Pemerintahan sekular memisahkan urusan dunia dengan agama. Ruang lingkup agama dibataskan hanya kepada aspek kepercayaan seseorang dan amalan spiritual individu dengan Tuhannya. Menyerahkan undang-undang ciptaan mengurus hal ehwal masyarakat dan pentadbiran negara. Pemisahan antara urusan pentadbiran negara dengan ehwal keagamaan berlaku di negara yang mengamalkan dasar sekular.
Islam adalah agama yang syumul. Ruang lingkupnya mencakupi segala keperluan manusia iaitu akidah – syariah dan akhlak. Islam menghormati dan menjamin hak-hak individu dan masyarakat tanpa mengira kedudukan dan status seseorang, sama ada lelaki atau perempuan.
Hak-hak orang bukan Islam juga dipelihara dan dihormati. Terdapat lima hak utama yang diberi jaminan oleh Islam yang merupakan tujuan syarak atau makasid al-syariah.
Dengan penciptaan manusia oleh Allah manusia diberikan kemuliaan atau karamah. Ini dijelaskan dalam al-Quran bermaksud:
Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam.
Dalam sebuah hadis menyatakan yang bermaksud:
Sesungguhnya darah kamu, harta kamu dan kehormatan kamu adalah haram ke atas kamu mencerobohnya.
Kemuliaan yang diberikan oleh Islam kepada manusia adalah merentasi batas-batas anutan kefahaman dan status kedudukan. Sehinggakan apabila seseorang itu meninggal dunia tubuhnya juga dihormati seperti masa hidupnya. Baginda Rasulullah s.a.w. pernah memberi hormat kepada jenazah yang lalu di hadapannya walaupun jenazah bukan orang Islam. Hari ini pun jasad orang yang meninggal dunia tidak boleh diperlakukan sesuka hati, kecuali dengan kebenaran undang-undang dan ahli waris seperti mengambil organ untuk dipindahkan kepada pihak yang memerlukan. Kesedaran masyarakat Islam dalam isu pemindahan organ masih rendah.
Keadilan dalam Islam berteras kepada tauhid. Justeru keadilan adalah sebahagian daripada tuntutan ajaran Islam yang perlu ditegakkan dan dilaksanakan dalam kehidupan bermasyarakat dan pemerintahan. Dalam al-Quran terdapat nas-nas al-Quran yang menyuruh setiap pihak terutama yang mempunyai kuasa dan tanggungjawab berlaku adil.
Allah s.w.t. berfirman bermaksud :
Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan.
Dari perspektif Islam kehidupan manusia mencakupi bukan sahaja tuntutan kebendaan dan hubungan sesama manusia dalam bidang muamalah, bahkan mencakupi ibadat. Ibadat adalah suatu tuntutan syarak yang mesti dilaksanakan oleh setiap individu Muslim iaitu dengan melakukan perkara yang disukai oleh Allah s.w.t. sama ada perkataan atau perbuatan, zahir dan batin. Tuntutan dalam melaksanakan perintah ibadat tidak dibezakan antara lelaki dan perempuan. Begitu juga dengan balasannya.
Ibadah juga mencakupi perbuatan seseorang seperti bercakap benar, menunaikan amanah, berlaku ihsan kepada ibu bapa dan jiran, menunaikan janji, menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran, berjihad, ihsan kepada fakir miskin termasuk haiwan, berdoa dan seumpamanya. Bahkan ia meliputi dalam segala tindakan manusia. Sesiapa yang melakukan ibadat akan diberi balasan sama ada lelaki atau perempuan tanpa diskriminasi. Bagaimanapun amal ibadat tersebut hendaklah dilakukan dengan niat yang betul dan melakukannya dengan ikhlas dan mengharapkan keredhaan Allah s.w.t. semata-mata.
Saidina Umar pernah berdoa dengan katanya:
Ya Allah jadikanlah segala amalanku kebaikan.
Matlamat dalam kehidupan orang Islam adalah untuk mendapatkan kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Seseorang tidak berlaku adil kepada dirinya jika hanya memilih untuk hidup bahagia di dunia sahaja dengan mengabaikan tuntutan akhirat. Dan paling malang jika hidup sengsara di dunia dan tiada apa-apa bahagian baginya di akhirat.
Pembentukan masyarakat bermula daripada keluarga dan rumah tangga. Unit-unit keluarga ini akan membentuk masyarakat dan ummah. Islam memberi garis panduan bagaimana sesebuah rumah tangga itu dibentuk dengan cara yang adil dan sesuai dengan naluri manusia. Dalam al-Quran ada menjelaskan bahawa manusia dijadikan berpasangan, lelaki dan perempuan dari jenis yang sama. Daripada pasangan inilah berkembangnya zuriat manusia.
Perkahwinan adalah cara terbaik dan sah dalam membentuk keluarga. Islam melarang zuriat dikembangkan di luar ikatan perkahwinan. Bapa atau lelaki adalah ketua kepada keluarga.
Kepimpinan lelaki ke atas keluarga adalah disebabkan oleh tanggungjawab yang dipikul dengan memberi nafkah dan pendidikan kepada keluarga serta jaminan masa depan mereka. Isteri pula diberi hak memiliki harta dan mempunyai hak ke atas suami yang perlu dilaksanakan. Suami atau bapa perlu berlaku adil kepada isteri dan anak-anaknya, dalam segala amalan dan tindakan.
Justeru manusia itu tiada perbezaan kejadiannya dan Islam memberikan hak persamaan dari sudut agama, pemilikan harta dan pendidikan, begitu juga terhadap kaum wanita. Demikian juga kita dapat melihat bagaimana kaum wanita diberikan hak mereka dalam pelbagai perkara dan perlulah wanita menjaga batas-batas agama.