Ancaman keselamatan negara serata dunia sudah berterusan. Seperti tidak akan ada penghujung. Konfrontasi nuklear antara kuasa-kuasa besar tidak sepi daripada mengisi ruang berita sehingga hari ini. Seluruh dunia sedang menghadapi ancaman yang berbeza dan lebih kompleks. Keganasan fizikal, serangan siber, serangan bahan kimia, senjata nuklear, senjata biologi, dan juga kemalangan skala besar atau bencana alam sudah tidak asing dalam berita yang kita baca setiap hari. Ancaman keselamatan ini muncul dari dalam dan juga boleh menular ke dalam negara dari luar negara. Negara kita juga tidak terkecuali.
Bagi negara kita berita mutakhir berkaitan ancaman keselamatan ialah aktiviti IS. Ia telah mendatangkan kebimbangan serius kepada pasukan keselamatan. Seiring itu, Parlimen juga sedang membahaskan Rang Undang-Undang Pencegahan Keganasan susulan daripada pembentangan kertas putih oleh YAB Perdana Menteri pada sesi Parlimen lepas.
Tentunya di sini amat pelik apabila diketahui bahawa masih ada segelintir yang tidak mengambil kisah, bahkan mempersoalkan tindakan memantapkan undang-undang berkaitan keselamatan negara, sedangkan di peringkat antarabangsa banyak negara telah memperkasa undang-undang anti-keganasan. Yang mereka bimbangkan ialah perlanggaran hak asasi kononnya.
Undang-undang menentang keganasan yang diperkenalkan di Parlimen ini bukan berhajat menceroboh hak asasi rakyat tetapi bertujuan menjaga keselamatan mereka dan juga negara. Menurut RUU tersebut tahanan pencegahan boleh dibuat ke atas mereka yang terlibat atau menyokong perbuatan kegasanan di negara asing. RUU Pencegahan Keganasan ini juga berhasrat menyekat rakyat negara ini daripada terlibat secara langsung dalam apa bentuk kegasanan.
Justeru RUU ini memperkenalkan tahanan pencegahan. Perlembagaan tidak menghalang tahanan pencegahan. Tahanan pencegahan boleh dilakukan bagi menangani kegiatan subversif atau keganasan dengan syarat peruntukan Perlembagaan berkenaan Lembaga Penasihat di bawah Perkara 151 Perlembagaan dilaksana dengan baik.
Ada desas desus yang menyatakan bahawa ialah adalah RUU yang menggunakan acuan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah dimansuhkan dahulu. Namun begitu, apabila diteliti peruntukan RUU tersebut, ia sebenarnya jauh berbeza daripada ISA. RUU ini membenarkan keputusan yang dibuat oleh Lembaga Pencegahan Keganasan dikaji semula oleh Mahkamah Tinggi (lihat seksyen 13(10) RUU). Sementara itu, berbeza dengan ISA, RUU tidak memberikan kepada Menteri kuasa untuk mengeluarkan waran tahanan. Kuasa ini telah diserahkan kepada sebuah Lembaga yang dinamakan Lembaga Pencegahan Keganasan (lihat seksyen 8 RUU). Dua intipati RUU ini menjelaskan bahawa ia adalah berbeza daripada ISA.
RUU ini bukan bermaksud menceroboh hak asasi manusia tetapi ia memandang tinggi tentang keselamatan negara. Ia memberi pertimbangan wajar dan objektif kepada hak asasi manusia dengan tujuan menjaga keselamatan negara.
Dalam memberi faham kepada khalayak berkaitan keselamatan negara pendidikan juga memainkan peranan penting. Kita perlukan institusi khusus, universiti atau institusi kajian perlu fokus mengadakan penyelidikan. Ini bertujuan mempromosi ilmu pengetahuan berkaitan keselamatan negara dengan mengadakan kajian, memberi faham dan mendidik masyarakat berkaitan keselamatan dan ancaman keselamatan kepada negara. Mengenai undang-undang, universiti tempatan boleh mengambil initiatif untuk mengkaji dengan serius tentang undang-undang keselamatan. Dengan kajian mendalam universiti dapat membantu pasukan keselamatan dan juga pejabat peguam negara dalam hal-hal berkaitan undang-undang keselamatan. Kelemahan pendidikan undang-undang berkaitan keselamatan negara agak ketara setakat ini. Masih belum ada kursus khusus di universiti berkaitan undang-undang keselamatan. Fakulti undang-undang sebagai contoh, belum lagi memperkenalkan subjek khusus tentang undang-undang keselamatan; sama ada sebagai subjek elektif atau satu program khusus di peringkat sarjana. Umumnya subjek berkaitan undang-undang keselamatan dibincangkan secara sepintas lalu dalam subjek undang-undang antarabangsa.
Dengan perkembangan semasa mengenai undang-undang keselamatan, adalah sesuai untuk kita berbincang secara ilmiah dan membuat penerbitan berkaitan undang-undang keselamatan serta strategi keselamatan negara. Sementara itu ‘Operational law’ berkaitan keselamatan juga perlu difahami dengan lebih baik oleh khalayak untuk membolehkan mereka sedar tentang peri penting keselamatan negara dan bukan lagi meletakkan tanggungawab menjaga keselamatan hanya ke atas pihak keselamatan seperti polis dan tentera. Ini juga boleh membendung khalayak dariadpa terpengaruh dengan hujah hak asasi semata-mata.