Malah dalam Hadith daripada `Umar r.a. yang berkaitan dengan hijrah, persoalan niat turut ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w., “Sesungguhnya setiap amal disertai niat dan sesungguhnya bagi setiap insan apa yang diniatkannya. Maka sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu ialah kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan sesiapa yang hijrahnya itu untuk harta dunia yang hendak diperolehnya ataupun untuk seorang wanita yang hendak dikahwininya, maka hijrahnya kepada sesuatu yang dimaksudkan dalam hijrahnya itu.” (Muttafaq `Alaih)
Kepentingan niat dalam menentukan kedudukan amalan atau perbuatan seseorang amat jelas dalam Hadith ini. Dalam peristiwa Hijrah yang berlaku pada bulan September 622 M. itu, terdapat salah seorang sahabat yang turut menyertainya semata-mata kerana keinginannya untuk mengahwini seorang wanita, iaitu Ummu Qais. Baginda s.a.w. mengetahui maksud lelaki berkenaan (yang kemudian digelar “Muhajir Ummi Qais”) lalu memberikan peringatan sebagaimana yang jelas dalam Hadith ini. Teguran dan peringatan yang diberikan oleh Rasulullah s.a.w. ini disebabkan suasana yang menyelubungi Baginda dan sahabat-sahabat ketika itu. Pada saat-saat yang genting itu, Nabi s.a.w. dan sahabat-sahabat yang lain menyandarkan tujuan penghijrahan mereka dari kampung halaman yang tercinta ke Madinah, kota yang terletak kira-kira 280 batu (320 km) ke utara Makkah itu semata-mata hanya kerana Allah s.w.t. Dengan kata-kata lain, penghijrahan bagi kepentingan, penyebaran dan kedaulatan agama Islam.
Oleh sebab niatnya itu, tiadalah yang diperoleh oleh lelaki berkenaan kecuali apa yang dihajatinya. Berbeza pula dengan sahabat-sahabat lain, yang sanggup menempuh segala kesulitan dengan penuh ketulusan hati demi menyelamatkan i`tiqad mereka yang suci, bagi mereka, pahala serta ganjaran yang besar. Ini kerana, hijrah yang disempurnakan oleh mereka semata-mata demi mengharapkan keredaan Allah serta Rasul-Nya. Berasaskan Hadith yang menekankan kedudukan penting niat inilah juga `ulama’ usul fiqh membentuk salah satu kaedah fiqh asas, “Setiap urusan (perkara) bergantung pada niatnya”. Kaedah fiqh ini memberikan maksud bahawa hukum sesuatu perkara, iaitu perkataan atau perbuatan ditentukan berdasarkan niat atau maksud individu yang melaksanakannya.
Dalam kehidupan kita hari ini, niat kelihatannya tidaklah begitu dipentingkan dan yang lebih diutamakan hanyalah matlamat atau hasil daripada usaha yang dilaksanakan. Sedangkan pada hakikatnya yang diterima dan dinilai di sisi Allah ialah apa yang diniatkan dalam hati. Maka dengan demikian, kita dapat melihat betapa sebahagian kita sanggup melakukan apa sahaja meskipun melanggar batasan syarak, demi memperoleh keuntungan duniawi. Misalnya, pemerolehan sumber pendapatan atau kekayaan tidak dihadkan hanya semata-mata melalui cara yang digariskan oleh syarak dan diredai Allah s.w.t. Begitu juga dengan pangkat atau kedudukan, kuasa, pengaruh dan sebagainya. Apa jua cara yang membolehkan ia diraih, akan diusahakan sehabis daya, walaupun melalui penipuan, penindasan, kezaliman dan penganiayaan terhadap orang lain. Malah, tanpa segan-silu diisytiharkan pula bahawa segala usaha yang digembleng dengan penuh kesungguhan itu hanya dengan tujuan serta niat yang besar; demi agama, bangsa dan negara. Sedangkan jauh di sudut hati, diketahui tujuan dan matlamat sebenar yang dicita-citakan, iaitu semata-mata demi kepentingan diri, kemasyhuran atau untuk meraih pujian.
Disebabkan niat buruk itu menjadi paksi bagi segala tindakan kita, maka tidaklah menghairankan sekiranya kita dapat melihat bagaimana kesan atau akibatnya juga sedemikian sifatnya. Sebagai contoh, jika sumber pendapatan datangnya melalui usaha berasaskan niat yang terpesong daripada landasan kebenaran, maka ia akan menyebabkan hilangnya keberkatan pada rezeki yang diperoleh. Kehilangan keberkatan ini pula seterusnya akan menyebabkan jiwa diselubungi sifat-sifat keji dan akhirnya ia mempengaruhi pula keperibadian dan tingkah laku.
Terdapat juga keadaan, iaitu niat atau matlamat dipergunakan pula bagi menghalalkan cara atau kaedah yang digunakan untuk mencapai sesuatu. Misalnya seseorang mengatakan bahawa pembabitannya dalam pekerjaan yang tidak halal atau yang diragui kedudukannya disebabkan percampuran antara unsur halal dengan haram, adalah semata-mata dengan niat yang suci, iaitu bagi menyara keluarga. Atau juga seseorang menggunakan wang daripada hasil rompakan untuk menunaikan ibadah haji atau juga bagi menunaikan tujuan mulia yang lain dengan niatnya melaksanakan kewajipan terhadap Allah s.w.t. Jelas di sini bahawa niat tersebut tidak sama sekali dapat menghalalkan cara atau kaedah yang digunakan bagi melaksanakan tujuan berkenaan dan inilah yang dapat dilihat dalam kaedah shar`iyyah yang menetapkan “matlamat tidak menghalalkan cara”.
Tidak dinafikan bahawa wujud sebilangan anggota masyarakat yang benar-benar tulus dalam usaha dan perjuangan mereka. Apa yang menjadi sandaran harapan mereka ialah keredaan Allah s.w.t. dan kejayaan dalam memakmurkan kehidupan masyarakat serta ummah. Malah, mereka berasa bimbang sekiranya nikmat yang dikecapi merosakkan diri serta mencemarkan niat atau keikhlasan mereka dalam berusaha. Selain itu, perjuangan kumpulan kecil insan seperti ini juga menghasilkan kesan yang berbeza dengan apa yang dikecapi oleh golongan yang mendasarkan usaha mereka atas niat serta matlamat yang tertumpu pada kepentingan diri atau untuk mendapatkan kemasyhuran atau pula demi keuntungan duniawi semata-mata. Usaha mereka yang ikhlas itu dilimpahi keberkatan, misalnya melalui kemajuan perniagaan serta pelaburan yang dijalankan dan sentiasa memperoleh jalan keluar bagi setiap kesulitan yang ditempuh. Selain itu, kegigihan mereka demi membawa kesejahteraan dalam kehidupan masyarakat, pasti dipermudah, sesuai dengan niat dan matlamat yang diharapkan. Ternyata, kejayaan dan lebih penting lagi, kelangsungan usaha serta perjuangan mereka ini hanyalah disebabkan asasnya yang teguh lagi utuh, iaitu ketulusan niat dan kesucian matlamat yang disasarkan.
Kesimpulannya, sesuai dengan kedudukan niat sebagai salah satu daripada tiga bahagian Islam, sebagaimana dikatakan oleh Imam Shafi`e dan imam-imam yang lain r.h., maka ia perlulah diberikan perhatian yang sebaik-baiknya dalam setiap amal, perbuatan dan tindakan yang dilaksanakan. Ini penting bagi memastikan setiap usaha dan amalan yang dilaksanakan bukanlah dengan sia-sia sahaja, yakni tidak dinilai di sisi Allah serta hanya menepati apa yang diingini atau diniatkan sahaja. Begitu besarnya peranan niat turut dapat dilihat dalam sebuah lagi Hadith, khususnya apabila ia digandingkan dengan jihad. “Tiada lagi hijrah sesudah pembebasan (Makkah) tetapi yang ada ialah jihad serta niat dan apabila diperintahkan supaya kamu keluar, maka keluarlah.” (Muttafaq `Alaih) Dalam menjelaskan maksud Hadith ini, Imam Nawawi mengatakan, “Keburukan yang tamat dengan terhapusnya hukum hijrah dapat dihasilkan dengan jihad dan niat yang baik. Apabila kamu diperintahkan oleh pemimpin kamu supaya keluar untuk berjihad dan melaksanakan amal yang baik, maka hendaklah kamu keluar.”