Risalah yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. mengandungi tiga perkara utama iaitu akidah tauhid, syariah Islam dan akhlak yang luhur. Semasa berada di Mekah, baginda telah menyebarkan akidah tauhid di kalangan bangsa Arab Jahiliah. Ajaran yang dibawa itu adalah bertentangan dengan kepercayaan nenek moyang bangsa Arab yang menyembah berhala. Mereka menyembah berhala kerana telah lama dipisahkan dengan ajaran agama yang dibawa oleh para Nabi sebelum Muhammad.
Allah s.w.t. telah mengutus sekian ramai para Nabi dan Rasul yang membawa petunjuk kebenaran kepada umat di zaman itu. Ajaran tauhid adalah ajaran yang tidak pernah berubah dibawa oleh para Rasul seperti yang dijelaskan dalam al-Quran yang bermaksud: Tidak kami utus Rasul sebelum kamu kecuali Kami wahyukan kepadanya, sesungguhnya tidak ada Tuhan kecuali Aku.
Tauhid bererti mengesakan Tuhan iaitu tiada tuhan melainkan Allah. Sungguhpun ringkas sahaja perkataannya, namun oleh kerana fahaman itu bertentangan dengan arus pegangan semasa menyebabkan baginda ditentang dengan begitu keras dan hebat. Baginda Rasulullah s.a.w. mendapat tentangan yang amat hebat daripada kaum keluarganya termasuk bapa saudaranya sendiri, Abu Lahab.
Baginda dihina dan dikasari dengan perkataan dan tindakan tidak berperikemanusiaan. Tentangan bukan sahaja ditujukan kepada baginda sahaja bahkan kepada golongan yang memeluk agama Islam seperti yang berlaku kepada Bilal. Keimanan yang kukuh dan mantap sahaja yang menjadi perisai menghadapi cabaran tersebut.
Oleh kerana kaumnya sendiri di Mekah tidak menerima dengan baik, baginda cuba mengadu untung nasib di Taif. Di sana juga baginda ditentang, bahkan dihina dan dikasari. Dalam menghadapi semua tentangan ini, baginda masih mempunyai hati budi yang mulia dan luhur. Baginda tidak mengadu kepada Allah supaya penentang-penentang itu diturunkan balasan azab, bahkan baginda terus tabah dan sabar.
Bahkan Baginda berdoa dengan sabdanya: Ya Allah berilah petunjuk kepada kaumku sesungguhnya mereka tidak mengetahui.
Kesabaran baginda yang tinggi dalam menghadapi setiap tentangan dan cemuhan bangsanya dan tetap meneruskan tanggungjawab sebagai Rasul telah meletakkan kedudukan baginda sebagai Ulul Azmi daripada kalangan para Rasul. Tidak semua Rasul mencapai taraf tersebut.
Pada peringkat permulaan Islam, akidah telah menjadi benteng utama dalam penyebaran risalah tauhid. Kemantapan akidah berjaya menyelamatkan Islam di Mekah dan seterusnya menjadi agama yang kuat di Hijaz. Agama yang dipertahankan dan disokong oleh para sahabat akhirnya berkembang pesat dan diwarisi oleh penganut Islam di seluruh dunia.
Umat Islam hari ini perlu ingat tanpa perjuangan mereka yang tabah dan gigih, Islam tidak akan tersebar begitu luas di setiap pelosok dunia – di barat dan timur. Dan kini mencecah 1.3 bilion penganut Islam. Bilangan yang ramai sahaja tanpa kualiti yang cemerlang dari segi keimanan dan ilmu serta kesatuan akan dilihat lemah dan rendah.
Imej Islam pada suatu ketika amat tinggi dan pemerintahannya dikagumi dan dihormati. Islam maju dalam pelbagai aspek, politik, ekonomi, kemasyarakatan, perundangan, keilmuan dan sebagainya. Bahkan Barat menimba ilmu dari dunia Islam.
Umat Islam mempunyai sikap yang terbuka dan toleransi yang tinggi terhadap golongan yang berbeza pegangan kepercayaan. Bahkan mereka diberi layanan yang adil dan saksama dan pentadbiran negara. Hak-hak mereka dipelihara. Kebebasan agama dibenarkan. Mereka hidup bebas dan dijamin hak oleh undang-undang dalam pemerintahan Islam selagi tidak melakukan sesuatu yang menyalahi dan menggugat keselamatan negara.
Hari ini imej Islam telah jatuh dan penganutnya terus dihina kerana beberapa insiden yang berlaku. Ajaran Islam telah disalah tafsir oleh golongan yang cuba mengambil kesempatan untuk menekan masyarakat Islam.
Apa yang berlaku sebenarnya bukan daripada ajaran Islam sebenar. Yang berlaku adalah akibat fahaman sesetengah orang dan tanggapan mereka dalam amalan Islam. Contoh yang paling dekat adalah perkataan jihad.
Jihad ditafsirkan oleh pelbagai pihak, termasuk oleh penulis bukan Islam. Ada yang mentafsirkan Islam berdasarkan realiti yang berlaku walaupun kejadian itu kes terpencil. Atau mentafsir sesuatu dengan tidak menganalisis dengan rasional mengapa sesuatu berlaku.
Sebagai contoh Islam membenarkan berperang kerana untuk mempertahankan maruah negara. Prinsip ini sama sahaja dahulu dan sekarang. Tidaklah benar dengan keizinan berperang maka boleh diambil kesimpulan bahawa jihad itu bermaksud hanya pertumpahan darah seperti yang difahami oleh setengah golongan.
Jihad boleh dihuraikan dalam dimensi sosial, ekonomi, pendidikan dan sebagainya yang bersifat positif dan kemanusiaan.
Islam adalah untuk kemanusiaan sejagat. Sama ada dalam keadaan damai dan perang. Apabila diisytiharkan Piagam Madinah yang merupakan kontrak sosial penduduk Madinah, hak-hak asasi semua kaum diberi jaminan. Kedudukan mereka sama di sisi undang-undang. Kebebasan diberikan, termasuk kebebasan beragama dan memiliki harta. Nyawa mereka dipelihara.
Sungguhpun Islam membenarkan peperangan dan dunia hari juga tidak terlepas daripada peperangan, beberapa prinsip kemanusiaan ditetapkan. Kehormatan hendaklah diberi kepada wanita, kanak-kanak dan orang tua.
Semasa baginda Rasulullah memasuki kota Mekah, jaminan keselamatan diberikan kepada penduduk Mekah. Sesiapa yang memasuki rumah tertentu termasuk tempat ibadat adalah selamat.
Apa yang kita saksikan hari ini peperangan tidak lagi memberi jaminan keselamatan sepenuhnya kepada rakyat biasa. Masjid dan hospital bukan lagi tempat selamat. Tidak ada golongan yang dilindungi termasuk kanak-kanak dan orang tua. Nilai kemanusiaan telah berubah dan runtuh. Nilai baru iaitu kekuatan menentukan segalanya.
Islam memberi erti kesejahteraan dan keselamatan. Dunia masih dahaga kepada kesejahteraan dan keselamatan. Usaha perlu dilakukan oleh pihak berwajib seperti pertubuhan-pertubuhan antarabangsa untuk memartabatkan nilai murni ini kerana manusia masih dahaga kepada kesejahteraan dan keselamatan.