BUAT sekalian kalinya, tangan tersembunyi yang menjadi dalang dan tok selampit di belakang tabir kepemimpinan pentadbiran Presiden George W Bush di Amerika mempersembahkan wayang terbaru mereka dengan mengaitkan Malaysia dengan perdagangan haram bahan membuat senjata nuklear yang membabitkan sindiket antarabangsa.
Bagi rakyat Malaysia yang sedia maklum dengan pendirian negara berhubung isu ‘mencegah penularan’ pasti terkejut dengan dakwaan itu yang cuba mengaitkan nama sebuah syarikat Malaysia yang dikatakan mempunyai kaitan dengan rangkaian penularan nuklear yang diketuai Dr Abdul Qadeer Khan dari Pakistan.
Kemelut yang mengheret nama Malaysia menimbulkan tanda tanya sama ada ia adalah percubaan untuk mencetuskan satu lagi gerak halus dan strategik bagi meminggirkan Malaysia atau sebagai justifikasi sekatan ekonomi dan perhubungan seperti yang pernah negara kuasa besar lakukan terhadap Libya, Iraq, Iran dan Korea Utara.
Sungguhpun begitu, masih terlalu awal untuk kita memperkatakan mengenai apa yang sebenarnya berlaku di sebalik drama terbaru ini walaupun kerajaan berjaya memperbetulkan fakta yang cuba dipaparkan oleh Amerika Syarikat, negara yang mengeluarkan lebih separuh filem dunia.
Berdasarkan peristiwa semasa, Iraq berjaya dilakonkan sebagai negara yang memiliki senjata pemusnah besar (WMD) dan senjata nuklear serta disensasikan pula dengan adegan pembabitan rejim Saddam Hussin dengan rangkaian keganasan Osama bin Laden, hingga akhirnya menyebabkan Iraq diserang.
Negara itu berjaya ditakluki dan kini sedang dilapah kekayaan minyaknya. Tidak sukar bagi kita untuk melihat perkara ini sebagai satu keadaan yang dicipta pihak tertentu yang sebenarnya hanya mahu melihat penguasaan mutlak ekonomi, politik dan strategik di Asia Barat oleh kuasa besar.
Berbalik kepada tuduhan yang direka dan dicetuskan sumber perisikan Amerika Syarikat dan Eropah, ia dihebahkan secara meluas oleh media yang cuba mengaitkan sebuah syarikat Malaysia yang dikatakan mengeluarkan komponen sesalur besi pengkayaan uranium yang digunakan untuk penghasilan senjata nuklear.
Kaitan syarikat terbabit dibuat berdasarkan kepada penemuan yang dibuat oleh pihak berkuasa Itali terhadap penghantaran (konsainan) barangan yang sedang dalam perjalanan menuju ke Libya.
Penemuan itu menyebabkan Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA), George Tenet, dengan segera menganggap syarikat Malaysia itu sebagai sebuah kilang pengeluaran terbesar komponen berkenaan.
Agak aneh apabila media massa Barat yang melaporkan insiden ini lebih memberi perhatian kepada kaitan pemilik syarikat dengan pemimpin negara. Mungkin untuk menarik minat pembaca terhadap isu berkenaan atau lebih jauh lagi untuk mengaitkan serta mengheret kepemimpinan kerajaan Malaysia dengan isu penularan nuklear antarabangsa.
Perdana Menteri sendiri menyatakan dengan tegas bahawa kita tidak terbabit dalam perkara berkenaan dan mengarahkan supaya siasatan segera dilakukan. Selepas siasatan dijalankan, pihak berkuasa mendapati apa yang berlaku adalah sesuatu yang dibenarkan oleh undang-undang dan dibuat berdasarkan sifatnya untuk memenuhi satu kontrak perniagaan yang telus.
Pendirian kerajaan amat jelas dalam hal ini dan kita komited kepada perjanjian Perlucutan Senjata Nuklear (NPT) yang ditandatangani oleh Malaysia pada 1968 dan disahkan pada 1970.
Senario itu menjurus kepada analisis insiden berkenaan andaian yang boleh dibuat mengenai betapa besarnya peranan yang dimainkan oleh tangan yang tersembunyi iaitu mereka yang bertopengkan institusi perisikan, pelobi atau badan pemantau bebas serta dibantu pula oleh media antarabangsa.
Mereka ingin melihat sejauh mana sesebuah negara seperti Malaysia boleh dikuasai dan menjadi lemah sebagaimana yang mereka lakukan ke atas Iraq, Afghanistan, Libya dan banyak lagi negara dunia ketiga. Alasannya adalah jelas iaitu melalui penguasaan ini, negara Barat mampu terus menjadi jaguh ekonomi, politik dan strategik global.
Jika diteliti, teknologi nuklear adalah teknologi yang diterima umum sebagai sumber kuasa bahan api alternatif kepada minyak dan arang batu yang murah.
Tahap kematangan teknologi nuklear lebih tinggi berbanding sumber tenaga alternatif lain dan berguna serta strategik dalam keadaan krisis tenaga. Selain penggunaannya yang meluas dalam bidang perubatan, sains dan kegunaan industri hari ini, sesiapa saja yang mempunyai atau menguasai teknologi ini sukar digugat kedudukan mereka.
Jika hipotesis sedemikian tidak benar, kenapakah baru-baru ini Presiden Bush menyarankan supaya cuma sesetengah negara yang akan dibenarkan untuk membangunkan dan berdagang barangan berasaskan teknologi nuklear dan apakah muslihat di sebalik saranan sedemikian jika tidak untuk menjadikannya sebagai hak eksklusif mereka.
Bukankah ia bermakna negara seperti Malaysia akan dihadkan kemampuan mereka untuk membangunkan ekonomi dan negara mereka. Mungkin juga ia satu kaedah yang terbaik bagi memastikan supaya Malaysia akan sentiasa menjadi pengguna barangan dan produk mereka secara berterusan.
Untuk mengaitkan isu ini, lihatlah apa yang menyebabkan negara Barat bimbang penguasaan Russia di Afghanistan pada dekad 80-an dan 90-an yang kemudian diikuti dengan penaklukan ke atas negara terbabit atas alasan menghalau pengganas Taliban dan Osama bin Laden.
Sebenarnya penaklukan itu dilakukan dengan hasrat untuk menguasai simpanan uranium dan bahan bernilai tinggi yang masih tersorok di bumi Afghanistan.
Afghanistan walaupun landskap buminya berbatu dan bergunung-ganang, negara itu terbabit dengan peperangan yang panjang, selama lebih 20 tahun dan dilaporkan mempunyai simpanan uranium, tembaga, besi dan sumber asli lain yang digunakan dalam industri penerbangan dan penerokaan angkasa lepas.
Bukan menjadi rahsia lagi Russia berjaya menemui bahan itu di wilayah selatan Helmand dan Dataran Pamir di utara Afghanistan ketika menguasai negara itu satu ketika dulu. Hakikatnya ialah penguasaan ke atas Afghanistan membolehkan negara Barat menguasai sumber kekayaan daripada bumi negara itu dan sekali gus meletakkan Barat terkehadapan dalam penguasaan ekonomi dan strategik dunia.
Amerika Syarikat dan negara Barat lain sebenarnya bimbang sekiranya gabungan Afghanistan dengan negara jirannya yang kaya dengan sumber bumi seperti Iraq, Libya dan Syria yang mempunyai simpanan minyak terbesar dunia serta Pakistan yang mempunyai teknologi dan hasrat politik berlaku.
Gabungan itu jika dibiarkan mampu menggugat kedudukan geo-politik dan senario kuasa dalam percaturan politik antarabangsa, justeru ia perlu dikekang.
Ternyata strategi Barat menguasai Afghanistan dan Iraq kini berlaku, Libya pula mula akur kepada tekanan. Kini Syria dan Iran pula menjadi sasaran seterusnya.
Apakah Malaysia juga tersenarai sebagai negara yang perlu dineutralkan selepas ini dan bagaimana pula dengan kebarangkalian negara kita yang stabil dari segi ekonomi dan politik mampu menggugat kerakusan Barat untuk menguasai dunia?
Dalam hal ini, negara yang tidak mempunyai kemampuan nuklear seharusnya mencurigai Barat dan Amerika Syarikat sebagai mana mereka mencurigai kemampuan kita untuk menyaingi mereka. Kenyataan bahawa tenaga nuklear mampu dijadikan aset untuk membangunkan negara dan juga senjata pemusnah tidak memberi jaminan kepada mana-mana negara di dunia bahawa ia tidak akan disalah guna.
Dalam keadaan tertentu, sebarang kemungkinan pasti berlaku. Menggunakan teknologi nuklear untuk memeras dan memaksa negara lain supaya tunduk juga adalah sesuatu yang salah, tidak bermoral dan menjurus kepada kemusnahan.
Sejarah yang tidak boleh dipadamkan mencatatkan bahawa Amerika Syarikat adalah satu-satunya negara yang meledakkan bom atom di Jepun pada 1945. Mungkinkah sejarah akan berulang selepas ini, hanya masa yang akan menentukannya.