Ketika membicarakan isu pemartabatan wanita di dalam Seminar yang membawakan tema yang sama anjuran IKIM pada 18 Ogos yang lalu, perkara pertama yang saya sentuh ialah pemartabatan wanita dari pandangan umum world-view Islam yang meletakkan wanita dalam status kemanusiaan yang sama dengan lelaki. Wanita pada zaman sebelum Islam diperlakukan sebagai barang dagangan dan hamba, yang boleh dijual beli dan tidak mempunyai sebarang hak untuk membuktikan kewujudannya dalam sebarang ruang sekalipun, apalagi dari sudut pemilikan harta dan mewarisinya dari orang lain.
Bagaimanapun telah saya jelaskan bahawa isu pemartabatan wanita bukanlah hanya dari sudut itu sahaja, atau hanya dengan menekankan kepada apa yang sering diulang-ulangkan pada masa yang lampau, terutamanya dari sudut pandangan agama yang telah diketahui umum. Memang tidak dapat dinafikan bahawa fakta sejarah dan penekanan al-Quran dan Sunnah amat penting sekali ditonjolkan dalam membicarakan isu wanita, tetapi orang Islam juga harus peka dan perihatin dengan perkembangan semasa yang berlaku di sekelilingnya tentang status wanita dalam Islam, yang disuarakan secara yang amat negatif sekali oleh orang lain, khususnya para musuh Islam yang sering mencari-cari titik-titik yang boleh digunakannya untuk merendahkan pandangan dunia terhadap Islam.
Oleh itu saya tekankan bahawa umat Islam haruslah bersedia dengan kepelbagaian hujah yang berbentuk ilmu dan pengetahuan yang dapat membantu pandangan sekularis memahami isu yang dibicarakan, termasuk isu wanita ini. Kepada orang-orang yang berfikiran sekular bawalah seribu ayat dan hadis, maka mereka tetap akan mengabaikannya, mereka lebih berminat dengan apa yang diutarakan melalui logik dan fakta, analisis sosial dan ekonomi. Oleh itu orang Islam haruslah bersedia untuk berhujah dengan fakta al-Quran dan Sunnah, dan dalam masa yang sama haruslah juga menguasai penghujahan yang menggunakan pendekatan sosial, ekonomi dan politik semasa dengan kadar yang meyakinkan orang lain, termasuk para musuh Islam sendiri.
Pemantauan yang dilakukan kepada internet umpamanya, seperti yang pernah saya bicarakan di ruangan ini tidak lama dulu, terdapat maklumat yang amat mengelirukan tentang kedudukan wanita di dalam Islam. Maklumat yang diberikan dengan penyelewengan fakta sejarah dan agama, telah memberikan gambaran yang amat negatif tentang world-view Islam terhadap wanita. Wanita Islam digambarkan sebagai objek seks kononnya kerana Rasulullah s.a.w. telah berkahwin dengan ramai wanita dalam jangka masa yang pendek sahaja. Rasulullah s.a.w. juga dituduh sebagai mencabul hak wanita dengan mengahwini Aishah yang digambarkan sebagai bayi atau kanak-kanak yang masih kecil. Malah baginda dituduh juga sebagai seorang yang tamakkan harta Khadijah iaitu ketika baginda berkahwin dengan Khadijah ketika baginda masih muda kononnya semata-mata kerana mahu hidup mewah di atas kekayaan isterinya itu.
Banyak lagi pemesongan fakta dan analisis sejarah dan agama yang dilakukan oleh berbagai-bagai kalangan dalam isu ini semata-mata untuk merendah-rendahkan agama dan ajaran Islam. Bagi orang awam yang tidak mendalami agama dan tidak dapat menangkap rahsia dan hikmah dari peristiwa sejarah dan wahyu Allah s.w.t., maka hal ini amat mempengaruhi pemikirannya dan akan turut serta mengiyakan segala tuduhan yang dilemparkan kepada Islam dan Nabi Muhammad s.a.w.
Berdasarkan kekeliruan yang ditimbulkan inilah maka saya tegaskan bahawa orang Islam zaman ini haruslah bersikap lebih serius dalam menangani isu-isu sosial dan politik dunia terkini, dan kita haruslah lebih bersedia menghadapi cabaran-cabaran global yang lebih hebat dari masa ke semasa. Dalam memberikan jawapan kepada persoalan yang ditimbulkan tentang baginda Rasulullah s.a.w. dan isu perkahwinannya umpamanya, maka bagaimanakah isu itu harus dijawap sekiranya orang Islam sendiri tidak mengetahui persoalannya yang sebenar. Jawapan bagi persoalan tersebut ketika ini tidak hanya dengan membawakan ayat dan hadis, kerana bagi orang yang berfikir secara sekular, maka mereka tidak akan yakin dengan jawapan itu. Oleh itu jawapannya haruslah disertai dengan fakta sejarah yang membawakan fakta-fakta sosial, ekonomi, politik dan lain-lain yang merupakan fakta semasa tentang mengapa dan kenapa Islam bertindak begitu melalui tauladan Rasulullah s.a.w. yang melaksanakan hikmah dan akhlak wahyu Allah s.w.t.
Kelemahan orang Islam sekarang ialah kerana kelemahan menguasai ilmu pengetahuan yang sentiasa berubah-ubah. Perkembangan ilmu moden yang telah jauh maju ke depan tidak dapat dihambat oleh orang Islam, maka akhirnya orang Islam beranggapan bahawa al-Quran dan Sunnah hanya cukup dengan memberikan tafsiran tradisional tanpa dihubungkaitkan dengan perkembangan baru yang berbeza dari zaman ribuan tahun yang lampau. Dengan penegasan ini bukanlah bererti bahawa kita harus mengubah hukum dan isi kandungan al-Quran, malah kita haruslah mempertahankannya bermati-matian, tetapi pentafsiran bagi kandungan al-Quran yang berhubung rapat dengan pertumbuhan dan perkembangan dunia dan manusia haruslah mengalami kekayaan ilmu manusia yang masih tetap berpusing di sekitar prinsip tauhid, tetapi telah menjangkaui pemikiran jumud dan statik sebahagian umat kita.
Dalam isu inilah saya tegaskan juga bahawa sejarah Islam memberikan semacam statistik penglibatan wanita di dalam aktiviti kahidupan dunia pada zaman Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya. Bagaimanapun statistik ini bukanlah hanya menggambarkan angka dan kuantiti sahaja, malah lebih dari itu menggambarkan kualitinya, keterampilan para wanita zaman itu dalam bidang ilmu pengetahuan, sehingga sejarah dapat menyaksikan personaliti wanita seperti Aishah yang menguasai bidang ilmu yang amat mendalam.
Maka demikian jugalah halnya sekarang iaitu yang seharusnya mendapat perhatian kita bahawa statistik wanita Islam yang menonjol di dalam masyarakat dan negara kita, tidak seharusnya hanya menggambarkan kedudukan kuantiti yang dapat dibanggakan, tetapi kualiti mereka juga haruslah merupakan sesuatu yang membezakan wanita Islam di negara kita dari wanita Islam di negara lain, iaitu dari sudut keilmuan, moral dan maruahnya yang tinggi dan dominan. Pada ketika itu barulah penglibatan wanita dalam masyarakat kita benar-benar dapat dibanggakan.
Dari sudut inilah timbulnya isu yang dibesar-besarkan tentang maskahwin yang saya sentuh hanya secara sepintas lalu sahaja pada hari itu. Pada saya maskahwin sebagai lambang yang dikemukakan Islam untuk meletakkan wanita pada kedudukan yang tinggi, iaitu dengan memberikan hak kepada wanita untuk memiliki harta tanpa dapat diganggu gugat oleh orang lain, termasuk ibu bapanya sendiri, haruslah diberikan perhatian oleh pihak lelaki. Isunya bukanlah isu kepenggunaan yang berdasarkan kebendaan dan nilai benda, malah saya tidak pun mencadangkan jumlah maskahwin yang tertentu, tetapi isunya ialah isu nilai dan harga diri wanita yang sepatutnya diberikan penghargaan yang tinggi. Seorang teman saya secara berjenaka memberitahu saya bahawa dia membayar harga membeli seekor ikan tenggiri di pasar Selayang lebih mahal dari jumlah maskahwin yang dibayarnya semasa berkahwin dulu.
Mas kahwin hanyalah merupakan satu contoh bagaimana Islam menginstitusikan martabat wanita dan melambangkan kebebasan dan kemerdekaan wanita dari belenggu perhambaan dan imej komoditi yang boleh dijual beli sebagai barang dagangan. Inilah isunya yang sebenar yang harus disedari oleh masyarakat umum, dan isu yang seharusnya dapat mengubah mind set masyarakat termasuk institusi agama yang tidak mengalami perubahan sejak berdekad-dekad lamanya. Pada saya bukanlah jumlahnya yang menjadi isu, tetapi cara kita berfikir itulah yang amat penting. Zaman sekarang ialah zaman berfikir dan bertindak, bukan zaman memukul gendang raya yang isinya kosong semata-mata.
Isu memartabatkan wanita bukanlah merupakan isu yang boleh diputarbelitkan menjadi isu gender atau urusan wanita yang harus ditentang oleh lelaki, dan isu ini bukanlah isu kepenggunaan dan consumanisme yang harus dilihat dari segi kuantitatif semata-mata, tetapi isu ini adalah isu sejagat yang melibatkan world-view manusia, sikap masyarakat dan pemikiran terbuka semua pihak.