Malaysia merupakan sebuah negara yang bertuah kerana dihuni oleh rakyat daripada pelbagai bangsa, agama dan budaya. Apa yang lebih mengkagumkan ialah kepelbagaian latar belakang tersebut tidak menghalang rakyat Malaysia untuk hidup bersama dengan penuh harmoni. Perpaduan dan keamanan yang kita kecapi kini merupakan satu harta yang sangat tinggi nilainya. Jika hendak melihat bagaimana kejayaan ini dicapai maka satu kisah sejarah yang panjang perlu kita telusuri. Bukan sahaja pemimpin berusaha keras untuk mewujudkan sebuah negara yang berjaya tetapi masyarakat Malaysia sendiri, dari dulu hingga kini, mengekalkan keharmonian tersebut dengan mengambil peluang untuk bermasyarakat sebaik yang mungkin.
Apakah itu “masyarakat”? Menurut Kamus Dewan, perkataan masyarakat membawa maksud ‘kumpulan manusia yang hidup bersama dalam sesuatu tempat dengan aturan-aturan dan cara tertentu’. Apakah pula makna “bermasyarakat”? Sekali lagi, perkataan ini dirujuk kepada Kamus Dewan. Berdasarkan kamus tersebut perkataan “bermasyarakat” membawa makna “hidup sebagai satu masyarakat atau penggabungan diri”. Daripada maksud yang diberikan itu, terdapat dua frasa yang sangat penting iaitu ‘hidup bersama’ dan ‘penggabungan diri’. Dua perkataan ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa kehidupan bermasyarakat menuntut kita supaya bergabung dan hidup bersama-sama dengan harmoni.
Agama Islam pula mempunyai pandangan yang tinggi kepada keperluan hidup bermasyarakat ini. Surah Al-Hujarat, ayat 13 membawa maksud “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)”. Ayat ini membuktikan bahawa manusia dituntut hidup bermasyarakat dan saling mengenali antara satu sama lain.
Walaupun keperluan untuk hidup bermasyarakat sangat dituntut di dalam agama Islam mahupun agama-agama yang lain, namun realitinya tuntutan tersebut telah lama diabaikan. Tanya saja kepada diri anda sendiri, adakah anda mengetahui nama jiran sebelah rumah anda? Atau, bilakah kali terakhir anda menghadiri majlis tertentu yang diadakan oleh jiran setempat anda? Tentu bagi sesetengah orang soalan ini agak sukar dijawab. Kenapa? Jawapannya ialah kerana sesetengah daripada kita tidak menganggap bahawa mengenali jiran apatah lagi mengetahui nama mereka adalah penting. Malahan menghadiri majlis yang diadakan oleh mereka juga tidak dianggap sebagai satu prioriti dalam kehidupan seharian kita.
Kealpaan kita terhadap keperluan bermasyarakat mungkin berpunca daripada kepesatan pembangunan negara. Demi memajukan diri, masa yang kita ada lebih banyak digunakan untuk bekerja. Masa itu lebih banyak dihabiskan di dalam kereta atau komuter untuk ke tempat kerja. Masa itu juga banyak dihabiskan di pejabat untuk menyiapkan kertas kerja atau kertas cadangan untuk sesuatu projek yang baru. Jika pun ada sedikit lagi masa yang terluang, ketika inilah kita mahu bersama ahli keluarga bersiar atau membeli-belah di samping menziarahi ahli keluarga lain yang tinggal jauh di kampung.
Namun begitu, benarkah pembangunan mengikis rasa masyarakat untuk berkumpul dan menjalankan aktiviti bersama? Penulis berpendapat bahawa, pembangunan yang pesat hanyalah merupakan satu faktor ilusi yang membawa kepada pengabaian kehidupan bermasyarakat. Pokok pangkal kejayaan hidup berkomuniti adalah terletak kepada individu itu sendiri iaitu sama ada individu tersebut bersedia atau tidak untuk meluangkan sedikit masanya menghadiri majlis-majlis tertentu yang diadakan oleh jiran setempat. Bagi yang tidak bersedia, alasan ‘tiada masa’ sering digunakan untuk menolak jemputan ke majlis yang diadakan oleh jiran setempat. Sedangkan masa yang diperlukan itu bukanlah terlalu lama. Walau sedikit masa yang diluangkan, ia boleh meninggalkan kesan yang mendalam terhadap jiran sekeliling kita.
Pengabaian terhadap peluang bermasyarakat boleh meninggalkan kesan yang tidak baik, jika tidak sekarang mungkin pada masa akan datang. Pada masa ini kita mungkin mengatakan tidak apa jika tidak mengenali jiran tetapi cuba bayangkan jika kita menghadapi sesuatu masalah dengan tiba-tiba dan tiada siapa yang boleh diminta untuk membantu. Pada ketika itu, jiranlah orang yang paling dekat dengan kita dalam menghadapi detik sukar tersebut. Mereka boleh membantu, jika tidak banyak, sedikit pun sudah memadai bagi meredakan kesusahan itu. Jadi, bayangkan jika kita tidak langsung mahu terlibat dalam aktiviti bermasyarakat dan langsung tidak mengenali jiran sekeliling. Tentu amat sukar bagi kita untuk meminta bantuan dalam menghadapi saat sukar tersebut.
Dalam konteks yang lebih besar, melibatkan diri dalam kegiatan bermasyarakat merupakan salah satu usaha untuk meningkatkan perpaduan. Perpaduan merupakan satu aspek yang sangat penting dalam sebuah negara pelbagai kaum seperti tanahair kita ini. Kejayaan sesebuah negara bukan sahaja bergantung kepada peningkatan ekonomi tetapi juga perpaduan rakyatnya. Jika ia diabaikan, hasrat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berjaya yang aman dan damai mungkin tidak akan kesampaian. Oleh itu, sebagai seorang rakyat yang kasih akan negaranya, kita juga perlu memelihara dan berusaha untuk meningkatkan perpaduan. Ini wajar dimulakan pada peringkat yang paling dasar seperti bergaul mesra dengan jiran tetangga di persekitaran rumah kita.
Apakah kaedah yang terbaik untuk ‘bergaul mesra’ dengan jiran tetangga? Sebenarnya tidak ada formula yang khusus bagi mencapai hasrat tersebut. Pergaulan mesra bersama jiran tetangga merupakan satu proses yang berterusan dan perlu disuburkan setiap masa. Sebagai seorang Muslim yang sejati, memberi salam kepada orang lain adalah sangat dituntut di dalam Islam. Oleh itu, selalulah memberi salam kepada jiran tetangga apabila bertembung di jalanan. Kepada jiran yang bukan Islam pula, ucapan “Hello, apa khabar” sudah memadai untuk menjadi pemangkin kepada perbualan atau ‘sembang-sembang’ yang lebih besar dan mendalam. Bukan itu sahaja, jika tidak berkesempatan bersembang, mengangkat tangan apabila bertemu juga sudah memadai untuk menunjukkan kita menghargai pertemuan tersebut.
Selain daripada itu, semangat kejiranan tidak akan berkembang dengan hanya bersembang pendek dan mengangkat tangan. Jika ada jemputan ke rumah atas majlis-majlis tertentu seperti kenduri kahwin, majlis cukur jambul, majlis harijadi, kenduri doa selamat dan sebagainya, peluang itu hendaklah dilihat sebagai satu peluang untuk kita mengenali jiran kita dengan lebih mendalam. Seboleh-bolehnya jemputan tersebut ditunaikan agar jiran berasa dihargai dan tidak berkecil hati.
Peluang bermasyarakat ini juga boleh direalisasikan di hari-hari kebesaran tertentu untuk kaum tertentu. Malaysia amat bertuah kerana mempunyai kepelbagaian kaum. Oleh itu, pelbagai hari kebesaran utama diraikan sepanjang tahun. Misalnya Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali, Hari Gawai, Krismas dan sebagainya. Pada hari-hari tersebut, ambillah peluang untuk mengunjungi dan beramah-mesra dengan jiran anda.
Selain daripada mengunjungi jiran tetangga, kita hendaklah sentiasa bersedia untuk memberikan bantuan dan pertolongan jika diminta. Misalnya dalam keadaan kecemasan, kita boleh membantu menghantar jiran ke hospital. Dalam masa yang sama, jika perlu, sudilah kiranya kita membantu melihat-lihatkan rumah jiran atau sekadar menyiram bunga di halaman mereka jika jiran pulang ke kampung untuk jangkamasa yang agak lama. Bukan itu sahaja, kita juga boleh bergilir-gilir menghantar anak-anak ke sekolah. Ini bukan sahaja baik tetapi memberi keyakinan kepada ibu-bapa akan keselamatan anak.
Daripada contoh-contoh yang diberikan, nampaknya amat mudah bagi kita untuk menjalinkan hubungan yang mesra di kalangan jiran setempat. Namun begitu, kebanyakan daripada kita menganggap aspek ‘bermasyarakat’ adalah remeh dan tidak penting dalam kehidupan seharian mereka. Namun ingatlah bahawa di dalam Islam, menghormati jiran dan menjalinkan hubungan mesra bersama masyarakat setempat adalah sangat dituntut dan dipandang mulia. Surah al-Mujaadalah, ayat 11, membawa maksud; “Apabila diminta kepada kamu memberikan lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (serba-serbinya) untuk kamu”. Terbuktilah bahawa jika kita bersedia membantu orang lain, Allah s.w.t. juga akan membantu kita. Jadi, bermasyarakat itu tidak akan merugikan kita malahan lebih banyak faedah boleh diperolehi, jika tidak sekarang, mungkin pada masa akan datang. Malahan, ganjaran kebaikan itu juga dijamin oleh Allah s.w.t.
Mungkin ada di antara kita yang berkata bahawa “Saya mesra bersama saudara-mara di kampung, jadi ini sudah mencukupi”. Ini tidak dapat dinafikan. Malahan ia merupakan satu kebanggaan jika kita mesra dengan saudara dan jiran sekampung. Namun begitu, penulis berpendapat bahawa ia tidak memadai kerana jika kita ditimpa musibah, saudara sekampung amat jauh untuk membantu. Oleh itu, jiran setempatlah tempat yang paling dekat untuk mengadu dan mendapatkan simpati. Jika selama ini kita mengabaikan jiran setempat dan bersikap sombong, maka tentu amat sukar bagi mereka untuk menghulurkan bantuan.
Allah s.w.t. bersabda yang bermaksud; “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membanggakan diri”(Surah Al-Nisaa’, ayat 36). Ayat ini jelas menunjukkan bahawa berbuat baik kepada jiran adalah sangat digalakkan dan kita dilarang sama sekali untuk bersikap sombong kepada jiran tetangga, tidak kira yang dekat mahupun yang jauh.
Akhir sekali, janganlah abaikan peluang bermasyarakat yang muncul di hadapan kita. Lebih-lebih lagi diawal tahun ini, banyak majlis diadakan untuk meraikan pelbagai acara. Bersedialah untuk bekerjasama dengan melibatkan diri dalam majlis yang diadakan itu. Jangan bersikap tunggu dan lihat tetapi andalah yang harus memulakan semangat bermasyarakat di kawasan kejiranan anda. Yakinlah bahawa sikap ini tidak akan merugikan anda malahan ganjarannya dijamin oleh Allah s.w.t.