Penulis baru-baru ini ditanya oleh bapa mentua penulis adakah apa yang terjadi di Mahkamah Persekutuan dengan keputusan majoriti 8-1 baru-baru ini terhadap kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid mencabar 16 kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 menunjukkan Mahkamah Syariah sebenarnya di bawah Mahkamah Sivil? Bukankah itu suatu penghinaan terhadap Mahkamah Syariah di negara ini, ujar beliau lagi?
Satu persoalan yang bukan sahaja berlegar dalam benak kepala beliau seorang, tetapi juga dalam sebilangan besar masyarakat awam hari ini. Menelusuri pelbagai tulisan-tulisan dan pandangan yang dilontarkan oleh pakar-pakar perundangan dalam negara kita termasuk oleh mantan Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad, oleh Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil dan lain-lain, penulis ingin berkongsi pandangan sebenar yang perlu disampaikan kepada khalayak masyarakat awam kita hari ini agar tidak dikelirukan oleh mereka yang cuba mengambil kesempatan terhadap kekeruhan yang berlaku ini. Semestinya, ia suatu episod yang mendukacitakan dan menyedihkan kita semua sebagai umat Islam kerana implikasi yang berlaku ini menyebabkan bukan sahaja Undang-Undang Syariah Negeri Kelantan yang terbatal, bahkan undang-undang yang sama yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri-Negeri di seluruh negara juga berpotensi untuk turut terbatal.
Perkara pertama, yang harus difahami ialah, seperti dinyatakan oleh Tun Hamid, para hakim mahkamah sivil yang beragama Islam hanyalah sekadar memberi tafsiran terhadap undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan. Mengikut ilmu dan kepakaran mereka, tafsiran yang benar dan hukuman yang adil terhadap situasi yang dihadapi adalah seperti itu. Oleh itu, elak daripada mengecam mereka sebagai “jahil” atau “menolak syariah” atau “sekular” atau cercaan yang seumpama itu. Mereka terikat dengan Undang-Undang dan Perlembagaan Persekutuan (yang akan kita jelaskan selepas ini), walaupun mungkin mereka mempunyai keinginan peribadi yang berbeza sebagai seorang Islam.
Perkara kedua, ialah berkaitan bidang kuasa Dewan Undangan Negeri-negeri. Perkara 76A (1) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menurunkan kuasa membuat undang-undang kepada Dewan Undangan Negeri-negeri, namun ianya “tertakluk kepada syarat-syarat dan sekatan tertentu”, ia menyebut: “Dengan ini ditegaskan bahawa kuasa Parlimen untuk membuat undang-undang mengenai sesuatu perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai Persekutuan termasuklah kuasa untuk membenarkan Badan-Badan Perundangan Negeri-Negeri atau mana-mana daripadanya, tertakluk kepada apa-apa syarat atau sekatan (jika ada) yang dikenakan oleh Parlimen, untuk membuat undang-undang mengenai kesemua atau mana-mana bahagian perkara itu”
Antara sekatan yang wujud ialah Senarai Persekutuan (Senarai 1) yang merupakan perkara di bawah bidang kuasa Perundangan Parlimen. Butiran 4 Senarai Persekutuan memperuntukkan antara lain undang-undang dan tatacara jenayah serta pentadbiran keadilan adalah di bawah kuasa perundangan Parlimen. Berkaitan jenayah syariah pula, Butiran 1 Senarai Negeri pula memperuntukkan kuasa perundangan negeri merangkumi pewujudan dan hukuman kesalahan dilakukan umat Islam terhadap perintah agama Islam, kecuali berkenaan dengan perkara yang terkandung dalam Senarai Persekutuan.
Mahkamah Persekutuan telah mendapati 16 peruntukan daripada 18 peruntukan yang dicabar oleh Nik Elin adalah berkaitan perkara di bawah Senarai Persekutuan, iaitu di bawah kuasa perundangan Parlimen. Oleh itu Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan telah melangkaui bidang kuasanya dalam menggubal undang-undang tersebut. Ada pun dua lagi petisyen terhadap Seksyen 13 dan Seksyen 30 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Negeri Kelantan, Mahkamah yang sama memutuskan DUN mempunyai kuasa dan ia adalah sah. Seksyen berkenan berkaitan penyerahan anak kepada orang bukan Islam atau Muslim yang rosak akhlaknya (Seksyen 13), dan perkataan yang boleh memecahkan keamanan (Seksyen 30). Di sini ternampak bahawa Mahkamah tidak semberono menerima petisyen itu bulat-bulat, namun telah meneliti dan menolak dua permohonan petisyen pencabaran itu.
Apa yang dibawa oleh Nik Elin melalui petisyen yang difailkan pada 25 Mei 2022 dan keputusannya diumumkan 9 Febuari 2024 lalu bukanlah sesuatu yang baharu. Sebelum ini seorang lelaki bernama Iki Putra pernah didakwa di Mahkamah Syariah pada 21 Ogos 2019 atas kesalahan meliwat yang dilakukannya di Bangi, Selangor, namun disebabkan tidak berpuas hati dengan pertuduhan itu, dia mencabar peruntukan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah Selangor (EJSS) 1995 dengan mendakwa negeri atau Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk menggubal dan membicarakan kes jenayah liwat. Pada 25 Februari 2021, Mahkamah Persekutuan sebulat suara membenarkan cabaran undang-undang dibuat Iki Putra, sekaligus mengenepikan undang-undang Syariah Selangor yang menetapkan seks di luar tabii sebagai jenayah. Susulan itu, mahkamah memutuskan bidang kuasa jenayah adalah bidang kuasa Persekutuan, bukan Negeri. Undang-undang Syariah Selangor lebih awal lagi pernah dicabar keabsahannya sebelum Undang-Undang Syariah Kelantan oleh Nik Elin.
Apa yang jelas di sini ialah wujudnya pertindihan undang-undang jenayah syariah negeri dan undang-undang jenayah Persekutuan. Oleh itu tindakan yang dilakukan oleh para hakim tersebut dari satu segi ada positifnya kerana ia meletakkan bidang kuasa badan perundangan negeri dan badan perundangan peringkat Persekutuan (Parlimen) dalam kedudukan yang betul dan tidak bercelaru atau bertindan antara satu sama lain.
Perkara ketiga, ada juga pihak menyalahkan pihak kerajaan-kerajaan sebelum ini kerana kegagalan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 atau lebih dikenali sebagai Akta 355 melalui Rang Undang-Undang (RUU) yang telah dideraf dan dibentangkan. Seperti yang ditulis oleh Tun Hamid, jika sekalipun Akta 355 itu berjaya dipinda sebelum ini sekalipun, ia tidak akan menyelesaikan masalah yang dihadapi ini. RUU Akta 355 sekadar memperkasakan hukuman-hukuman bagi kesalahan syariah, namun jika peruntukan untuk kesalahan syariah itu sendiri tidak sah dan terbatal, apa makna jika wujud hukuman yang lebih berat sekalipun.
Perkara keempat, persoalan yang seterusnya apakah tindakan yang harus diambil selepas itu (way forward)? Sudah pasti sesuatu perlu dilakukan dan kita tidak boleh berpeluk tubuh kerana implikasinya amat besar terhadap Undang-Undang Syariah di negara kita ini seperti mana yang berlaku terhadap Selangor dan Kelantan. Kerajaan Persekutuan di bawah portofolio Menteri (Hal Ehwal Agama) sudah pun menubuhkan Jawatankuasa Mengkaji Isu Berkaitan Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam yang mengumpulkan pakar-pakar perundangan dan pemegang taruh dalam hal ini bagi mencari penyelesaian terbaik. Saranan Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Dato’ Wan Mohamad Dato Sheikh Abdul Aziz agar kedudukan Mahkamah Syariah diperkukuhkan melalui pindaan Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan supaya penubuhan Mahkamah Syariah disebut dengan jelas sewajarnya menjadi antara keutamaan dalam mencari penyelesaian terhadap pertelingkahan tanpa penghujungnya antara bidangkuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil di negara kita ini.