DALAM kehidupan bermasyarakat hari ini, kita berdepan dengan pelbagai cabaran dan dugaan, terutama terhadap hubungan dan perpaduan ummah. Antara cabarannya ialah pertelingkahan, perbalahan dan pertikaian yang timbul disebabkan pelbagai faktor.
Kita mungkin bertelingkah disebabkan berbeza pendapat terhadap sesuatu isu atau berbalah kerana hak dan kepentingan kita dicabar. Amat baik dan bijak sekiranya perbalahan dan pertikaian itu dapat kita tangani dengan penuh bijaksana.
Bagaimanapun, sekiranya perbalahan dan pertikaian ini menimbulkan masalah lebih besar, misalnya, hingga menyebabkan sesuatu pihak teraniaya, ia memerlukan pihak lain untuk menghakimi dan menyelesaikannya supaya keadilan dapat dilaksanakan, demi kepentingan semua pihak.
Di sini, letaknya peranan institusi kehakiman dalam Islam. Institusi ini turut berperanan besar untuk membuktikan bahawa undang-undang Islam sangat adil, unggul dan sesuai untuk dilaksanakan di semua tempat, masa dan meliputi setiap lapisan masyarakat.
Melaksanakan keadilan dan menghapuskan kezaliman adalah antara falsafah sistem kehakiman dalam Islam. Inilah garis panduan yang ditetapkan oleh Allah seperti disebut menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan kitab kepadamu dengan membawa kebenaran supaya kamu mengadili antara manusia dengan apa yang telah Allah wahyukan kepadamu dan janganlah kamu menjadi penentang (orang yang tidak bersalah) kerana (membela) orang yang khianat…” (Surah an-Nisaa’, ayat 105)
Islam menghendaki agar keadilan mutlak ditegakkan dan kezaliman dihapuskan. Keadilan hanya akan dapat ditegakkan jika ia berdasarkan undang-undang yang adil seperti yang ditegaskan oleh Allah dalam al-Quran. Bagaimanapun, sekiranya undang-undang yang adil itu tidak ditadbir dengan cekap, amanah dan adil, maka keadilan undang-undang itu tidak akan dapat dinikmati, malah akan bertukar menjadi kezaliman.
Penegasan yang diberikan Allah supaya manusia berlaku adil dalam menghakimi sesuatu pertikaian turut merangkumi tuntutan supaya mengetepikan perasaan benci, marah, dendam dan sebagainya. Ini jelas dalam firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah kerana adil itu lebih dekat kepada takwa.” (Surah al-Maidah, ayat 8)
Huraian ayat dalam surah al-Maidah dengan jelas memerintahkan kita agar berlaku adil, walaupun terhadap golongan atau orang yang menjadi musuh kita. Ini kerana, perasaan benci dan marah boleh mendorong kita untuk tidak berlaku adil dan bertentangan sama sekali dengan prinsip kehakiman Islam.
Ini ditegaskan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar penegak keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah biarpun terhadap diri kamu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabatmu. Jika orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa) kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada kedua-duanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng daripada keadilan. Dan jika kamu memutarbelitkan keterangan atau enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui dengan mendalam apa yang kamu lakukan.” (Surah an-Nisaa’, ayat 135).
Ayat ini menjelaskan perintah Allah agar semua pihak yang terbabit dalam proses pengadilan sesuatu kes agar rasional, amanah dan adil. Ia juga bukan hanya terhad kepada hakim, malah semua pihak. Misalnya, untuk menjadi saksi, keterangan yang diberikan perlulah benar walaupun merugikan diri sendiri, ibu bapa dan ahli keluarga, saudara mara, sahabat, kenalan dan sebagainya. Demikian juga, status sosial seseorang pendakwa, sama ada kaya atau miskin, mempunyai pengaruh atau kuasa dan sebagainya, janganlah dijadikan peluang untuk mendorong menjadi saksi memberi keterangan palsu hingga keadilan tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Meneliti sistem kehakiman Islam pada zaman Rasulullah, kita akan mendapati bahawa baginda sering bertindak sebagai hakim yang sangat dikagumi kebijaksanaan serta keadilannya walaupun di kalangan bukan Islam seperti masyarakat Yahudi.
Prinsip keadilan yang diamalkan oleh Rasulullah dalam kehakiman baginda ialah “…tidak boleh menghukum sebelum mendengar keterangan kedua-dua pihak. Pihak yang tertuduh berhak untuk membela dirinya kerana ia tidak bersalah hingga dibuktikan sebaliknya. Layanan yang adil dan saksama hendaklah diberikan kepada pihak yang bertelagah. Jika hakim atau kadi berasa sangsi dan ragu-ragu atau kurang memahami keterangan pihak terbabit, dia hendaklah bertenang, selain berusaha sedaya upaya untuk memahaminya dengan baik.”
Selepas wilayah Islam bertambah luas, Rasulullah mula menyerahkan kuasa pengadilan dan penghukuman kepada sahabat. Ini kerana, sukar bagi baginda untuk menyelesaikan semua kes di seluruh wilayah Islam, lebih-lebih lagi sekiranya sesuatu kes memerlukan keputusan segera.
Justeru, Rasulullah mengutuskan amir yang mewakili baginda ke pelbagai daerah. Amir ini dilantik berdasarkan kemampuan mereka dalam bidang pentadbiran dan pengurusan negara, di samping kebolehan atau kepakaran untuk berijtihad. Antara sahabat yang pernah menyandang jawatan ini ketika hayat baginda ialah Umar al-Khattab, Ali ibn Abi Talib dan Mu’az ibn Jabal.
Di samping itu, pernah diriwayatkan bahawa Nabi pernah membenarkan sahabat menjalankan pengadilan ketika baginda berada di tempat itu. Contohnya, seorang sahabat sedang menyelesaikan satu kes di masjid, kemudian Rasulullah tiba dan baginda mengizinkan agar kes itu diselesaikan oleh sahabat itu.
Rasulullah turut melatih sahabat supaya memiliki kepakaran yang benar-benar tinggi dalam bidang kehakiman. Begitu juga dengan cara mengeluarkan hukum daripada sumbernya untuk difatwakan. Antara sahabat yang terkenal dalam bidang ini ialah `Umar al-Khattab, `Ali ibn Abi Talib, Abdullah ibn Mas’ud, Abdullah ibn `Umar dan paling terkenal ialah Abdullah ibn Abbas.
Diriwayatkan bahawa Rasulullah pernah meminta Amr ibn al-`As supaya memutuskan hukuman terhadap satu kes berhubung harta. Amr berasa serba salah untuk menyatakan pendapat dan memberikan keputusannya kerana baginda ada bersama dalam majlis itu. Melihat keadaan Amr itu, baginda pun bersabda: “Wahai Amr, silakanlah hukumkan perkara ini.”
Amr bertanya kepada Rasulullah: “Bolehkah saya berijtihad, sedangkan tuan berada di sini?”
Jawab Rasulullah: “Ya, boleh. Jika kamu benar dan segera memberikan keputusan, kamu akan mendapat dua kebaikan tetapi jika kamu tersilap, kamu akan mendapat satu kebaikan.”