Kita biasa mendengar ucapan bahawa musibah berlaku sebagai penghapus dosa. Jika benar, adakah musibah hanya berlaku kepada mereka yang melakukan dosa sebagai satu bentuk hukuman? Tanpa kita sedar, ucapan sebegini kadangkala mengguris hati insan yang sedang menghadapi musibah kerana mereka seolah-olah dianggap sebagai seorang fasiq yang sedang melalui proses penyucian dosa.
Musibah berlaku dalam pelbagai bentuk. Ada yang menghadapi musibah dalam bentuk kemalangan seperti kebakaran, bangunan runtuh atau kecedaraan ketika melakukan aktiviti-aktiviti tertentu seperti sukan dan latihan lasak. Ada yang berlaku dalam bentuk penyakit yang sukar diubati. Ada yang berbentuk jenayah seperti ragut, kecurian dan pembunuhan. Ada juga yang berbentuk bencana alam seperti taufan, tsunami dan gempa bumi.
Jenis musibah boleh dikategorikan mengikut tahap kemungkinan untuk musibah berlaku serta tahap kerosakan sekiranya ia berlaku. Sebagai contoh, kemungkinan untuk berlaku musibah bangunan runtuh bagi warga kota adalah lebih tinggi berbanding musibah gunung berapi. Sekiranya musibah bangunan runtuh tersebut berlaku, tahap kerosakan yang dihadapi juga sangat tinggi.
Kebarangkalian musibah berlaku juga bergantung sama ada musibah tersebut adalah di dalam atau di luar kawalan manusia. Misalnya, kebarangkalian untuk musibah kemalangan jalanraya berlaku adalah tinggi tetapi tahap risiko musibah seperti ini boleh dikawal sekiranya berpunca daripada tabiat pemanduan manusia. Sebaliknya, kebarangkalian musibah tsunami adalah rendah dan sukar dikawal kerana berlaku di luar jangkaan manusia.
Acapkali kita mendengar pengisian melalui ucapan atau ceramah agama yang mengaitkan musibah sebagai karma, ujian atau hukuman daripada Tuhan. Bagi agamawan Muslim, peristiwa yang dinyatakan di dalam Quran seperti kisah bah semasa zaman Nabi Nuh AS, kisah hujan batu pada zaman Nabi Luth AS dan kisah laut terbelah ketika zaman Nabi Musa AS adalah sebahagian daripada peristiwa yang dijadikan iktibar bahawa musibah berlaku sebagai hukuman terhadap dosa manusia.
Bukanlah menjadi kesalahan untuk mempercayai ucapan bahawa setiap musibah yang melanda adalah satu bentuk hukuman atau ujian. Dalam kebanyakan situasi, ucapan ini diulang dan didendang bagi menenangkan hati mereka yang sedang dilanda musibah supaya terus bersabar, sebagaimana dinyatakan di dalam Quran: “Dan sesungguhnya Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan kelaparan dan kekurangan harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar” (surah al-Baqarah, 2:155).
Melihat kepada senario semasa di negara kita yang dilanda musibah banjir, pelbagai ragam dirakam dalam media sosial. Tidak kurang yang menganggap musibah ini sebagai ujian dan hukuman. Dari satu sudut, kita boleh melihat bahawa aspek pengurusan musibah banjir ini lebih bersifat reaktif. Yang penting untuk diteladani ialah tindakan proaktif yang berbentuk pencegahan atau mitigasi bagi menyelamatkan nyawa dan meminimumkan kerosakan.
Dalam pengurusan risiko organisasi (ERM) misalnya, tindakan proaktif diambil dengan menganalisis dan memantau tahap risiko secara berkala. Sebarang bentuk bahaya dan malapetaka diambil kira supaya tahap kerugian boleh dikawal sekiranya musibah berlaku. Pendekatan yang sama boleh disesuaikan dengan pengurusan risiko musibah seperti banjir dan wabak pandemik.
Islam mendidik umat bersikap adil dan rahmah. Sekiranya setiap musibah dianggap ujian atau hukuman daripada Allah SWT tanpa tindakan proaktif, dikhuatiri kita gagal melaksanakan amanah sebagai khalifah di muka bumi ini dengan sebaiknya sehingga membiarkan mangsa musibah tidak mendapat pembelaan yang adil. Manakala mereka yang melakukan fasad terlepas tanpa dibicara.
Konsep ta’awun (saling membantu), tabarru’ (saling menyumbang) dan berkongsi risiko melalui sistem takaful dalam menghadapi musibah adalah usaha yang baik tetapi tidak mencukupi. Sebaiknya kita bermuhasabah serta memahami budaya manusia dan aturan alam untuk mencari punca dan proses berlaku musibah. Pelbagai punca boleh berlaku seperti kecuaian manusia, tiada pengurusan kualiti dan sistem tadbir urus yang lemah.
Pujian harus diberi kepada rakyat yang berganding bahu dengan semangat Keluarga Malaysia untuk membantu mengurangkan beban mangsa banjir. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Namun, tidak memadai sekadar menghulur derma dan sumbangan berbentuk wang, harta benda mahupun tenaga.
Lebih menyedihkan apabila wujud tanggapan si mangsa ibarat insan hina yang sedang melalui karma dan perlu bersyukur dengan pemberian yang menjengkelkan seperti celana rabak dan barangan terpakai tidak berguna. Pemberi sumbangan pula dianggap mulia walhal mungkin ada dalam kalangan mereka yang sebenarnya pemusnah dan perlu bertanggungjawab terhadap musibah yang berlaku.
Benarlah bahawa musibah menghapuskan dosa tetapi tidak semestinya dosa si mangsa. Hakikatnya mungkin si mangsa yang tidak berdosa sedang melalui ujian musibah untuk dianugerahkan pahala dan diangkat darjat mereka.
Perlu diteliti bagaimana musibah berlaku supaya keadilan ditegakkan—mereka yang menjadi punca kerosakan dihukum sewajarnya, trauma dan tuntutan kerugian dilangsai sepenuhnya sehingga mangsa mampu membina kehidupan baharu pasca-musibah.
Si fasiq dan munafiq yang menjadi punca musibah sepatutnya diberi peluang menebus dosa dengan membayar nilai pampasan harta dan nyawa yang setara, bukan sebaliknya sehingga si mangsa yang tidak berdosa mengemis sumbangan yang tidak seberapa dan melalui nasib yang tidak terbela sehingga ada yang syahid dek musibah dan bencana.
Musibah akan terus berlaku. Malah musibah pada masa hadapan akan lebih mencabar dengan risiko endemik dan perubahan iklim. Malang tidak berbau tetapi pengurusan risiko bencana mampu mengurangkan kesan musibah bagi kelangsungan hidup yang sejahtera. Ingatlah, “Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan suatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri” (surah ar-Rad, 13:11).
Ditulis oleh: