ISU paling heboh diperkatakan buat masa sekarang adalah berkaitan memelihara kedaulatan dan keamanan di perairan Selat Melaka. Perairan yang paling sibuk dan penting di dunia ini dikatakan semakin terancam akibat aktiviti keganasan sebagaimana menurut fahaman sebuah negara jiran.
Bagi mengekalkan keamanan, Singapura yang sejak dulu lagi bercita-cita tinggi untuk menjadi benteng Amerika Syarikat (AS) di rantau ini telah mencadangkan agar kuasa besar itu dapat memberi bantuan dari segi ketenteraan supaya sebarang kegiatan keganasan dapat dihapuskan.
Bagaimanapun, cadangan tersebut telah menerima banyak tentangan kerana ia dilihat membelakangkan kedaulatan negara-negara yang terbabit seperti Malaysia dan Indonesia. Walaupun masing-masing memahami betapa perlunya memelihara keamanan serantau, namun kedaulatan dan kekuatan ataupun keupayaan sendiri dalam perkara ini tanpa penglibatan dan pengaruh dari luar, lebih-lebih lagi dari negara asing, sewajarnya diutamakan.
Masyarakat antarabangsa kini sudah maklum bahawa AS adalah sebuah negara penjajah. Buat masa ini, mereka menggunakan alasan keganasan untuk menguasai dunia dan negara lain berserta dengan seluruh hasilnya dalam usaha mengekalkan kuasa dan hegemoni mereka.
Sememangnya tindakan mereka ini bertitik tolak daripada rasa ketakutan dan kebimbangan terhadap kepentingan mereka lebih-lebih lagi selepas peristiwa 11 September 2001. Dan ketakutan mereka ini akhirnya melahirkan lebih banyak lagi rasa takut dan cemas terhadap negara lain seolah-olah tidak mampu dibendung lagi yang mana akhirnya mendatangkan tekanan pula kepada negara-negara terbabit.
Pengalaman lalu menunjukkan betapa mereka telah menggunakan seluruh kekuatan ketenteraan dalam usaha menghapuskan kegiatan pengganas terutamanya di Afghanistan dan Iraq. Kini secara rasminya sasaran ketenteraan AS beralih pula ke Asia Tenggara apabila Setiausaha Pertahanan AS, Donald Rumsfeld sendiri mengesahkannya ketika beliau mengunjungi tenteranya di pangkalan Tentera Laut Changi, Singapura.
Bagaimanapun, bentuk kawalan yang macam mana nanti masih lagi dalam pemerhatian mereka. Namun kebimbangan sekarang adalah kemungkinan rantau Asia Tenggara akan turut menerima nasib yang sama kelak seperti yang telah dialami oleh Iraq dan Afghanistan. Sekiranya ia benar-benar terjadi, keadaan mungkin amat sukar untuk pulih seperti sedia kala jika diimbas kembali bagaimana pengalaman di Iraq dan Afghanistan. Sememangnya ini adalah ancaman bukan sahaja di rantau ini nanti, tetapi juga terhadap keamanan dan kestabilan dunia keseluruhannya.
Kegagalan AS menemui sebarang senjata pemusnah di Iraq menyebabkan Timbalan Pengarah Operasi Agensi Perisikan Pusat atau CIA, James Pavitt akhirnya terpaksa meletak jawatan sementara Pengarahnya pula, George Tenet juga akan mengambil tindakan yang sama dalam masa terdekat ini.
Pelbagai reaksi mungkin akan timbul rentetan daripada perkara ini. Ada yang akan beranggapan mereka meletak jawatan kerana bertanggungjawab di atas kegagalan menyediakan maklumat yang tepat kepada kerajaan AS. Atau mungkin juga kerana mereka tidak tertahan lagi dengan pelbagai kritikan yang diterima berkaitan isu Iraq. Ada juga kemungkinan mereka berhenti kerana telah ditawarkan tugas baru yang lebih baik dan semoga peletakan jawatan mereka akan dapat meredakan sedikit suasana panas di agensi kerajaan itu.
Namun ini semuanya adalah percaturan politik AS yang cuba mengabui mata dunia dan rakyatnya sendiri dari sebarang kebenaran.
Pencerobohan di Afghanistan dan Iraq juga sebenarnya merupakan pencabulan terhadap kestabilan dan kehormatan agama khususnya agama Islam. Tentera AS langsung tidak menghiraukan sensitiviti beragama penduduk tempatan di mana mereka membedil berpuluh-puluh masjid dan tempat suci orang Islam yang dikatakan menjadi tempat persembunyian pengganas. Inilah kesempatan dan peluang yang mereka gunakan sepenuhnya untuk menghentam umat Islam yang mereka anggap sebagai musuh paling nyata ketika ini.
Hasil pemerhatian terhadap pengalaman di Afghanistan dan Iraq itu, didapati bahawa AS tidak mampu dan tidak berupaya pun untuk bertindak bagi menjamin kemakmuran dan kestabilan di negara berkenaan. Mereka bukanlah pembela tetapi lebih banyak mendatangkan ancaman dan kesengsaraan kepada penduduk tempatan. Pengalaman-pengalaman seperti ini wajar diambil kira jika ada ura-ura mahu melibatkan ketenteraan AS mengembalikan kestabilan di perairan Selat Melaka. Ada kemungkinan akan mengundang lebih banyak padah dan bukannya mengundang kestabilan. Kebaikan yang dicari, tetapi kemudaratan yang lebih besar pula yang akan muncul. Bagaimana AS mampu membawa keamanan dan kestabilan jika mereka sendiri yang mencetuskan idea mempromosi keganasan.
Menjamin kestabilan agama merupakan satu daripada tuntutan Syariah. Oleh yang demikian, menjadi kewajipan setiap orang Islam untuk memelihara dan mengekalkan kewujudan ajaran Islam serta menjaga kestabilannya daripada sebarang bentuk ancaman. Sesuatu yang amat janggal apabila ada golongan yang meminta bantuan dari musuh-musuh Islam untuk mempertahankan kestabilan dan kehormatan agama Islam atas alasan kerana mereka lebih berkemampuan dari segi ketenteraan dan persenjataan yang canggih. Renungilah firman Allah dalam surah Al-Mumtahanah, ayat 9 yang bermaksud: Sesungguhnya Allah melarang kamu menjadikan sebagai kawan kamu orang-orang yang memerangi kamu kerana agama dan mengusir kamu dari negerimu dan membantu orang lain untuk mengusir mu. Dan barang siapa menjadikan mereka sebagai kawan, mereka itulah orang-orang yang zalim.