Allah SWT memberikan martabat istimewa kepada ibu bapa dengan pengorbanan yang mereka lakukan kepada anak-anak bermula dari alam kandungan sehinggalah ke dewasa, bahkan mungkin sehingga habis nyawa. Firman Allah SWT dalam Surah al-Isra’ ayat 23 yang bermaksud, “Dan Tuhanmu telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah berbuat baik kepada ibu bapa.”
Di alam nusantara ini, khususnya alam masyarakat Melayu, orang masih berpegang dengan budaya tersendiri dalam menghormati golongan tua khususnya ibu bapa. Antara nilai-nilai kesopanan ini termasuklah menunduk sedikit badan ketika berjalan di hadapan orang tua sebagai tanda memulia dan menghormati, bertutur dengan bahasa yang baik, merendah nada suara, menjaga nama baik orang tua, meminta izin ketika ingin beredar, mencium tangan kedua-dua orang tua ketika bersalaman, tidak berjalan mendahului mereka dan lain-lain.
Begitulah cara syariat dan adat meletakkan kedudukan yang tinggi kepada orang tua, khususnya ibu bapa. Sebenarnya, tanggungjawab sebagai ibu bapa pada hari ini juga bukan lagi berpasak atas hubungan darah daging semata-mata. Sebaliknya, tanggungjawab ini turut dipikul oleh orang lain seperti ibu bapa tiri, ibu bapa angkat, ibu bapa mentua, guru, jiran dan sebagainya. Dalam satu pepatah Afrika, “it takes a village to raise a child” yang bermaksud, seisi kampung diperlukan untuk membesarkan seorang anak.
Justeru, menjadi ibu bapa bukanlah satu pengiktirafan yang percuma dan memberi manfaat kepada sebelah pihak sahaja. Sebaliknya, martabat itu bertimbal balik dengan tanggungjawab besar yang dipikul. Anak-anak ibarat kain putih yang bersih. Rasulullah SAW bersabda, “Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah (suci bersih), kedua-dua ibu bapanyalah yang mencorakkannya menjadi Yahudi atau Nasrani atau Majusi.” (Hadis Riwayat Bukhari 1385).
Menjadi ibu bapa berjiwa besar bukanlah sesuatu perkara yang mudah bagi setiap orang. Anak-anak akan sentiasa melakukan kesilapan dan memerlukan panduan ibu bapa untuk menunjuk ke jalan yang benar. Ada ketikanya pula, ibu bapa melihat anak-anak sebagai beban dalam kehidupan mereka sehingga memberi kesan negatif kepada anak-anak itu.
Sebagai ibu bapa, adakah kita mempunyai pilihan untuk mengelakkan tanggungjawab terhadap anak kandung atau anak jagaan kita sendiri? Sudah tentulah tidak, melainkan tanggungjawab itu gugur disebabkan oleh beberapa keadaan tertentu. Jadi, apabila keluar data mengenai anak-anak Tahap Satu yang belum menguasai 3M (membaca, menulis, mengira) atau seramai 21,316 orang murid telah berhenti sekolah sejak Mac 2020, apakah yang kita perlu lakukan?
Walaupun anak sendiri tidak menjadi sebahagian daripada statistik ini, kita tetap mempunyai tanggungjawab “ibu bapa” seperti sebagai guru, ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), jiran dan ahli masyarakat setempat. Keciciran dalam menerima pendidikan atau menguasai pengetahuan asas tidak lagi boleh berlaku di Malaysia pada zaman ini. Ibu bapa perlu berjiwa besar untuk mendorong anak-anak kekal dalam sistem persekolahan agar mereka berpeluang mengubah nasib diri sendiri. Sekalipun anak dengan rela hati membanting tulang membantu keluarga, pertolongan ini hendaklah bersifat sampingan dan sementara sahaja pada usia emas persekolahan mereka. Kesusahan ibu bapa yang menanggung nafkah dan kebajikan anak-anak ini merupakan satu kemuliaan dan mendapat tempat yang tinggi di sisi Allah SWT.
Baru-baru ini, kita mendengar lagi berita kes-kes buli di peringkat sekolah, seakan-akan tidak berkesudahan. Pada penghujung tahun yang lalu, satu video sekumpulan pelajar memukul seorang pelajar lain tular dalam media sosial. Apabila kejadian buli masih berlaku, ia menunjukkan pendekatan pencegahan yang digunakan selama ini kurang berkesan. “Pahit” untuk diterima, tetapi itulah realitinya. Oleh itu, semua pihak perlu bersedia dan “berjiwa besar” untuk melakukan anjakan paradigma jika benar ingin membendung budaya buruk ini.
Kita perlu bersedia mengeluarkan belanja lebih besar dalam proses pemantauan murid-murid khususnya di asrama, sama ada dengan memberi elaun setimpal kepada guru yang menjadi warden, melantik pegawai warden bukan guru, mengada minggu kesihatan secara berkala di sekolah-sekolah dengan kerjasama pejabat kesihatan dan PIBG sekaligus mengenal pasti kesihatan jasmani dan psikologi murid-murid dan juga aspek lain-lain. Kesemua ini sememangnya memerlukan tenaga kerja baharu dan belanja yang besar. Dalam masa yang sama, kita tidak boleh pula membebani pegawai sedia ada untuk melakukan tugasan melebihi skop kerja atau kemampuan diri mereka.
Selain itu, setiap aduan hendaklah diambil serius. Usahlah pula sebagai ibu bapa, guru atau pihak yang berkenaan, kita memperkecil aduan tersebut kerana ingin menjaga nama baik individu atau institusi tertentu, perbezaan status ekonomi, pilih kasih atau sikap acuh tak acuh. Ketidakpedulian tentang aduan buli ini boleh membawa malapetaka yang lebih besar bukan sahaja kecederaan fizikal dan emosi, bahkan boleh meragut nyawa mangsa buli.
Ibu bapa, guru, pentadbir dan pihak berkuasa yang berjiwa besar perlu meletakkan objektif memperbaiki akhlak dan sahsiah murid berbanding “menyorokkan” si pembuli daripada berhadapan dengan hukuman, yang boleh mendidiknya. Sekiranya tiada tindakan yang betul diambil, kedua-dua mangsa buli dan pembuli tidak mendapat keadilan kerana kedua-duanya masih bawah umur dan perlu kepada bimbingan yang wajar termasuklah hukuman berbentuk didikan.
Sesi persekolahan yang bakal bermula beberapa hari lagi ini menuntut kita sebagai “ibu bapa” untuk berjiwa besar demi masa depan anak-anak Malaysia. Kita perlu bersedia untuk sentiasa memberi panduan yang betul kepada mereka. Pandanglah setiap anak-anak ini dan generasi muda Malaysia umpama anak-anak kita sendiri. Setiap daripada mereka berhak untuk mendapat peluang mengubah nasib diri menjadi lebih baik.