Keluarga merupakan satu institusi sosial yang memainkan peranan teramat penting dalam perkembangan individu manusia. Ini kerana keluarga itu sendiri terdiri daripada individu manusia yang mempunyai kepentingan dan hak-hak yang sama yang seharusnya diberi perhatian oleh setiap individu yan terbabit. Oleh itu, untuk melahirkan individu yang cemerlang, setiap ahli keluarga terutamanya ibubapa atau suami isteri dan anak-anak hendaklah memainkan peranan dan tanggungjawab yang telah diamanahkan untuk kesejahteraan bersama. Namun, satu perkara penting yang perlu diingat dan diberi perhatian ialah bahawa institusi keluarga bukanlah sebagai satu institusi yang melahirkan sumber tenaga buruh semata-mata, tetapi juga sebagai satu institusi yang bertanggungjawab memberi kesedaran dan mendidik setiap ahlinya dengan tanggungjawab tertentu di samping menyediakan segala keperluan dan kemudahan fizikal yang asas, malah juga sebagai satu institusi yang memberikan perlindungan dan ketenteraman emosi bagi mewujudkan individu yang mempunyai asas emosi secara seimbang.
Individu manusia hendaklah dilihat secara menyeluruh kerana asas kejadian mereka yang mengandungi pelbagai aspek fizikal (jasmani), spiritual (rohani), intelek, emosi, sosial dan tingkahlaku.’ Setiap aspek berkenaan mempunyai keperluan masing-masing yang tersendiri dan kefahaman yang jelas terhadap segala aspek tersebut membolehkan individu manusia melaksanakan pelbagai kemudahan untuk memenuhi segala keperluan berkenaan yang bertujuan untuk melahirkan individu yang seimbang. Firman Allah dalam al Quran surah as Saidah ayat 8-9 telah menerangkan konsep ini sebagaimana bermaksud ‘ ….. kemudian Dia menjadikan keturunan manusia dari saripati tanah (air mani) lalu menyempurnakannya dan meniupkannya Roh ciptaanNya dan Dia menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan hati tetapi sedikit dari kamu yang bersyukur ….. ‘Oleh itu, adalah menjadi satu tanggungjawab bagi setiap ahli keluarga terutamanya para ibu bapa menyediakan segala kemudahan untuk memenuhi keperluan diri anak-anak untuk menjadikan mereka lebih seimbang antara keupayaan fizikal, intelek, emosi dan kemantapan rohani, aqidah dan keimanan. Memandangkan perkara ini adalah satu isu yang kompleks, maka tugas dan tanggungjawab para ibu bapa sememangnya amat berat dan tidak seharusnya dipandang remeh malah mereka hendaklah melengkapkan diri mereka dengan keupayaan dan kemahiran secara kukuh sebagai satu proses yang berterusan. Malahan Islam juga jelas memberikan penekanan yang lebih berat terhadap peranan dan tanggungjawab ibu disebabkan keakraban hubungannya dengan anak-anak. Demikianlah seorang penyair mengatakan:
Ibu samalah seperti sebuah sekolah, jika kamu bijak menyesuaikannya Samalah seperti (usaha) kamu membina ummah yang baik keturunannya
Layanan emosi merupakan satu proses mengenalpasti perubahan perasaan dan reaksi emosi seseorang individu lalu memberikan segala hak-hak untuk memenuhi keperluan emosi berkenaan. Reaksi emosi seseorang boleh dikenalpasti melalui riak muka dan tingkahlaku mereka manakala layanan yang diberikan hendaklah bergantung kepada jenis emosi. Umpamanya, anak kecil yang berwajah murung lalu menangis kerana kesedihan perlukan seseorang untuk memujuknya supaya diam manakala seorang anak remaja yang marah lalu memberontak dan seterusnya lari dari rumah pula memerlukan cara yang berbeza untuk melayan emosinya. Bagaimanapun, perhatian dan kasih sayang merupakan belaian yang paling berkesan untuk melayan dan mewujudkan emosi yang matang dalam diri setiap individu.
Sebagaimana institusi keluarga perlu memenuhi keperluan fizikal yang asas seperti makan minum, pakaian, kewangan, tempat tinggal dan pendidikan, ia juga hendaklah memenuhi keperluan emosi setiap ahlinya. Ini kerana perhubungan dan ikatan sesama individu itu lebih erat sekiranya keperluan emosi mereka dilayan dengan baik dan seimbang di samping keperluan fizikal dan kebendaan. Malah kemewahan kebendaan semata-mata juga kebanyakannya gagal dalam menghasilkan kehidupan berkeluarga yang penyayang dan harmoni sekiranya keperluan emosi individu itu diabaikan.
Di samping itu, layanan emosi yang baik dan mencukupi juga menjamin keutuhan perhubungan sesama ahli keluarga dan memelihara mereka dari terjebak ke dalam permasalahan sosial yang negatif. Malah, layanan emosi yang baik dan mencukupi juga boleh mencorakkan kematangan dan keseimbangan seseorang individu dalam perhubungannya dengan orang lain ketika berada di luar daripada lingkungan kekeluargaannya apabila ia dewasa kelak kerana institusi keluarga adalah tempat permulaan bagi anak-anak untuk membentuk perkembangan emosi yang asas secara sihat dan matang.
Asas Fisiologi Emosi
Dalam memperihalkan emosi, kita cuba mengetengahkan sesuatu isu yang abstrak. Namun, emosi sebenarnya mempunyai asas fisiologi yang kukuh kerana ia merupakan satu daripada aktiviti mental oleh otak manusia. Kebangkitan emosi boleh terjadi sebagai reaksi kepada faktor luaran yang beremosi seperti takutkan anjing yang sedang mengejar kita ataupun reaksi terhadap faktor dalaman akibat daripada perubahan fisiologikai badan manusia yang berlaku apabila teringat-ingat peristiwa yang menakutkan walaupun ia telah lama berlalu di mana perkara ini akan menyebabkan berlakunya perembesan hormon-hormon yang tertentu ke dalam darah oleh sistem endokrin lalu memberi arahan dan amaran kepada otak dan organ-organ dalaman dan luaran manusia serta memilih tindakan yang sewajarnya untuk diambil oleh mereka.
Kebiasaannya, sesuatu rangsangan yang menyemarakkan kesan emosi akan mewujudkan rangsangan elektrik pada sistem limbik, satu bahagian di tengah otak manusia yang aktif terhadap isu-isu yang berkaitan dengan perubahan emosi. fisiologi badan seperti perubahan tekanan darah, perpeluhan, pernafasan serta motivasi dan perubahan emosi.
Walaubagaimanapun, sebelum rangsangan itu sampai ke bahagaian sistem limbik, la terlebih dahulu melepasi medu Ila dan hypothalamus di dalam otak. Rangsangan deria pada permulaannya akan memasuki satu pusat dikenali sebagai nucleas of tractus solitarius dalam meduIla dan seterusnya disebarkan kepada hypothalamus dan sistem limbik. Hypothalamus ialah satu organ penting dalam otak manusia yang mengawal kadar kandungan kimia badan (sistem endokrin), perubahan haba pada badan manusia, mengawal kadar kandungan keperluan air dan makanan untuk pembekalan tenaga manusia dan juga mengawal keseragaman denyutan jantung serta hati mereka. Oleh kerana hypothalamus terlibat sebagai pusat yang mengawal pengeluaran dan kadar bacaan bahan kimia badan yang sesuai serta aktiviti-aktiviti sistem saraf autonomik (visceral), maka ia juga terlibat secara langsung dalam perubahan emosi. Ini kerana segala rangsangan deria yang diterima oleh otak, terutamanya yang mencetuskan persepsi pemikiran dan emosi akan melintasi hypothalamus lalu mengakibatkan pelbagai reaksi sama ada pengeluaran bahan kimia badan (oleh sistem endokrin) ataupun perubahan pada sistem saraf autonomik (visceral) berdasarkan kepada tafsiran yang dibuat oleh otak.
Oleh yang demikian, hypothalamus merupakan organ penghubung di antara persepsi emosi dan pemikiran dengan reaksi sistem saraf autonomik dan sistem endokrin yang terlibat dalam aktiviti kimia badan lalu diperkukuhkan lagi oleh sistem limbik yang merupakan satu sistam penilai dan seterusnya menganalisa tindakan yang mungkin akan diambil oleh manusia. Sebenarnya melalui organ inilah emosi memainkan peranan yang amat besar sekali dalam mempengaruhi kesihatan manusia dan beberapa kajian saintifik telahpun dilakukan untuk mengenalpasti kesan-kesan emosi terhadap kesihatan manusia sehinggalah muncul beberapa disiplin ilmu dikenali sebagai Perubatan Psikosomatik dan bidang Psikoneuroimmunologi yang khusus mengkaji kesan-kesan psikologi dan emosi dalam mengakibatkan penyakit Somatisasi (Somatization Disorders).
Perkembangan Emosi Manusia
Manusia sememangnya merupakan sejenis makhluk yang unik. Setiap aspek dan segala struktur kejadian manusia yang kompleks ini sesungguhnya menggambarkan kehebatan Allah sebagai Pencipta Mutlak yang dapat mengukuhkan lagi keimanan mereka terhadapNya. Manusia dalam apa jua tindakannya merupakan reaksi dari interaksi pemikiran dan perasaan yang akhirnya akan dizahirkan dalam bentuk perbuatan dan tingkahlaku. Sementara aspek kerohanian pula menyediakan asas dalam mengawal dan menunjukkan gaya, cara dan kaedah untuk berfikir dan meluahkan perasaan secara teratur. Walaubagaimanapun, setiap individu mempunyai cara mereka yang tersendiri dari segi gaya dan isi pemikiran, cara menyimpan, mengawal dan meluahkan perasaan serta bentuk-bentuk tingkahlaku yang ditunjukkan sebagai reaksi terhadap pemikiran dan perasaan mereka. Perbezaan yang wujud ini berdasarkan kepada pengalaman daripada pendidikan dan pergaulan di samping faktor keturunan (dan biologikal).
Oleh yang demikian, cara meluahkan emosi dan perasaan oleh kanak-kanak berbeza dengan cara yang ditunjukkan oleh orang-orang tua dan dewasa. Seterusnya kaum wanita pula menunjukkan reaksi dan pola tingkahlaku yang berbeza daripada kaum lelaki dari segi mengawal dan meluahkan perasaan mereka. Namun hakikatnya, setiap individu mempunyai cara tersendiri dalam melayani perasaan dan emosi mereka serta pelbagai bentuk gangguan emosi dan perasaan (Affective Disorders) adalah bergantung kepada cara seseorang individu itu mengawal dan meluahkan perasaan mereka yang pada umumnya banyak dipengaruhi oleh pengalaman di samping faktor keturunan (dan biologikal).
Umumnya, setiap individu dari pelbagai peringkat generasi yang normal akan memberikan reaksi emosi tertentu apabila berhadapan dengan sesuatu perkara yang beremosi dan setiap reaksi emosi tersebut bertindak sebagai petunjuk terhadap perubahan dalaman yang berlaku pada diri mereka di samping bertindak sebagai pemberi maklumat kepada orang di sekeliling mereka. Reaksi emosi seseorang bolehlah dilihat sama ada dari riak muka, kelipan mata ataupun tingkahlaku zahir mereka seperti ketawa, menangis, melawan ataupun melarikan diri dari situasi yang beremosi itu. Pada peringkat kanak-kanak, reaksi emosi seperti ketawa dan menangis merupakan petunjuk emosi yang asas dan bertindak sebagai pemberi maklumat kepada ibu bapa mereka. Ia merupakan satu cara untuk berkomunikasi dengan persekitaran mereka dan memberitahu kepada persekitaran mereka tentang perasaan dan keperluan asas mereka. Kanak-kanak ini akan ketawa bagi menunjukkan keriangan dan rasa selamat mereka dengan kehadiran penjaga mereka dan apabila mereka kekenyangan. Sementara tangisan pula menggambarkan yang mereka ini merasa tidak selesa, sakit, lapar, tidak tenteram dan takut. Untuk melayani kedua-dua bentuk reaksi emosi kanak-kanak ini, ibu bapa atau penjaga hendaklah memberi perhatian secukupnya kepada mereka kerana ini merupakan saat-saat genting kanak-kanak itu memerlukan belaian dan layanan. Layanan dan perhatian yang diberikan kepada mereka pada peringkat ini sebenarnya memberi kesan yang mendalam terhadap perkembangan emosi mereka secara normal dan matang apabila dewasa kelak. Pada peringkat ini, layanan segera terhadap keperluan mereka memberi pengertian yang amat bermakna dalam keh.idupan mereka kerana dari sinilah mereka memberi tanggapan (perception) dan nilaian tentang persekitaran dan rasa selamat (secure) dan corak perhubungan dengan ibu bapa atau penjaga dari segi penerimaan dan sandaran (affection and attachment).
Beberapa kajian psikologi mendapati bahawa ibu yang murung ketika mengandung atau suami yang murung ketika isterinya mengandung akan memberi kesan intelek, emosi dan penyesuaian tingkahlaku terhadap anak yang dikandungnya apabila ia lahir kelak Satu kajian oleh pakar psikiatri dari Universiti Cambridge, Dr. Lynne Murray, telah mendapati bahawa ibu yang mempunyai masalah emosi khususnya kemurungan bagi tempoh 24 jam selepas melahirkan anak akan menyebabkan anak mereka menghadapi masalah berinteraksi dengan orang lain serta masalah dalam perkembangan intelek dan emosi lalu memberi kesan dalam pembelajaran dan pencapaian pendidikan apabila dewasa. Ini kerana ibu-ibu yang murung tidak memberi reaksi terhadap anak -anak mereka malah sebaliknya melepaskan perasaan marah kepada anak -anak itu lalu menyebabkan mereka gagal dalam memenuhi keperluan asas dan melayan emosi anak-anak berkenaan.