KEBELAKANGAN ini kita berdepan dengan pelbagai isu mengenai gejala keruntuhan akhlak dan pembabitan jenayah oleh kanak-kanak serta remaja.
Gejala itu membimbangkan dan menjadi petunjuk bahawa usaha mencapai kemajuan akan membawa kita berdepan dengan pelbagai masalah khususnya perlakuan jenayah.
Sebagaimana dilaporkan akhbar, isu pelajar membelasah pelajar dan samseng bukan sesuatu yang baru.
Merujuk sejarah pembabitan remaja dengan jenayah, ia menunjukkan tanda membimbangkan seawal tahun 60-an, berikutan penularan budaya hippies dan penagihan dadah.
Budaya dan amalan hidup yang negatif itu tidak terhenti setakat itu saja.
Pada tahun 70-an, 80-an dan 90-an, remaja menunjukkan kecenderungan membabitkan diri dengan gejala sosial seperti arak, seks bebas, dadah bentuk baru dan pelacuran bawah umur.
Dr Siti Hawa Kasim ketika membentangkan kertas kerja bertajuk “Gejala Sosial Sebagai Satu Ancaman terhadap Keselamatan Ummah” berkata menjelang abad ke-21, keruntuhan akhlak semakin ketara apabila jenayah rogol, sumbang mahram, rompak, kongsi gelap, peras ugut, judi, rasuah, bunuh dan memiliki senjata haram meningkat.
Jenayah rogol contohnya semakin menjadi-jadi walaupun sudah ada Akta Perlindungan Wanita dan Kanak-kanak.
Demikian juga gengsterisme dan vandalisme pelajar sekolah. Perbuatan menconteng dengan lukisan lucah dan merosakkan harta benda awam gemar dilakukan remaja negara ini.
Sumber Kementerian Pendidikan berkata, kira-kira 1.09 peratus atau 76,300 daripada keseluruhan 7 juta pelajar negara ini terbabit dengan pelbagai masalah disiplin termasuk samseng.
Keadaan ini berkaitan dengan peningkatan kadar jenayah hingga menimbulkan keresahan masyarakat.
Pembabitan orang Melayu beragama Islam dalam jenayah kebelakangan ini menjadi cabaran kepada semua pihak yang terbabit seperti penguat kuasa undang-undang.
Persoalannya, apakah faktor yang menyebabkan jenayah itu begitu meluas kini?
Ia bukan persoalan undang-undang semata-mata, sebaliknya merangkumi budaya, sosial dan permasalahan keluarga serta perubahan nilai hidup yang baru.
Ramai orang Melayu kini dilanda masalah keluarga yang berat seperti perceraian, kurang kemahiran keibubapaan dan anak melarikan diri dari rumah.
Keluarga seperti ini tidak dapat memainkan peranan dan memberi sumbangan dalam pembentukan masyarakat penyayang kerana mereka memerlukan ruang untuk mengatasi masalah sendiri.
Bagaimana mungkin mereka memperuntukkan masa dan tenaga melakukan sesuatu demi masyarakat dan negara sedangkan mereka sendiri mengharapkan bantuan.
Cabaran bentuk moden yang melanda masyarakat memberi kesan buruk terhadap keperibadian dan kerohanian kanak-kanak dan remaja hingga mereka kehilangan jati diri.
Kegiatan salah laku sosial menunjukkan mereka sanggup melakukan jenayah dan mengetepikan amaran pihak berkuasa kepada orang yang melakukan kesalahan.
Statistik pembabitan kanak-kanak dalam jenayah dari Januari hingga Disember 2003 yang dilaporkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman menunjukkan kanak-kanak lelaki dan perempuan Melayu di seluruh negara adalah yang paling ramai ditangkap iaitu seramai 3,617 orang (3,541 lelaki dan 76 perempuan).
Pembabitan mereka yang paling tinggi adalah dalam kes jenayah harta benda iaitu mencuri kenderaan (Seksyen 379A) bagi tempoh sepanjang tiga tahun terakhir (2001-2003).
Statistik yang dikeluarkan oleh Bahagian Perancangan dan Sistem Maklumat, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula mencatatkan sehingga September 2003, seramai 113 pesalah kanak-kanak menjalani cubaan akhlak berbanding 98 pada 2002 dan 95 pada 2001.
Pesalah kanak-kanak yang diperintahkan mahkamah supaya ditempatkan di sekolah akhlak adalah 198 sehingga September 2003, berbanding 401 pada 2002 dan 317 pada 2001.
Manakala kanak-kanak yang diperintahkan ditempatkan di Sekolah Henry Gurney pula seramai 67 sehingga September 2003, berbanding 154 pada 2002 dan 147 pada 2001.
Selain pembabitan jenayah harta benda, samun bersenjata api dan penyalahgunaan dadah juga mencetuskan kebimbangan. Seramai 91,447 penagih dadah dikesan di seluruh negara antara 2001 hingga Oktober 2003 dengan hampir 70 peratus daripadanya Melayu.
Statistik Agensi Dadah Kebangsaan menunjukkan 31,556 penagih dikesan pada 2001, 31,893 (2002) dan 27,998 dalam tempoh Januari hingga Oktober 2003.
Kesan penyalahgunaan dadah di Malaysia kini dirasai apabila generasi muda tidak lagi mampu menyumbang tenaga untuk memajukan negara malah menjadi golongan perosak.
Timbul pertanyaan adakah mereka sanggup kehilangan negara dan menjadi seperti China yang terbabit dalam Perang Candu (1840-42) serta musnah akibat penyalahgunaan dadah.
Pada 1838, China mencatatkan 12 juta penagih candu yang memberi peluang kepada Barat untuk mengubah idea politik dan struktur sosial negara itu.
Bayangkan kuasa besar seperti China boleh ditawan mudah hanya dengan menggunakan dadah dan apa pula nasib negara ini di tangan generasi muda kita.
Semua senario itu menjelaskan kepada kita betapa rapuhnya jiwa remaja dan belia yang kita harapkan suatu hari nanti menggalas tanggungjawab memimpin negara.
Persoalan lain mengapa ajaran agama kita tidak dapat menembusi jiwa bangsa khususnya kanak-kanak dan remaja dan adakah pendekatan yang digunakan tidak cukup berkesan atau sistem pendidikan atau budaya hidup yang diamalkan kini ada kekurangannya?
Justeru, ibu bapa perlu memainkan peranan untuk menjamin anak mereka memperoleh didikan sempurna khususnya keagamaan. Ini akan membentuk perisai dalam diri anak selepas dewasa kelak dalam menghadapi cabaran getir dunia moden.
Pelbagai pihak lain digesa turut memainkan peranan agresif membantu menangani kemelut keruntuhan akhlak kanak-kanak dan remaja.
Antaranya ilmuwan agama supaya turun padang membendung masalah dan jenayah. Dakwah dan bimbingan akan berkesan jika ia dibuktikan melalui amalan serta teladan.
Inilah yang dipraktikkan Rasulullah dan sahabat baginda. Bimbingan yang diberi perlu menghasilkan kesan hingga pihak yang dibimbing sedar besarnya dosa jenayah dan takut untuk melakukannya.
Pendekatan berkesan juga perlu untuk mendekati kanak-kanak dan remaja yang bermasalah. Ini ada kaitan dengan guru di sekolah sebagai salah satu kumpulan pelaksana sistem pendidikan negara.
Ada pandangan bahawa sistem pendidikan perlu dikukuhkan supaya lebih menumpu pembinaan jiwa dan akhlak pelajar. Justeru, semua subjek perlu menanamkan nilai akhlak terpuji dan ia tidak terhad pada subjek Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral saja.
Inilah tanggungjawab guru untuk memastikan pelajaran yang diikuti bukan sekadar lulus periksa, tetapi membentuk jiwa jernih dan akhlak terpuji, bebas daripada keinginan terbabit dengan jenayah.
Pujian harus diberikan kepada media yang melaporkan kegiatan jenayah kumpulan tertentu dalam masyarakat dan bekerja keras menuntut tindakan segera pihak terbabit menanganinya.
Bagi polis pula, bantuan dan tindakan agresif diharapkan untuk memastikan jenayah dapat dihalang daripada berlaku dengan peningkatan kawalan serta rondaan khususnya di kawasan kurang selamat.
Semua pihak wajar memberi perhatian terhadap tanggungjawab memulih dan membina semula keperibadian kanak-kanak yang terjebak dalam kegiatan jenayah. Ini kerana ia bukan mudah.