Pendekatan Islam Hadhari bertujuan untuk mewujudkan masyarakat yang bertamadun dan salah satu asasnya ialah penguasaan ilmu pengetahuan. Satu lagi asas kepada kewujudan masyarakat hadhari ini ialah kehidupan berkualiti. Masyarakat hadhari tidak akan terbentuk selagi kualiti hidup masyarakat kita tidak berada pada tahap kualiti hidup masyarakat yang bertamadun.
Apa yang menarik ialah perkaitan antara ilmu dan kualiti hidup. Penguasaan ilmu membawa kepada peningkatan kualiti hidup, seterusnya pencapaian masyarakat hadhari.
Banyak daripada kita kini memiliki kehidupan yang jauh lebih baik berbanding dengan kehidupan ibu bapa kita. Satu perkara yang menyumbang kepada perubahan itu ialah ilmu ataupun pendidikan. Pendidikan inilah yang telah melahirkan lebih ramai golongan menengah dan atasan yang ada dalam masyarakat kita pada hari ini.
Formula penguasaan ilmu untuk meningkatkan kualiti hidup nampaknya ingin disemarakkan lagi dengan kempen Satu Keluarga Satu Graduan yang bertujuan untuk meningkatkan lagi bilangan ahli masyarakat yang berijazah.
Bilangan graduan dalam keluarga mungkin tidak menjadi isu bagi keluarga bandar dan keluarga di peringkat menengah. Namun, bagi keluarga di luar bandar dan keluarga miskin, ia perlu diberi perhatian jika kualiti hidup keluarga tersebut ingin diubah.
Untuk mencapai matlamat kempen ini, kerajaan menubuhkan lebih banyak kolej komuniti dan politeknik bagi membolehkan para pelajar melanjutkan pelajaran, seterusnya ke universiti.
Namun, isu akses kepada tempat hanyalah satu isu yang perlu ditangani. Isu lain yang lebih mencabar ialah isu kewangan di peringkat keluarga. Sehingga ke hari ini, masih ada anak-anak yang tidak dapat meneruskan pelajaran kerana ibu bapanya tidak mampu untuk menampung kos tersebut. Itu baru di peringkat sekolah rendah dan menengah yang secara relatif, kosnya adalah lebih rendah berbanding ke universiti.
Pendidikan
Jadi, untuk menjayakan kempen ini, kemampuan setiap keluarga, khususnya keluarga yang kurang berada untuk memberi pendidikan awal kepada anak-anak mereka, hendaklah diberi perhatian yang wajar.
Pada masa yang sama, ibu bapa perlu memainkan peranan yang aktif dan proaktif untuk menjayakan kempen ini. Ibu bapa perlu membekalkan infrastuktur serta persekitaran yang mendorong anak-anak untuk belajar dan cintakan ilmu. Penglibatan ibu bapa dalam pembelajaran anak-anak adalah perlu. Baik dengan memberi dorongan dan nasihat, mahupun dengan mengambil berat tentang pelajaran anak-anak mereka.
Bersikap proaktif pula bererti memikirkan tentang perjalanan pendidikan anak-anak lama sebelum mereka masuk sekolah lagi. Dalam hal ini, kos untuk memberi pendidikan itu perlu diutamakan, baik di peringkat sekolah, mahupun di peringkat pengajian tinggi.
Untuk membolehkan anak-anak melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi, kita tidak boleh lagi mengharapkan kepada pinjaman daripada kerajaan semata-mata. Mahu tidak mahu, ibu bapa perlu ada simpanan sendiri untuk tujuan itu. Kini telah ada takaful pendidikan. Kepada ibu bapa yang mampu, ini adalah satu cara untuk menyediakan keperluan kewangan anak-anak untuk melanjutkan pelajaran. Kepada yang tidak mampu, kita telah ada Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) untuk tujuan yang sama.
Kadangkala, bukan soal mampu atau tidak mampu, tetapi isunya ialah sejauh mana kita mahu mengutamakan keperluan pendidikan anak-anak berbanding perkara-perkara yang lain. Itulah sebabnya kita kerap membaca kisah ibu bapa yang susah tetapi oleh kerana pendidikan anak-anak yang diutamakan, mereka masih mampu memberikan pendidikan itu walaupun terpaksa melupakan keperluan yang lain.
Isu seterusnya yang perlu difikirkan dalam menjayakan kempen ini ialah isu kuantiti dan kualiti. Sekali pandang, kempen ini mengutamakan kuantiti. Namun, secara logiknya, sudah pasti kualiti graduan juga menjadi matlamat kempen ini.
Untuk itu, perlu dipastikan bahawa kandungan pengajian yang ada dapat melahirkan graduan-graduan yang berkualiti. Graduan berkualiti bermaksud graduan yang boleh menguasai disiplin ilmu yang diceburi, memiliki sahsiah diri serta mampu mencari pekerjaan sama ada makan gaji, mahupun bekerja sendiri.
Ini penting kerana pada masa ini terdapat lebih 80 ribu graduan yang menganggur. Keadaan akan menjadi lebih kritikal lagi jika matlamat kempen ini menjadi kenyataan. Ia bererti, negara kita akan dibanjiri oleh lebih ramai graduan pada setiap tahun. Jika pasaran kerja tidak dapat menampung kebanjiran ini, maka pengangguran di kalangan graduan tidak dapat dielakkan.
Untuk itu, graduan yang akan terhasil kelak perlu mampu bersaing dengan graduan lain untuk mencari peluang kerja yang terhad, baik di dalam mahupun di luar negara. Atau, mereka perlu diberi kemahiran untuk menjana perniagaan bersandarkan ilmu yang telah diperoleh.
Kualiti hidup dipengaruhi oleh banyak perkara. Namun, cara yang paling berkesan untuk membaiki kualiti hidup ialah melalui pendidikan. Melaluinya, si anak akan mendapat pekerjaan yang lebih baik daripada ibu bapanya. Melaluinya juga, minda akan terdedah kepada idea-idea baru yang memberi implikasi positif kepada kehidupan kita. Melalui pendidikan juga, generasi yang akan datang dapat dididik dalam perspektif yang lebih baik bagi menjamin kualiti generasi masa hadapan. Inilah kelebihan orang berilmu seperti maksud firman Allah dalam surah Al-Zumar, ayat 9;
Adakah sama orang yang berilmu pengetahuan dengan orang yang tidak berilmu pengetahuan? (Tentu tidak) Hanya yang menerima peringatan ialah orang yang berakal.