Menjelang tahun 2035, atau 20 tahun dari sekarang, Malaysia akan menjadi sebuah negara tua. Ini kerana pada tahun itu, terdapat lebih kurang 15% rakyat yang akan berusia atau mencapai usia antara 60 hingga 65 tahun dan ke atas. Ini bermakna rakyat yang pada ketika ini berusia dalam lingkungan 40an adalah calon yang bakal memenuhi kuota warga tua atau warga emas pada ketika itu. Pertubuhan Bangsa Bersatu telah meletakkan angka sebanyak 15% daripada jumlah keseluruhan penduduk sebagai penanda aras bagi menentukan kategori negara tua bagi sesebuah masyarakat dunia. Malaysia menganggarkan akan terdapat seramai 5 juta penduduknya akan berada dalam angka tersebut pada tahun itu.
Individu yang telah mencapai peringkat tua boleh digambarkan dari pelbagai aspek ketuaan. Selain dari cerminan usia tua yang telah mencapai status warga emas, ia turut tercerna dari segi rupa paras fizikal, di samping fungsi mental dan kognitif serta peranan sosioemosi. Manakala kepercayaan dan tanggapan umum yang ada buat masa ini ialah bahawa tua itu sinonim dengan pelbagai bentuk keuzuran dan aneka jenis penyakit. Ia adalah seperti fasa tua itu tidak dapat dipisahkan dari semua itu.
Jika ditinjau dari sudut fizikal dan tahap kesihatan, sememangnya ketuaan itu berkaitan dengan kelemahan fungsi tubuh badan seperti kelemahan sistem imun, sel saraf dan otot. Pada masa yang sama, kelemahan tubuh badan ini berkait rapat pula dengan kepelbagaian jenis penyakit yang datang seiring dengan kelemahan tersebut dan akhirnya mengundang bermacam-macam jenis keuzuran dan penyakit. Di samping itu, merudumnya aspek kejiwaan atau spiritual dan longlainya peranan aspek tersebut di dalam diri seseorang individu juga turut boleh menambahkan lagi keterukan atau memburukkan lagi tahap kelemahan dan keuzuran yang mereka alami, baik dari aspek fizikal, sistem imun, mahupun aspek sosial mereka. Adakah perkara ini merupakan satu masalah?
Islam melihat tua dan ketuaan bukanlah satu masalah atau bebanan. Ia adalah satu proses dan proses itu hanya perlu diuruskan sebaiknya agar objektif dan matlamat akhir dari proses ketuaan itu dapat dicapai dengan jayanya. Sebenarnya setiap satu dari semua fasa dalam proses kehidupan dan perkembangan individu mempunyai objektif atau matlamat yang tersendiri, baik fasa bayi dalam kandungan, atau fasa bayi selepas kelahiran, fasa kanak-kanak, fasa remaja dan dewasa, dan akhirnya fasa tua. Setiap fasa memiliki proses dan objektif yang tersendiri yang perlu dilalui dan dicapai. Dalam setiap proses itu pula, ia pasti akan menyentuh aspek fizikal dan material, mental dan emosi, sosial serta spiritual.
Sebenarnya, apakah matlamat atau objektif yang ingin diperolehi dari proses penuaan itu? Walaupun pada umumnya perkara ini tidak pernah dibincangkan oleh kita secara khusus dan serius, namun amat tidak wajar sama sekali untuk ia diabaikan. Ini kerana masyarakat sekarang adalah masyarakat yang melihat dan berfikir serta mampu pula bertindak secara kreatif dan inovatif dalam menghadapi liku-liku kehidupan. Kita perlu bersama mereka kerana kita sendiri tidak mahu ketinggalan. Oleh itu, kita perlu bersedia. Apakah persediaan yang perlu dilakukan dalam menghadapi hari tua kelak? Perkara ini perlu difikirkan oleh setiap individu kerana mereka merupakan bakal individu yang akan mengisi kuota masyarakat berusia emas kelak. Pada masa yang sama, apakah konteks yang paling sesuai untuk diambilkira dalam menilai objektif atau matlamat persediaan menuju proses penuaan ini?
Dalam konteks ini, maqasid al syariah boleh dijadikan sebagai kayu ukur untuk menilai objektif atau matlamat dalam proses penuaan. Melihat penuaan itu dari segi proses dan objektifnya agar menurut kehendak maqasid al syariah mungkin ditafsir sebagai sesuatu yang baru dan belum pernah dibincangkan di mana-mana pun sebelum ini. Namun hakikatnya, Islam amat inginkan agar para penganutnya mampu menjalani kehidupan pada hari tua itu secara yang lebih baik dan produktif. Untuk menjalani kehidupan di hari tua secara lebih produktif dan positif, mereka perlu bersedia. Tetapi apakah persediaan itu?
Dalam konteks maqasid, persediaan itu perlu dinilai dari sudut keperluan fitrah kejadian manusia meliputi aspek fizikal dan material, emosi dan mental serta sosial dan spiritual yang perlu dilaksanakan menurut ketetapan dan tuntutan syariat. Matlamat maqasid adalah untuk meningkatkan kemaslahatan dalam kehidupan manusia, dan pada masa yang sama berusaha untuk menghindarkan sebarang isu yang boleh mendatangkan kerosakan dan pemusnahan kepada mereka. Tuntutan maqasid al syariah ialah memelihara kemaslahatan kehidupan manusia dari segi mendatangkan kebaikan dan manfaat untuk agama, jiwa, akal, keturunan dan harta, serta berdasarkan kepada tahap keperluan, sama ada dharuriyyat, hajiyyat atau tahsiniyyat. Manakala objektif dalam proses penuaan ialah membantu individu warga emas agar dapat menjalani kehidupan di usia emas secara lebih bermanfaat, positif dan produktif.
Walaupun usia emas dilihat sebagai fasa yang penuh dengan keuzuran, namun bukan sesuatu yang mustahil bagi setiap individu tersebut untuk memperolehi atau menjalani fasa kehidupan ini dengan positif, produktif dan aktif serta sihat. Adalah menjadi hak mereka juga untuk hidup sihat dan menerima penjagaan dan rawatan kesihatan yang sempurna dan baik seperti orang muda lain. Penjagaan kesihatan diri ini juga adalah tuntutan dalam maqasid al syariah kerana ia berusaha untuk memeliharan kemaslahatan diri dan nyawa, dan ia bukanlah mustahil untuk dicapai, sekalipun pada peringkat penghujung kehidupan. Untuk menghadapi fasa penuaan secara lebih sihat, seseorang individu perlu lebih bersedia dengan mengamalkan pelbagai aktiviti berkaitan dengan gaya hidup sihat, bukan bergelumang dengan pelbagai gejala yang merosak dan memusnahkan.
Walaupun terdapat pelbagai kajian berkaitan kehidupan fasa warga emas yang menganjurkan bahawa seharusnya fasa ini perlu lebih menjurus kepada healthy aging, active aging, productive aging atau positive aging, dan sebagainya, tetapi persediaan hari tua sebenarnya adalah lebih dari itu. Jika ditinjau kepada pandangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), proses penuaan yang aktif digambarkan sebagai satu fasa bagi mengoptimakan segala peluang kesihatan, penglibatan dan jaminan kualiti kehidupan yang lebih kukuh, dan memberi peluang kepada mereka untuk menyedari segala potensi kesejahteraan yang ada, baik pada fizikal, sosial dan mental serta menggunakan peluang dan potensi itu secara yang lebih baik. Namun pada pandangan Islam, proses persediaan menuju fasa penuaaan itu sebenarnya bermula sejak awal kehidupan individu, bermula dari dalam kandungan ibu lagi, dan ia tidak berakhir dengan keluarnya roh dari jasad. Itulah tempoh di mana persediaan perlu diambilkira. Dan persediaan itu bermula daripada diri sendiri, serta perlu juga menyediakan orang lain dengan pelbagai ilmu dan kemahiran agar mereka bersedia berdasarkan kepada kemampuan mereka untuk menyediakan keperluan kita kelak semampunya, tatkala keuzuran telah melanda diri. Sesuai dalam konteks persediaan ini, Rasulullah SAW ada bersabda bermaksud: “Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Pertama, masa sihat sebelum sakit. Kedua, masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Ketiga, masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Keempat, masa muda sebelum datang masa tua, dan kelima, masa hidup sebelum tiba masa mati.” (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi).