Cuaca panas pada bulan Ramadan kali ini dihangatkan lagi dengan isu-isu kontroversi yang melibatkan umat Islam di Malaysia. Walaupun berlainan, tetapi ia membawa naratif sama yang perlu diteladani dan diinsafi. Pertama, isu stoking yang tertera kalimah Allah. Kalimah Allah yang merupakan kalimah agung bagi Muslim diletakkan pada tempat yang tidak sepatutnya bukanlah pertama kali berlaku. Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang pada 6 Julai 2010 telah membincangkan berkenaan selipar dan kasut yang bertulis kalimah Allah dengan ketetapan bahawa semua selipar dan kasut sebuah jenama terkenal yang mengandungi lambang menyerupai kalimah “lillah” adalah haram penggunaannya.
Terdapat juga beberapa isu kalimah Allah diletakkan pada kasut dan selipar dilihat sengaja mencabar kesabaran umat Islam. Terbaharu, tular isu penjualan stoking berjenama MiranoSock yang tertera kalimah Allah di salah satu cawangan kedai serbaneka terkemuka, KK Super Mart.
Pihak IKIM berduka cita dan terkilan dengan isu yang berlaku ini dan memohon supaya pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya sekiranya ada unsur mengina agama Islam dalam isu ini. Disebabkan kes seumpamanya bukanlah pertama kali terjadi, maka diharapkan insiden seperti ini tidak lagi berlaku pada masa akan datang dan tindakan lebih tegas perlu dikenakan sekiranya mana-mana pihak cuba mengganggu-gugat keamanan dan memecahbelahkan masyarakat terutamanya isu yang menyentuh aspek 3R (kaum, agama dan institusi diraja).
Dalam sebuah negara berbilang kaum, bangsa dan agama, sensitiviti masyarakat Malaysia perlulah dijaga sebaiknya demi mengekalkan keharmonian dan kedamaian yang telah dikecapi sejak sekian lama. Pendekatan hidup dalam keadaan aman dan damai seperti ditekankan dalam Fiqh al-Ta’ayush (peaceful co-existence) hendaklah diterapkan dalam semua lapisan masyarakat. Semua pihak wajib memahami pantang larang dalam agama terutama dalam agama Islam.
Pengasas rangkaian kedai serbaneka KK Mart dan isteri serta tiga individu lain yang membekalkan stoking tertera kalimah Allah kepada KK Mart telah dikenakan pertuduhan di bawah seksyen 298 Kanun Kesiksaan yang membabitkan perbuatan dan perkataan atau sebagainya dengan sengaja dengan niat mahu melukakan perasaan agama seseorang. Jika sabit kesalahan, pelakunya boleh dipenjara sehingga setahun, dikenakan denda atau kedua-duanya sekali. Justeru, rakyat diminta untuk terus bergerak maju dari insiden ini dan jangan sama sekali mengambil tindakan di luar dari batasan undang-undang dan tidak perlu terlibat dalam aktiviti boikot.
Kedua, bercakap soal perkara yang mampu memecahbelahkan umat Islam, tanpa disedari sesama umat Islam sendiri pun tidak bersatu dalam hal tertentu. Baru-baru ini, tular isu saf jemaah perempuan di sebuah masjid ibu kota yang lompong dan solat secara berkelompok. Waima apa alasan diberikan sekalipun seperti malas bangun dan pindah kedudukan kerana perlu mengangkut sejadah dan barang lain, perbezaan saf antara yang tua dengan muda, ingin duduk di tempat yang selesa seperti bawah kipas, berhampiran pintu keluar dan sebagainya, ia tetap bertentangan dengan sabda Nabi Muhammad SAW supaya meluruskan saf kerana ia merupakan sebahagian daripada kesempurnaan solat berjemaah.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata terdapat beberapa hadis memerintahkan umat Islam menyamakan saf ketika solat berjemaah. Rasulullah SAW merupakan suri teladan bagi umat Islam dan amat wajar untuk kita mengikuti sunah Baginda dalam setiap aspek kehidupan terutamanya berkaitan ibadat.
Setiap kali sebelum memulakan solat berjemaah, imam sering menasihati para makmum supaya merapatkan saf dan menyamakan tumit kaki sesama jemaah. Ini juga boleh dianggap simbolik supaya umat Islam bersatu-padu dan merendahkan diri ketika bersolat kerana Allah tidak membeza-bezakan umat mengikut kasta dan semua hamba adalah sama di sisi-Nya, yang membezakan hanyalah iman dan takwa seseorang itu.
Ketiga, bukan sahaja isu saf ini menjadi perbualan hangat, isu solat dua imam dalam satu masjid yang pernah diamalkan di sesetengah tempat juga turut diberi perhatian. Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah bertitah supaya kesucian masjid dijaga dan tidak wajar dijadikan sebagai pentas politik.
Akhbar BH bertarikh 19 Julai 1982 pernah melaporkan kejadian solat tarawih dua imam secara serentak di Masjid Gong Pasir, Besut, Terengganu selama sebulan Ramadan pada Julai 1982 antara jemaah pengikut kerajaan dengan pengikut PAS. Solat dua imam yang telah berakar umbi di sesetengah tempat ini juga ada kaitannya dengan parti politik dan wujudnya sifat takfiri iaitu tuduhan mengkafirkan orang lain.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar turut menyatakan gelombang pemikiran khawarij baru yang ingin menjatuhkan mana-mana pemerintah yang dilabelkan sebagai zalim dan takfiri di Malaysia berada pada tahap membimbangkan. Oleh yang demikian, pihak kerajaan akan senantiasa memantau pengajaran agama Islam di semua platform agar tidak menyimpang daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ). Ini juga selaras dengan keputusan Muzakarah Khas Jawatankausa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) bersidang pada 5 Mei 1996 bahawa umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran Islam berasaskan pegangan ASWJ dari segi akidah, syariah dan akhlak.
Golongan keterlaluan atau melampau (ghuluw) ini menerapkan kefahaman ekstrem dalam memahami dan mengambil sesuatu tindakan. Ghuluw dalam beragama adalah sikap melampau batas dalam perintah agama. Dalam hal ini, Islam ialah agama pertengahan (wasatiyyah) yang menyarankan umatnya senantiasa berada pada jalan lurus dan tidak berlebih-lebih. Islam menganjurkan kita supaya bersederhana dalam semua perkara, baik dalam hal agama mahupun kehidupan secara keseluruhannya.
Allah SWT berfirman dalam surah an-Nisa’ ayat 171 maksudnya: “Janganlah kamu melampaui batas dalam perkara agama kamu, dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar.” Sesungguhnya, konsep bersederhana adalah sangat sesuai dengan senario masyarakat majmuk di Malaysia yang mempunyai diversiti etnik, kaum, budaya dan agama.
Sekiranya gejala khawarij baru dan ghuluw ini tidak dibendung, dikhuatiri dengan tindakan mengkafirkan seterunya, akan menimbulkan perpecahan dan merosakkan perpaduan dalam kalangan rakyat selain menyebabkan Islam itu sendiri dipandang serong oleh agama lain. Pihak yang tidak bertanggungjawab ini juga boleh dikenakan hukuman menurut lunas undang-undang sedia ada.
Dalam kita mengecam tindakan pihak yang dengan sengaja atau tidak memprovokasi agama Islam di Malaysia, janganlah kita juga membutakan mata dan hati terhadap sikap umat Islam sendiri yang terlalu taasub dengan politik kepartian sehingga menganggap saudara seIslam sendiri sebagai kafir kerana berbeza ideologi dan pemikiran dengannya. Bak kata pepatah “Seekor kuman di negeri China dapat dilihat, tetapi gajah bertenggek di batang hidung tiada sedar.” Pada bulan Ramadan ini, semua pihak haruslah bermuhasabah diri, bukan sahaja berpuasa menahan nafsu, lapar dan dahaga tetapi berpuasa mulut serta pancaindera lain dari sebarang tindakan yang melampau dan ghuluw.