Beberapa hari lagi, dengan terbitnya anak bulan Syawal 1445H, Umat Islam di serata dunia bakal menyambut Idul Fitr.
Ramadan bakal ditinggalkan tanpa kepastian bahawa mereka bakal bertemu semula dengan bulan penuh berkat ini pada tahun berikutnya.
Yang lebih utama lagi adalah persoalan sama ada ibadat puasa yang dilaksanakan sepanjang sebulan itu benar-benar memberi kesan bermakna pada diri orang-orang Islam.
Barangkali, akan ada yang bertanya, kesan bermakna yang bagaimana yang dimaksudkan?
Jawapan kepada persoalan tersebut sewajarnya dikembalikan kepada intisari asal puasa, sebagaimana yang dizahirkan dalam bahasa Arab.
Puasa dalam bahasa Arab disebut siyam atau sawm, yang bermaksud kegiatan “menahan diri” atau “mengawal diri” (kaff atau imsak).
Dalam pelaksanaan puasa sebagai ibadat yang disyariatkan, daya kawal diri ini bermula dengan penahanan diri daripada dua kegiatan yang mencirikan kehidupan duniawi yang sangat asas, iaitu makan-minum dan hubungan kelamin.
Kegiatan duniawi yang pertama itu bagi kelangsungan hidup jasadi setiap insan manakala kegiatan yang kedua itu demi kelangsungan bangsa insan turun-temurun di muka bumi ini.
Namun, sebagaimana yang dijelaskan oleh alim-ulama, penahanan diri itu tiada terhenti pada takat permulaan itu.
Malah, puasa seseorang itu sewajarnya maju meningkat kepada kawalan diri daripada sebarang perbuatan anggota badannya yang merosakkan.
Misalnya, seseorang Islam itu sepatutnya mengawal matanya daripada melihat apa yang tidak baik, mengelakkan telinganya daripada mendengar apa yang keji, dan menahan tangannya daripada kegiatan yang memudaratkan.
Bahkan, daya kawal diri yang mencirikan puasa ini wajar memajukan diri seorang Islam kepada tingkat kelolaan daya fikir seutuhnya daripada tumpuan kepada perkara-perkara yang tidak atau kurang penting, apatah lagi perkara-perkara yang sememangnya hina.
Sebaliknya, perhatian diri ini wajib dipusatkan kepada yang paling utama, yang akhirnya merujuk kepada Allah sebagai tujuan mutlak hidup kita yang abadi.
Berbalik kepada soalan yang dikemukakan di atas tadi, adakah kita sesungguhnya telah berpuasa dalam ketiga-tiga tingkat pengertian itu?
Sekiranya mutu puasa kita masih mundur, meskipun telah diperuntukkan sebulan untuk ibadat-kegiatan khas ini, bagaimana dapat kita harapkan bahawa pada bulan-bulan berikutnya kita menjadi diri-diri yang lebih baik?
Jika sisa pembaziran makanan tiadapat dibendung sepanjang Ramadan, malah semakin meningkat, kita sebetulnya telah gagal pada tingkat kawalan diri yang paling asas.
Ini tidak mengambil kira penggunaan plastik yang berleluasa, khasnya tatkala penganjuran majlis-majlis berbuka puasa, moreh dan sahur pada pelbagai peringkat masyarakat, selain pembelian juadah iftar yang melebihi keperluan.
Sekiranya kita tidak dapat mengawal diri daripada menyebarkan berita-berita yang tiadapat dipastikan kesahihannya melalui media sosial dengan sentuhan jari tangan kita sepanjang sebulan berpuasa, kita sebenarnya telah gagal pada tingkat kawalan diri yang kedua.
Seandainya dalam tempoh sebulan berpuasa, orang-orang Islam yang berkuasa masih membiarkan diri mereka disibukkan dengan pelbagai agenda yang akhirnya hanya menguntungkan diri peribadi atau kelompok terhad mereka masing-masing, tanpa mempedulikan nasib sebenar masyarakat atau rakyat terbanyak, apakah mereka dapat diharapkan untuk menghadapkan kesedaran diri mereka seutuhnya kepada Allah?
Dengan kata lain, dapatkah mereka naik ke martabat puasa yang ketiga?
Ramadan ialah bulan anugerah Ilahi kepada kita bagi memusatkan perhatian kita kepada kemajuan kawalan diri.
Hanya apabila kita memanfaatkan anugerah tersebut bagi maksud yang ditujui itu barulah dapat kita menaruh harapan, pasti dengan izin Allah SWT, bahawa pada fasa-fasa kehidupan kita seterusnya semangat puasa itu kekal membara dalam diri.
Akhirnya, diri kitalah yang perlu menjawab sendiri persoalan di atas itu tadi!