Musim haji tahun ini menjelma dalam keadaan yang agak luar biasa bagi umat Islam. Ia tiba buat pertama kalinya selepas peristiwa 11 September yang berlaku di New York dan Washington. Peristiwa itu nampaknya telah memberi restu kepada sesiapa sahaja, di peringkat individu atau kerajaan dan pertubuhan, untuk mengambil tindakan sesuka hatinya kepada golongan musuh yang disasarkan, dan musuh yang secara langsung menjadi sasarannya ialah orang Islam dan kerajaan-kerajaan negara Islam.
Yang kelihatan oleh musuh ialah bayang-bayang hitam pengganas dalam masyarakat Islam. Buruan seorang pengganas Islam, mengakibatkan ribuan mangsa dan jiwa manusia yang tidak berdosa gugur dimamah peluru daripada senjata yang digunakan oleh manusia-manusia yang tidak berperikemanusiaan, sedangkan seorang musuh yang diburu akhirnya tidak dapat dijejaki.
Akhbar The Muslim News yang diterbitkan di Britain baru-baru ini mendedahkan tentang pencabulan hak asasi manusia yang dilakukan ke atas tawanan perang Afghanistan. Orang tawanan itu ditutup mata dan dipakaikan tutup kepala dan muka semasa dibariskan di hadapan media antarabangsa di Afghanistan. Pihak Amnesty International sendiri mengakui bahawa memakai tutup kepala dan muka, dan menutup mata tawanan itu adalah satu layanan kejam dan bercanggah dengan Konvensyen Geneva.
Perlakuan dan layanan melampaui batas yang dilakukan ke atas tawanan perang Afghanistan itu menjadi lebih dahsyat ketika tawanan tersebut dibawa ke pangkalan tentera Amerika Syarikat, Guantanamo, di Cuba tanpa sebarang kepekaan terhadap nilai dan ajaran agama para tawanan perang itu, iaitu Islam.
Dalam keadaan ini kita orang Islam hanya dapat mendengar dan menyaksikan perbuatan melampau itu dalam keadaan bisu dan pekak. Kita tidak mempunyai bisa untuk berbicara dan bersuara, apa lagi untuk membantah dan bertindak secara berkesan bagi memerangi ketidakadilan kuasa besar itu.
Kita sudah kehilangan taring dan gigi disebabkan oleh kelemahan dan reputasi kita sendiri, yang salah satu sebabnya ialah kerana nama baik Islam yang telah begitu tercemar oleh perbuatan melampau segelintir umat Islam yang mempunyai cita-citanya tersendiri di dunia ini.
Pihak lain yang sentiasa mengintai-intai peluang untuk memperkecil-kecilkan agama kita dan menggoncangkan kedudukan umat Islam di bumi ini, kini mendapat kesempatan yang paling berharga untuk merealisasikan cita-cita mereka itu, apa lagi ketika agama Islam mulai mendapat tempat di hati sebahagian orang bukan Islam yang sedang mencari pegangan hidup alternatif dalam sejarah pertumbuhan dunia moden yang tidak bermoral ini.
Akidah, syariah, nilai-nilai akhlak dan tradisi serta budaya Islam yang menjadi pegangan orang Islam nampaknya kini dicabar dari segenap penjuru. Tidak lama dulu sebuah akhbar berbahasa Inggeris di negara jiran kita telah menyiarkan semula tulisan yang tersiar di Barat tentang potensi keganasan yang bakal dilakukan oleh orang Islam yang berpegang teguh kepada amalan agamanya, termasuk yang bersembahyang lima kali sehari semalam. Orang yang begini pun akan berpotensi melakukan keganasan kepada orang lain, maka tentulah golongan lain akan bertindak lebih hebat lagi dari mereka itu. Inilah satu bentuk serangan yang dilakukan terhadap Islam oleh media antarabangsa kini.
Kalau pada suatu ketika dulu kita mendengar dan membaca serta menonton di kaca tv, sebuah kerajaan sekular Barat melarang pelajar-pelajar Islam berpakaian tradisi Islam ketika menghadiri kelas, dan kemudiannya perkara ini telah dapat diselesaikan dengan baik, maka pada hari ini kita dapat melihat peristiwa ini berulang di negara jiran kita, yang berwajah dan berperawakan timur, berdarah Asia, yang selama ini amat terkenal dengan sifat lembut dan bertolak ansur.
Cabaran yang hebat ini merupakan tamparan keras ke atas muka orang Islam tidak kira di mana sahaja mereka berada. Selama ini masyarakat Islam amat bertolak ansur terhadap nilai dan cara hidup bukan Islam, malah negara kita merupakan satu contoh yang amat ulung dalam mengamalkan sikap tolak ansur dan bersimpati serta menghormati cara hidup dan ajaran agama orang lain.
Tetapi nampaknya, setelah orang Islam dimusuhi oleh kuasa penjajahan baru yang amat hebat ketika ini, maka kesempatan itu diambil pula oleh pihak tertentu bagi kepentingan mereka sendiri dengan tujuan yang hanya diketahui oleh mereka sendiri.
Maka sekali lagi, kita hanya dapat menjadi penonton yang sepi, membisu seribu bahasa. Tangan kita menjadi terlalu pendek untuk mencapai sesuatu, dan ruang untuk kita bergerak menjadi terlalu amat sempit, sehingga kewujudan kita di tengah-tengah dunia yang luas ini seolah-olah terkurung atau terikat dengan kuat sekali, tanpa dapat digerakkan kaki tangan dan jasadnya.
Mungkin dalam kelemahan dan kemunduran ini, satu hal yang amat pandai kita laksanakan di dalam masyarakat kita ialah berbalah dan berkelahi sesama sendiri serta mencari kesalahan orang lain.
Kita lebih sedap berbicara tentang dosa pahala, syurga dan neraka yang disediakan oleh Allah s.w.t untuk siapa. Siapa yang kurang ilmu dan siapa yang jahil, siapa yang benar-benar Islam dan siapa yang menjadi syaitan. Hal ini akan dibicarakan sepanjang zaman sehingga ke hari kiamat, kerana tajuknya amat relatif dan nisbi, tiada sesiapa yang dapat memutuskannya.
Nasib kita ketika menghayati semangat ibadat haji dan amalan korban ini, mungkin hanya akan menjadi nasib Si Luncai atau Lebai Malang atau mungkin juga seperti Mat Jenin yang berangan-angan tinggi, akhirnya jatuh ke bumi dalam mimpi dan angan-angannya yang tidak kesampaian.
Mungkin kita akan melihat sahaja apa yang berlaku kepada saudara-saudara kita orang Islam dengan hanya mampu berteriak Si Luncai terjun dengan labu-labunya, biarkan, biarkan! Kita akan terus melakonkan semula lagenda Mat Jenin dan Si Luncai dan akan terus menerus menjadi Lebai Malang sekiranya kita tidak mahu mengubah sikap dan pendirian kita.