PERPADUAN sering kali dilaungkan dan menjadi slogan, namun apa yang pasti umat Islam terus gagal mencari titik persamaan antara mereka.
Terbaru, tuduh-menuduh terus berlaku apabila sambutan Hari Asyura di Iran dan Pakistan dicemari dengan pengebom berani mati. Tragedi yang berlaku dalam pesta orang Syiah dengan mudah membuka ruang kepada orang Sunni untuk dituduh. Sudahnya sengketa dan perang dingin berlarutan.
Siapakah Syiah dan Sunni? Bukankah mereka `diterima’ dalam konteks umat Islam?
Konflik Iraq dan Palestin semakin jelas menelanjangi krisis perpaduan dalaman umat Islam. Masih tidak wujud kata sepakat, tindakan bersama dan berani oleh negara umat Islam.
Kita tidak dapat menafikan kewujudan konflik antara manusia, bahkan sesama umat Islam. Ini berasaskan kepada ciri perbezaan antara manusia seperti yang disebutkan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).” – (Surah al-Hujurat, ayat 13).
Semua orang menyedari betapa pahitnya konflik namun belum ada tanda ia akan reda dan Islam jelas tidak membiarkan ia berlarutan. Al-Quran menetapkan sekiranya ada dua orang atau golongan yang berkonflik, hendaklah wujud pihak ketiga yang segera tampil menjadi pengislah atau pendamai.
Firman Allah bermaksud: “Dan jika dua puak daripada orang yang beriman berperang, maka damaikan mereka antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawan puak yang zalim itu hingga dia kembali mematuhi perintah Allah; jika dia kembali patuh maka damaikan antara keduanya dengan adil, serta berlaku adil kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil”. – (Surah Al-Hujurat, ayat 9).
Jelas sekali daripada ayat ini, ciri pihak ketiga yang bertindak sebagai pengislah ialah berlaku adil.
Berlaku adil bermaksud mereka mesti mengambil pendirian menyebelahi pihak yang benar dan membantu mengatasi pihak yang menzalimi serta mengembalikannya ke jalan benar. Ini menyangkal peranan atau slogan `tidak menyebelahi mana-mana pihak’ yang sering digunakan oleh pihak ketiga ketika melakukan pengadilan kepada dua pihak yang berselisih.
Allah mengingatkan bahawa antara mereka adalah bersaudara menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikan antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” – (Surah al- Hujurat, ayat 10).
Kesedaran bahawa setiap Muslim itu bersaudara melahirkan ihsan yang tinggi dalam jiwa setiap mereka.
Ihsan ialah salah satu sifat mulia yang meletakkan kepentingan dan keperluan orang lain sama dengan kepentingan dan keperluannya sendiri berasaskan kasih sayang yang mendalam.
Dr Muhammad Mahmud Hijazi, menyebut ia penyelesaian konflik dalaman umat Islam yang paling ampuh seperti yang disebut oleh Nabi Muhammad yang bermaksud: “Seseorang Muslim adalah saudara kepada seorang Muslim dan mereka tidak akan menzaliminya dan tidak juga mengaibkannya.”
Dalam konteks Malaysia, kita melihat bagaimana perbezaan pendapat dan dasar perjuangan antara dua parti politik Melayu-Islam terbesar melalui pelbagai peringkat hingga berlarutan kepada beberapa isu sensitif.
Walaupun isu itu dapat diredakan, agak dikesali kerana tiada pihak yang benar-benar menjadi orang tengah yang bertindak sebagai pengislah. Ia sama ada diredakan melalui undang-undang atau teguran dan tindakan pihak berkuasa.
Bagaimanapun, pujian boleh diberikan kepada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang pernah cuba menjadi pengislah dengan membawa kedua-dua pihak duduk bersama dalam satu majlis dan membuat deklarasi bersama mengenai isu luar. Ia satu percubaan yang baik dan patut dipuji, namun ia hendaklah berterusan dan tidak terhenti setakat itu saja kerana isu demi isu akan menyebabkan kerenggangan.
Menurut Datuk Dr Siddiq Fadzil, dalam bukunya Perspektif Qur’ani: Siri Wacana Tematik, terlalu ideal untuk membayangkan terciptanya perpaduan secara mendadak.
Prosesnya mungkin memakan masa. Semua pihak harus dirangsang dan didorong ke arah perpaduan serta kembali kepada ikatan perpaduan tulen berasaskan ikatan syariat Allah.
Memang benar, dukungan daripada hanya beberapa pihak yang bersifat tradisional tidak mungkin berjaya merealisasikan perpaduan yang diidam-idamkan.
Kita memerlukan kesedaran semua pihak dan segenap lapisan untuk mendukung perpaduan. Begitu juga generasi baru yang lahir dalam suasana serba sedia.
Mereka sama ada tidak mempedulikan fenomena yang berlaku di sekeliling mereka atau pun turut menyertai blok dan klik yang sedia wujud di hadapan mereka.
Menurut Dr Siddiq lagi, proses membentuk perpaduan tulen harus bertolak daripada kesepakatan dalam beberapa asas, antaranya ialah mewujudkan suasana kondusif.
Ini bermakna semua pihak harus memperlihatkan isyarat positif petunjuk yang menginginkan perpaduan. Antara lain mesti menghentikan tindakan provokatif kepada pihak lain.
Mereka juga harus memahami dan menghayati Islam sebagai cara hidup yang komprehensif dan sempurna.
Ia mesti bermula dengan kesedaran dan penghayatan tulen bahawa Islam ialah agama wahyu Ilahi yang mutlak dan murni sebagai petunjuk kepada manusia. Dengan memahami dan menghayati hakikat ini akan terhindar kemungkinan menggunakan agama sebagai politik dan mempolitikkan agama.
Politik yang dipenuhi dengan pelbagai strategi dan pendekatan hasil pemikiran manusia boleh jadi betul atau salah tetapi Islam mestilah dijadikan sebagai rujukan unggul yang menentukan betul atau salahnya duduknya sesuatu perkara.
Selain itu, iltizam melaksanakan keadilan, perpecahan boleh berlaku apabila ada pihak yang berasa dilayan secara tidak adil atau berasa haknya dinafikan. Justeru, iltizam terhadap prinsip keadilan perlu terus ditingkatkan.
Keadilan ialah faktor asas perpaduan, baik antara pemerintah dengan rakyat mahu pun sesama umat. Keadilan menjadi peringatan utama Allah dalam firmannya yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat dan melarang daripada melakukan perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Dia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhi-Nya.”. – (Surah Al-Nahl, ayat 90).
Bahkan, semua syariat nabi sebelum Muhammad juga berteraskan nilai keadilan. Firman Allah bermaksud: “Demi sesungguhnya! Kami mengutus rasul kami dengan membawa bukti dan mukjizat yang jelas nyata dan kami menurunkan bersama-sama mereka Kitab Suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan.” – (Surah Al- Hadid, ayat 25).
Begitu juga dengan membina sikap saling percaya. Amat sukar untuk memelihara perpaduan sekiranya masyarakat dibudayakan secara tidak sengaja dengan berbohong, caci mencaci antara satu sama lain dan tuduh menuduh.
Kepercayaan semakin hari menjadi luntur dan lama kelamaan akan melebarkan retak antara umat. Pendekatan yang perlu diambil dalam hal ini ialah mencegah sebelum parah. Umat tidak boleh dibiarkan terleka dengan budaya mazmumah yang menghancurkan.
Petunjuk lain ialah meningkatkan semangat persaudaraan dan kasih sayang. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara, maka damaikan antara saudara kamu.” – (Surah al-Hujurat, ayat 9).
Transformasi keislaman menghasilkan kesan sosial yang paling ketara iaitu terbentuknya masyarakat penyayang yang didasari nilai persaudaraan seagama.
Nilai inilah yang menghapuskan fanatik perkauman yang datang daripada dua keadaan berbeza. Menyatukan puak yang bersengketa hingga sanggup dikenali dengan satu nama saja iaitu Ansar manakala pendatang dari Makkah melupakan kebanggaan puak mereka dan sanggup dikenali dengan satu nama iaitu Muhajirin.
Begitu juga dengan memperluaskan amalan syura. Syura ialah institusi yang menjadi perintah Islam yang wajib diamalkan.
Amalan bermusyawarah yang bererti penyertaan semua pihak, kesediaan mendengar pendapat pelbagai peringkat dan seterusnya menghormati pendapat yang berbeza akan dapat menumbuhkan rasa kebersamaan dan saling harga menghargai di kalangan umat.
Begitu juga dengan usaha mendominasi aliran sederhana. Kita tidak dapat lari daripada pendapat ekstrem dalam apa juga bidang. Contohnya ialah taksub kepada sesuatu mazhab dan tidak kurang juga pihak yang kononnya cuba bebas daripada taksub dengan mazhab itu hingga terperangkap dengan taksub kepada pendapat kelompok kecil mereka sendiri.
Satu-satunya kaedah untuk mendominasi aliran sederhana yang boleh diterima semua ialah menghayati konsep `wasathiyyah’ yang diajar oleh Islam.
Penghayatan `wasathiyyah’ ini seharusnya terpancar dalam watak, sikap dan perilaku umat dan pemimpin.
Petunjuk terakhir ialah memperkukuhkan hubungan ulama dan umara (ilmuwan dan pemerintah). Sejarah perkembangan umat Islam membuktikan bahawa dua golongan ini mempunyai peranan penting dalam menentukan masa depan negara.
Kesejahteraan rakyat bergantung kepada keserasian dua golongan ini.
Ulama dalam erti kata yang luas mestilah diberi penghormatan dan kebebasan sewajarnya untuk menyelidik, mengkaji, mencadangkan dan mendidik umat, sementara umara pula, perlulah diberi peluang untuk melaksanakan segala dasar dan menggunakan kebijaksanaannya dalam mengatur strategi sebaik-baiknya.
Asas perpaduan yang tertera di atas hanyalah beberapa aspek yang dapat diperhatikan secara sedar.
Ia tetap memerlukan satu gerakan yang bersifat menyeluruh dan bersama yang didukung oleh semua lapisan umat. Semoga penghayatan Maulidur Rasul kali ini akan menyuburkan kesedaran perlunya perpaduan dikukuhkan demi pembangunan berterusan umat Islam.