Masyarakat Islam memerlukan ulama yang berwibawa untuk dapat bersama memberi sumbangan dalam arus kemajuan sains dan teknologi yang berkembang pesat. Bidang sains bukan bidang yang terasing dan baru bagi masyarakat Islam. Bidang ini telah berkembang maju sejak pertengahan abad ke delapan. Khalifah alMansur telah menghimpun tokoh-tokoh sains di Baghdad yang terdiri dari ahli perubatan dan astronomi. Perkembangan ilmu dalam bidang ini ketika itu diambil dari India, Parsi dan Greek.
Ciri yang menarik pada ahli-ahli sains Muslim ketika itu adalah kombinasi ilmu yang ada pada mereka iaitu ciri keilmuan, keagamaan dan sains yang terletak pada diri yang sama seperti al-Kindi, Ibn Rushd, al-Farabi, Ibn Sina, al-Biruni dan Qutb al-Din. Mereka membuat analisis bukan secara emparikal dan rational semata-mata; bahkan mengasaskan analisis mereka kepada ilmu wahyu.
Ulama mengakui faedah sains. Bagaimanapun mereka mempunyai pendapat yang berlainan tertakluk sejauh mana kegunaannya. Ada pendapat menyatakan sains itu berguna jika ia dapat digunakan sebagai alat untuk memahami dan melaksanakan peraturan ilahi. (Dr. Alparslan Acikgenc). Pandangan ini dikemukakan oleh Ibn Hazm dan Imam al-Ghazali. Al-Ghazali berpendapat bidang sains seperti perubatan, astronomi dan matematik adalah bidang yang berguna dan seterusnya mereka mengkategorikan sebagai ilmu fardu kifayah. Ia penting kepada kebajikan dan keselesaan hidup manusia di dunia. Sebagai contoh ilmu perubatan diperlukan kerana ia melibatkan nyawa dan kesihatan umat. Ia berkait rapat dengan kesejahteraan dan pembangunan. Masyarakat yang sihat akan dapat memberi sumbangan yang sihat terhadap pembangunan negara.
Dengan kemajuan sams dan teknologi dunia hari ini menjadi dunia tanpa sempadan. Masyarakat hidup dalam suasana serba canggih. Pada suatu ketika dahulu ada pihak mempersoalkan kemajuan sains dan teknologi yang berjaya membawa manusia ke bulan. Hal ini bukan isu lagi. Manusia telah berkali-kali meneroka angkasa dan menjejak kaki ke bulan. Ini adalah fakta dan kenyataan. Kemajuan sebegini dalam apa jua pun adalah tabie. Dahulu ada orang tidak percaya Malaysia boleh mengeluarkan kereta. Sekarang sudah menjadi kenyataan, Malaysia maju dalam bidang teknologi berat dan tidak lama lagi akan menghasilkan motosikal dan van pula.
Kemajuan sains dan teknologi adakalanya mengheret persoalan hukum syarak. Beberapa isu boleh timbul akibat dari kemajuan tersebut. Isu-isu tersebut perlu diselesaikan dalam konteks hukum syarak dan roh Islamiyyah. Adalah cabaran kepada ulama dalam menangani isu-isu seperti itu menyelesaikan dengan tidak menimbul kontroversi dan tidak mencetuskan keraguan dan kelam kabut dalam masyarakat.
Sesuatu yang terhasil dari penyelidikan sains dan penciptaan teknologi canggih adalah untuk maslahat kehidupan dan keselesaan duniawi manusia. Kemajuan perlu dicipta kerana Tuhan menjadikan dunia ini tempat kediaman manusia. Bahkan ini adalah suatu fardu yang dibebankan keatas manusia sebagai khalifah di bumi.
Dalam konteks syariah maslahah boleh dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu Maslahah Daruriyyah, Maslahah Hajiyyah dan Maslahah Tahsiniyyah. Oleh itu pentafsiran kemajuan sains dan teknologi yang berkaitan langsung dengan maslahah umat Islam perlu dihuraikan dan diselesaikan dengan mengambil kira kepentingankepentingan tersebut.
Tidak ada jalan pintas dalam menyelesaikan isu-isu yang berbangkit dari kemajuan sains dan teknologi. Pendekatannya adalah dengan menyediakan forum yang formal dan penyelidikan. Ulama perlu perihatin dan proaktif dalam menjalankan penyelidikan. Penyelidikan perlu kerana isu-isu yang timbul tidak pernah berlaku dimasa yang lampau. Sikap keterbukaan dan bebas dari perasaan bimbang adalah penting. Bagaimanapun sikap berhati-hati patut ada dalam memberikan pendapat.
Ulama mungkin juga bimbang jika dilabel sebagai liberal. Kalau mereka rigid dan Jumud mereka juga akan dilabel sebagai lemah. Zaman sekarang mereka tidak boleh mengelakkan diri dari kata-kata demikian. Yang penting ulama perlu yakin kepada diri sendiri dan tahu apa yang mereka lakukan tidak terkeluar dari hukum syariah.
Dalam hubungan ini kita boleh contohi pendapat Imam Abu Hanifah apabila mengeluarkan pendapatnya. Beliau pernah berkata, “Pendapat ini adalah sebaik-baik yang dapat kita fahami. Barang siapa yang mengeluarkan pendapat yang lebih baik maka dia lebih dekat kepada kebenaran“. Apabila ditanya apakah fatwa yang dileluarkan itu suatu kebenaran dan tiada keraguan. Abu Hanifah mejawab “Demi Allah, saya tidak tahu, mungkin boleh berlaku kesilapan”.
Pandangan yang dikeluarkan oleh Abu Hanifah mengambarkan sikap rendah diri sebagai ulama. Dia tidak angkuh dan bongkak. Tidak mahu melabel orang lain. Menghormati pendapat ulama yang lain serta mempunyai sikap yang terbuka. Dalam konteks perundangan Islam, ulama perlu ijtihad dalam menyelesaikan isu-isu semasa.
Pandangan tokoh ulama seperti Sheikh Dr. Yusof Qaradhawi boleh di ketengahkan dalam menyelesai isu-isu kontemporari. Beliau telah berkunjung ke beberapa negara Islam termasuk Malaysia. Dalam satu ucapan yang disampaikan di bilik syarahan Bank Islam, Kuala Lumpur, beliau menyatakan apabila melakukan ibadat hendaklah ada nas mengenainya. Dalam perkara silam ibadat (khusus) seperti muamalat, asalnya adalah harus kecuali ada nas menunjukkan sebaliknya.
Ibn Qayyim ada mengulas pendapat Imam Shafie yang menyatakan, “Tidak siyasah kecuali yang menepati dengan syarak,” Menurut beliau jika yang dimaksudkannya itu “tidak bercanggah dengan yang dinaskan oleh syarak,” maka itu adalah tafsiran yang betul. Jika dimaksudkan,” tiada siyasah kecuali yang dinaskan oleh syarak, huraian itu tidak betul. Kerana syarak tidak memberi pada setiap peristiwa itu nas-nas yang qat’i dan terperinci. Bahkan banyak yang bersifat umum.
Maslahah umat manusia berbeza dan berubah dengan perubahan keadaan tempat dan suasana. Justeru itu undang-undang atau ilmu fiqh tidak boleh beku. Ia perlu berubah oleh tuntutan keadaan yang berubah. Akibat dari kemajuan sains dan teknologi telah membawa perubahan tuntutan dan keperluan manusia termasuk masyarakat Islam sendiri. Fenomena sedemikian berlaku di dunia Islam termasuk Malaysia.
Kemajuan sains dan teknologi telah mengajak ulama turut terlibat. Ulama (dalam konteks transional) diseret kebidang tersebut bukan untuk menjadi sainstis yang boleh membuktikan bahawa tabung uji itu boleh digunakan untuk tujuan mendapatkan zuriat atau keturunan. Ulama tidak perlu diheret ke bilik makmal untuk sama turut melibatkan diri dalam pembedahan keatas orang yang mahu menukarkan jantina. Ulama ini diheret kerana terdapat dikalangan masyarakat yang masih teguh berpegang dengan ajaran agama (Islam). Mereka mahukan penjelasan dari segi hukum.
Persoalan yang ditimbulkan akibat kemajuan sams dan teknologi lebih menyeluruh. Bukan menyentuh individual tertentu sahaja akan tetapi masyarakat keseluruhannya. Kita telah diketengahkan dengan isu ubat-ubatan, pemindahan organ, pemakanan, sembelihan, kosmetik, alatan pembantu pernafasan, geraf tisu dan lain lagi. Isu-isu yang mendatang itu belum pernah dicatatkan secara terperinci dalam kitab-kitab kuning dan perlu dihuraikan oleh ulama. Isu-isu tersebut tidak sewajarnya diselesaikan secara individual. Ianya hendaklah diselesaikan secara kolektif dan syura. Masyarakat akan kebingungan jika berlaku percanggahan yang sepatutnya boleh di atasi secara syura.
Ulama dari masa kesemasa diajukan dengan isu-isu yang timbul hasil penyelidikan sains dan kemajuan teknologi. Beberapa contoh boleh diketengahkan seperti keperluan kepada garis panduan mengenai ubat-ubatan. Sumber ubat terdiri dari pelbagai bahan. Diantara bahan-bahan tersebut mungkin ada jenis yang diragui dari segi kebersihannya dari hukum syarak. Begitu juga dengan bahan kosmetik dan sebagainya.
Pada umumnya ubat ada risiko apabila digunakan. Bagaimanapun dari segi saintifik, risikonya adalah sedikit berbanding dengan manafat yang diperolehi dari segi kesihatan. Peranan ulama dalam teknologi ubatan dan kosmetik adalah dengan memberi garis panduan yang jelas dari aspek syarak. Penjelasan tentang keharusan sesuatu jenis atau sumber ubatan dan bahan kosmetik serta memberikan pedoman dalam mengatasi sesuatu yang didapati menyalahi hukum syarak. Dalam hubungan ini “makasid syarak” memainkan peranan penting dalam menentukan sesuatu maslahah bagi kepentingan manusia.
Islam sebagai pegangan hidup tidak rigid atau ketat. Islam tidak extreem atau keterlaluan. Islam itu mudah untuk dihayati dan ‘flexible’ atau maunnah. Dalam alQuran, surah al-Baqarah ayat 185 Allah berfirman yang bermaksud:
“Allah menghendaki kesenangan kepada kamu dan Dia tidak menghendaki kesusahan kepada kamu.”
Sungguhpun Islam meletakkan tanggungjawab keatas pengikutnya supaya mematuhi perintah, bagaimanapun Allah tidak membebankan seseorang kecuali yang dia mampu melaksanakannya. Dalam keadaan tertentu atau dalam keadaan terpaksa seseorang itu diberi jalan keluar asalkan tidak melampaui batas.
Di atas prinsip-prinsip yang jitu berdasarkan tuntutan syarak, ulama boleh responsif kepada isu-isu saintifik yang timbul dari masa kesemasa. Bahkan ulama boleh berganding bahu dengan ahli-ahli sains dalam bidang berkenaan supaya pandangan yang mereka berikan dapat memberi penjelasan yang terbaik dan berguna dalam meningkatkan martabat umah.