saham wakaf.
Pentadbiran dan pengurusan wakaf pada hari ini tertakluk pada Majlis Agama Islam Negeri-negeri. Undang-undang Pentadbiran Hukum Syarak Negeri-negeri menyatakan bahawa Majlis adalah pemegang Amanah Wakaf. Jumlah harta wakaf adalah tinggi. Ada di antaranya terletak di kawasan bandar seperti Wilayah Persekutuan, Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Pahang. Ada di antara tanah wakaf tersebut terletak di kawasan yang berpotensi tinggi untuk dimajukan. Bagaimanapun, terdapat beberapa masalah dalam mengoptimumkan pembangunan tanah wakaf. Selain daripada masalah perundangan, terdapat juga masalah dana untuk memajukan tanah wakaf dan pengurusan harta wakaf.
Masalah perundangan termasuk sekatan untuk menaikkan sewa ke atas bangunan wakaf. Begitu juga boleh dikaitkan dengan sikap ulama dalam membenarkan tanah-tanah wakaf diistibdalkan bagi tujuan pembangunan. Lebih-lebih lagi apabila wakaf itu wakaf khas seperti untuk tapak masjid dan perkuburan.
Rungutanjuga terdengar tentang kecekapan bahagian wakaf dalam mentadbirkan tanah-tanah wakaf secara berkesan. Terdapat beberapa kes tanah wakaf yang tidak dipindah milik oleh Majlis. Apabila pewakaf meninggal namanya masih kekal. Justeru itu pewaris enggan menyerahkan tanah tersebut kepada Majlis. Adakala dijual kepada pihak yang bukan beragama Islam. Ini lebih merumitkan keadaan. Masalah juga timbul dari segi tanah-tanah wakaf yang dicerobohi dan didiami oleh setinggan. Kejahilan orang ramai tentang konsep wakaf di kalangan masyarakat menjadi faktor tambahan kepada kerumitan pentadbiran wakaf. Di antara mereka berpendapat bahawa tanah wakaf adalah milik Allah justeru itu boleh didiami tanpa izin mana-mana pihak. Kekeliruan begini perlu diperbetulkan oleh pihak yang bertanggungjawab termasuk penjelasan dari Mufti.
Kelemahan juga terdapat di pihak Mahkamah Syariah kerana bidang kuasanya yang terbatas. Walaupun wakaf di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah, kenyataan yang berlaku harta wakaf ada kalanya bertukar tangan kepada bukan Islam. Apabila satu pihak kepada pertikaian itu bukan orang Islam, mahkamah yang mempunyai bidangkuasa adalah Mahkamah Sivil. Begitu juga dengan kuasa mengeluarkan perintah injunksi hanya diberikan kepada Mahkamah Tinggi. Negeri seperti Mesir, Kuwait, Turki dan Morocco adalah di antara negeri-negeri Islam yang berjaya mengumpulkan harta wakaf. Di Mesir ditubuhkan Kementerian Wakaf, bahkan pernah diberitahu bahawa negeri Mesir sendiri mendapat banyak manfaat daripada dana wakaf. Di Morocco menurut Menteri berkenaan masjid-masjid di negeri berkenaan didirikan dari harta wakaf. Di Kuwait, hasil daripada wakaf telah digunakan untuk kegiatan ilmiah seperti penerbitan. Di Turki terdapat Bank Wakaf. Negeri-negeri tersebut telah dapat memanfaatkan harta wakaf dengan begitu berkesan.
Harta wakaf di negara ini juga banyak dan terletak pada Majlis Agama Negerinegeri. Pada satu ketika isu harta wakaf telah hangat diperkatakan. Bahkan ada pihak yang terkilan kerana ditegur justeru terdapat kelemahan dalam pantadbiran dan pengurusan harta wakaf. Setelah kontroversi tersebut, namun tiak banyak perubahan berlaku dalam pengurusan harta wakaf di negeri-negeri. Masih ada halangan di luar kuasa Majlis untuk memajukan harta wakaf. Pada satu ketika, YAP ElM dan Bank Simpanan Nasional (BSN) telah mengadakan persefahaman untuk memajukan tanah-tanah wakaf yang berpotensi. Setakat mana gabungan dua institusi ini dapat memajukan tanahtanah wakaf yang mempunyai nilai commercial dapat dibangunkan masih ditunggu-tunggu hasilnya. Kepercayaan menurut Islam terhadap peranan wakaf perlu dihidupkan semula terutama di kalangan golongan muda dan tokoh-tokoh korporat yang berjaya. Satu penilaian dan kajian pembangunan tanah-tanah wakaf di negara ini perlu diberi perhatian khusus. Hari ini rakyat sedar keuntungan yang diperolehi daripada penyertaan mereka dalam pelaburan dan amanah saham. Pelancaran Amanah Saham Wawasan dengan mudah menyediakan berpuluh-puluh juta dalam beberapa hari sahaja. Ini saham untuk masa depan generasi 2020.
Dalam keghairahan begini, umat Islam patut juga memikirkan satu saham yang dividennya tidak kurang tingginya. Bahkan diberi jaminan oleh Allah s.w.t. sendiri. Sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam surah al-Baqarah ayat 261 yang bermaksud:-
“Bandingan (pahala) orang-orang yang membelanjakan harta mereka pada jalan Allah seperti sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai dan pada tiap-tiap tangkai itu pula terdapat seratus biji. Allah melipatgandakan (pahala) bagi setiap yang dikehendaki”.
Hari ini terdapat beberapa buah negeri yang telah melancarkan Saham Wakaf seperti negeri Johor, Melaka dan Pulau Pinang. Hanya Saham Wakaf negeri Johor telah mendapat sambutan berterusan dan berjaya membangunkan hasil kutipan dari Saham Wakaf. Negeri-negeri lain masih ditunggu hasilnya. Terdapat beberapa buah negeri yang sedang merancang penerbitan Saham Wakaf termasuk negeri Pahang.
Saham Wakaf Negeri diterbitkan sebagai satu program yang terancang bagi mewujudkan rasa tanggungjawab sosial secara kolektif dan berkesan. Ia bertujuan untuk menaikkan syiar Islam dalam sektor pembangunan secara menyeluruh. Iaitu pembangunan rohani dan fizikal. Sekaligus untuk memperkukuhkan ekonomi masyarakat Islam dan menaikkan taraf hidup dan kemanusiaan seluruhnya. Jika objektif penubuhan Saham Wakaf negeri-negeri demikian maksudnya umat Islam di negara ini sepatutnya merancang untuk melabur dalam Saham Wakaf kerana sudah pasti menerima dua dividen. Satu dividen peribadi yang akan diterima pada masa amalan manusia dihisab dan dividen kedua adalah dividen berbentuk sosial dan kemanusiaan.
Langkah perlu diambil oleh pihak yang berwibawa bagi menubuhkan Bank Pembangunan Wakaf Malaysia. Dengan penubuhan bank tersebut akan dapat membuka lembaran baru dalam pembangunan harta-harta wakaf di negara ini. Di samping itu dapat memberi pilihan yang berbagai kepada umat Islam untuk berurusan dengan institusi kewangan yang melaksanakan sistem kewangan Islam. Sungguhpun Malaysia telah mempunyai Bank Islam yang telah beroperasi lebih sepuluh tahun, dan beberapa kaunter SPTF di bank-bank Konventional, kelahiran Bank Pembangunan Wakaf Malaysia masih mempunyai ruang untuk berperanan dalam mencapai Wawasan 2020.