Isu dan proses pembukaan minda umat Melayu Islam yang mulai dibicarakan dua hari yang lalu di persidangan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka tentunya menarik perhatian umum. Perdana Menteri telah memberikan pandangannya dalam ucaputamanya. Penekanannya tentang Melayu yang seharusnya mengakui kelemahan diri dan berusaha memperbaikinya merupakan satu pembuka kata yang memerlukan seribu pentafsiran dan tindakan.
Saya merasa optimis bahawa Melayu akan maju ke hadapan dalam semua bidang, khususnya Melayu di negara kita yang telah dibantu, dipujuk, diberikan pendidikan, diberikan modal dan disuapkan dengan berbagai-bagai makanan fizikal dan kerohanian. Maka kalau semuanya itu ditelan dan dimanfaatkan, tentulah Melayu akan maju ke hadapan, bukan Melayu Manja, atau Melayu Mudah Lupa.
Melayu sebenarnya telah turut membangun bersama-sama dengan pembangunan Islam pada tahun-tahun tujuh puluhan, ketika arus kebangkitannya mulai dirasakan di seluruh dunia. Malah di negara kita arus kebangkitan Islam itu telah mengambil jalannya yang tersendiri, kerana dari sudut perundangan dan struktur sosial dan agama, rakyat negara kita telah merasainya lebih lama dari era kebangkitan Islam itu.
Perlembagaan negara meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, hak-hak istimewa orang Melayu diberi jaminan dan perlindungan, Melayu pula ditakrifkan sebagai orang yang beragama Islam, berbahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadatnya.
Dari sudut yang lain orang bukan Melayu bebas mengamalkan ajaran agama mereka dalam keadaan harmoni dan aman, mereka juga menikmati hak yang tertentu dari segi kerakyatan, pendidikan dan sebagainya di bawah sistem pemerintahan demokrasi.
Semua ini merupakan satu struktur yang melibatkan negara dan rakyat dalam membina bangsa yang kukuh dan penuh toleransi dan persefahaman untuk kebaikan bersama. Toleransi dan persefahaman di antara manusia, khususnya di antara jiran tetangga dan rakyat di dalam sebuah negara adalah sesuatu yang dianjurkan oleh agama, dan orang Melayu menerimanya dengan baik, malah orang bukan Melayu memahami keadaan dan konsep ini.
Sebab itulah ketika arus pembangunan Islam mulai membangun pada tahun-tahun tujuh puluhan, orang Melayu yang beragama Islam mengalami arus kebangkitan itu secara mudah. Ini kerana asas-asasnya telah pun berlaku jika negara ini dengan komitmen pemerintah dan institusi sosial serta kekeluargaan telah pun mengamalkan Islam jauh lebih awal dari era tersebut.
Kemerdekaan negara yang dicapai pada tahun 1957 telah menyaksikan pengisian Islam yang bermula dengan ibadat dan ritual serta simbolik penghayatan Islam sebagai satu agama dan pegangan hidup yang kukuh. Setelah itu, sejarah negara dapat menyaksikan pembangunan Islam yang lebih bermakna dan meluas, merangkumi kepelbagaian bidang kehidupan orang Islam sehingga ke zaman ini.
Islam sebenarnya telah menjadi wadah yang kukuh dan sebati dengan umat Melayu. Atas asas inilah Melayu amat mudah menerima kehidupan yang sederhana, berakhlak mulia, menghormati orang lain, tolongmenolong, bersimpati dengan orang yang susah dan yang memerlukan bantuan, sanggup berkorban untuk kepentingan bersama. Lebih jauh daripada itu, Melayu sentiasa mencari jalan keluar daripada amalan yang ditegah Allah s.w.t seperti amalan riba, makanan haram dan sebagainya.
Kerana Islam dan disokong pula oleh budaya serta adat resam sendiri, umat Melayu menjadi umat yang bersopan, beradab dan sentiasa menjaga pertuturan. Demikian juga ketika berinteraksi dengan orang lain, bekerja, berbincang dan berkomunikasi, terutamanya ketika berada di dalam majlis yang dihadiri oleh orang yang ternama dan dihormati.
Bahasa Melayu mempunyai kata-kata tertentu untuk memanggil ahli keluarga yang lebih tua dan yang muda. Panggilan bapa saudara dan emak saudara, abang adik dan lain-lain mempunyai kata-katanya yang tersendiri. Panggilan itu pula menunjukkan pangkat orang yang dipanggil, sama ada yang sulung, yang tengah, bongsu dan sebagainya. Melayu merupakan bangsa yang amat bersopan dan beradab, termasuk memberikan gelaran-gelaran yang baik kepada orang lain.
Itulah Melayu, bangsa yang sedang kita bicarakan, termasuk minda dan pemikirannya, yang mempunyai hubungan langsung dengan pegangan agamanya, budayanya, bahasanya dan adat istiadatnya.
Bangsa Melayu di negara kita telah melangkah amat jauh dalam memartabatkan generasinya dengan pengisian ilmu dan pembangunan mindanya, termasuk keterampilannya dalam bidang politik, sosial, ekonomi, industri, perniagaan, pelayaran dan penguasaan kepelbagaian bidang kehidupan moden.
Namun dalam pendakian Melayu menuju kemuncak kejayaan, termasuk dengan dorongan kuat daripada agama Islam sendiri, yang mendorong umatnya menjadi umat yang dinamik dan cemerlang dunia dan akhirat, menjadi pengusaha, peniaga, pengurus, pegawai, penyembah Allah yang tekun dan rajin, menghapuskan sifat malas dan lemah, menjadi penuntut ilmu secara berterusan dan berbagai-bagai sifat mulia lainnya, maka dalam saat-saat pendakian itu, umat Melayu tiba-tiba mengalami penurunan, ditarik surut ke belakang dan ke bawah, bukan oleh orang lain, tetapi oleh sebahagian tangan orang Melayu sendiri yang menentang arus pembangunan dan pendakian.
Ini berlaku atas alasan-alasan yang berbagai rupa dan bentuk, termasuk alasan-alasan agama yang disempitkan kefahamannya, dan ditanam pula oleh sifat sentimen dan taksub yang melulu.
Maka dalam keadaan itu, ditambah pula oleh faktor-faktor lain yang melemaskan mereka, seperti faktor ekonomi, pelajaran, politik antarabangsa, terutamanya peristiwa 11 September yang lalu. Semuanya itu menjadikan orang Melayu tenggelam punca dan tidak dapat mencari jati dirinya lagi.
Keadaan ini menjadikan Melayu sekarang bersikap pesimis. Gelap dengan masa depannya dan tidak dapat menelah apakah yang akan terjadi kepada umatnya dan generasinya yang terkemudian.
Dalam keadaan ini juga nampaknya Melayu akan terus didendangkan dengan sajak Melayu Manja dan Melayu Mudah Lupa, dan mungkin juga sajak Perjuangan Yang Belum Selesai yang akan terpaksa diubah tajuknya kepada Perjuangan Yang Tidak Akan Selesai.
Terserahlah kepada orang Melayu sendiri sekarang untuk menjadi umat yang optimis atau pesimis, menjadi umat yang positif atau negatif, menjadi umat yang kuat atau lemah menjadi umat yang terbuka mindanya atau tertutup buat selama-lamanya.