Ditulis oleh : Pn. Mastura binti Mohd Zain Diterbitkan :
Bulan kemerdekaan datang lagi setiap tahun. Persoalan timbul, betulkah kita sudah merdeka dalam erti kata yang sebenar? Mungkin secara fizikal negara kita sudah tidak dijajah oleh penjajah, tetapi bagaimana dengan pemikiran dan tindak tanduk kita ? Adakah kita masih berfikiran cara kuno serta ketinggalan zaman?
Baru-baru ini timbul cadangan membawa masuk 1.5 juta pekerja dari Bangladesh ke Malaysia secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun bagi memenuhi permintaan majikan pelbagai sektor terutama perladangan, pembinaan, perkilangan dan perkhidmatan.
Alasan yang diberikan untuk membawa masuk pekerja asing termasuk dari Bangladesh kerana sikap rakyat Malaysia yang tidak berminat bekerja dalam sektor ‘3D’ – ‘dangerous’, ‘difficult’ dan ‘dirty’.
Tetapi adakah cara ini dapat menyelesaikan segala masalah? Kita perlu berfikir keluar kotak dan cuba mencari penyelesaian hakiki kepada permasalahan negara. Bukan penyelesaian yang bersifat sementara sahaja. Kita harus lebih kreatif dan memerdekakan pemikiran daripada takuk yang lama.
Kita semua maklum tentang kebanjiran warga asing di negara ini. Isu pendatang asing bukanlah satu perkara baru. Terdapat warga Indonesia, Nepal, Afrika, India, China, Bangladesh, Myammar dan sebagainya. Mereka semua bekerja dan berniaga di sini sehinggakan terdapat beberapa kawasan mereka yang monopoli . Warga tempatan pula akan berasa cuak jika berada di kawasan warga asing, terasa seolah-olah bukan di negara sendiri.
Kita juga maklum masalah-masalah yang dibawa oleh pendatang asing ke Malaysia. Mereka boleh bertindak ganas jika terasa diancam. Ini kerana semangat ‘survival’ mereka tinggi demi untuk meneruskan kelangsungan hidup di negara orang.
Kes rompak, samun, rogol, bunuh juga banyak dilakukan oleh warga asing. Kita tidak menafikan ada rakyat Malaysia yang terlibat, namun mangsa selalunya akan mengatakan penjenayah adalah warga asing berdasarkan percakapannya. Keselamatan sosial negara dan keamanan tergugat disebabkan peningkatan kadar jenayah.
Kita terpaksa membelanjakan duit lebih untuk memasang pagar keselamatan atau mengupah orang untuk menjaga kediaman. Kebanyakan kediaman sekarang mempunyai pagar keselamatan dengan pengawal; malah ia ciri penting bagi bakal pembeli rumah. Tetapi selamatkah kita apabila orang yang diupah juga warga asing? Persoalan ini harus dfikirkan agar jangan sampai jadi “harapkan pagar, pagar makan padi”.
Penyakit-penyakit berbahaya juga semakin merebak dengan meluas. Mereka yang bekerja sebagai pembantu rumah serta di kedai-kedai makan berisiko membawa penyakit. Ini kerana selalunya saringan kesihatan di negara asal tidak ketat. Bayangkan jika mereka diambil bekerja di kantin-kantin sekolah, penyakit akan senang merebak terutamanya kanak-kanak mudah terkena sebarang jangkitan.
Pendatang asing juga ramai yang terlibat dalam masalah gejala sosial. Kita khuatir ini akan menjadi barah yang sukar untuk dipulihkan serta menjadi contoh yang tidak baik kepada generasi muda.
Persoalannya, benarkah rakyat Malaysia terlalu memilih pekerjaan serta tidak mahu bekerja di bidang tertentu? Banyak faktor yang perlu diambil kira, contohnya gaji yang ditawarkan majikan jika terlalu rendah bagaimana mereka hendak menanggung keluarga?
Mungkin juga kita boleh melaksanakan kerahan tenaga dengan mewajibkan banduan, pesalah juvana, penagih dadah mahupun mat rempit untuk melakukan kerja-kerja yang disebut sebagai ‘3 D’ itu. Daripada duduk saja di penjara kita boleh menggunakan kudrat mereka yang masih kuat untuk melakukan kerja-kerja sedemikian. Jika perlu kita boleh memberi mereka sedikit upah setiap hari yang mereka bekerja. Apa yang penting adalah menggunakan sepenuhnya tenaga rakyat sendiri sebelum mengambil pekerja asing.
Selain daripada itu kita juga harus memperbetulkan cara berfikir. Anak-anak disuruh untuk belajar rajin-rajin agar nanti senang untuk mendapatkan kerja pangkat tinggi, pejabat berhawa dingin serta hidup mewah.
Gambaran ini yang kebanyakan ibu bapa tanamkan kepada minda anak-anak mereka sejak kecil lagi. Belajar tinggi untuk mendapat pekerjaan yang baik. Seolah-olah itu sahaja pilihan yang ada untuk mereka apabila dewasa dan memasuki alam kerjaya kelak.
Bagaimana jika anak itu tidak mampu dalam bidang akademik? Adakah dia dikira sebagai seorang yang gagal? Terdapat banyak pilihan sebenarnya yang boleh dibuat samada sekolah vokasional, teknik mahupun politeknik.
Masalahnya terdapat ibu bapa juga ahli keluarga yang memandang rendah institusi-institusi seperti ini. Contohnya jika seseorang itu diterima masuk Politeknik selepas Sijil Pelajaran Malaysia, soalan yang akan ditanya adalah mengapa tidak masuk universiti?
Anggapan sebegini yang selalunya membunuh semangat anak muda kita. Akhirnya mereka akan berpegang teguh pada anggapan bahawa bekerja hanyalah di pejabat yang berhawa dingin; masuk pukul 8 pagi dan habis pukul 5 petang.
Mereka tidak dapat bayangkan pekerjaan yang lain selain daripada di pejabat. Kebanyakannya orang Melayu yang membesar dengan anggapan sedemikian. Bangsa lain telah lama dididik sejak kecil oleh keluarga mereka untuk menceburi bidang perniagaan dan sebagainya.
Sedangkan kita sudah mempunyai panduan di dalam agama Islam. Daripada Ibnu Umar, ia berkata, Rasulullah SAW ditanya, “Pekerjaan apakah yang paling utama?” Baginda menjawab, “Pekerjaan seseorang dengan tangannya sendiri dan semua perniagaan yang baik (HR Thabrani).
Pekerjaan apa pun boleh menjadi pekerjaan yang baik asalkan halal dan bukan meminta-minta. Bekerjaya dalam agama Islam adalah salah satu ibadah dengan syarat pekerjaan itu tidak melibatkan perkara yang haram atau maksiat serta tidak mengabaikan kewajipan ibadah khusus seperti solat.
Bahang kemerdekaan yang masih terasa merupakan masa yang sangat sesuai untuk kita menilai semangat patriotik diri dalam memberi keutamaan kepada warga tempatan berbanding warga asing untuk mengisi pekerjaan di negara ini.