Kesiapsiagaan ialah amanah, tanggungjawab kepada pemimpin negara dan panglima tentera.
Allah ʿazza wa jalla berfirman dalam al-Quran: “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan daripada pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain daripada mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya.” (Al-Anfal, 8:60).
Ayat petikan di atas turun dengan bermulanya serangan oleh Kaum Mushrik Quraysh ke atas Negara Kota Madinah pada 624 Masihi dan menjadi asas rumusan oleh Imam Abu Hafs Najm al-Din al-Nasafi (w. 1142 M) dalam risalahnya, Aqa‘id al-Nasafi, berkenaan tugas penting melengkapkan tentera bagi tujuan mempertahankan tanah air dan menghalang musuh.
Sebelum meluasnya mekanisasi pada awal abad ke-20, pasukan berkuda telah sentiasa menjadi skuadron tempur elit dalam tentera Islam. Dengan kelebihan-kelebihan seperti ketinggian, kelajuan, dan pengaruh jiwa kepada askar yang berjalan kaki, pahlawan berkuda tidak hanya bergerak lebih pantas bahkan juga berupaya menghentam dengan daya tujahan yang dahsyat.
Pemikir ketenteraan Islam Abu Sa‘id al-Harthami (giat sekitar 848 M) dan Shaykh ‘Ali ibn Abi Bakr al-Harawi (w. 1215 M) membincangkan tentang pasukan berkuda dalam risalah klasik masing-masing Mukhtasar fi Siyasat al-Harb (Intisari Pengurusan Peperangan) dan Kitab al-Tadhkirah fi al-Hiyal al-Harbiyyah (Nasihat al-Harawi pada menyatakan Helah Peperangan).
Pada zaman dahulu, terdapat skuadron dan subbahagian bertaktik yang dinamakan katibah, ta‘biyah, tali‘ah, sariyyah, dan karariyyah, yang berperanan mengintip, meronda, menyerbu jarak jauh, mengawal, menggempur, dan menduduki kota.
Pada zaman moden, jet pejuang merupakan pasukan berkuda yang meronda di langit; kesatria pahlawannya ialah juruterbang yang menerbangkan pesawat ke zon bahaya dengan kelajuan supersonik dan menggugurkan peluru dengan ketepatan jitu.
Baru-baru ini, beberapa portal berita pertahanan melaporkan bahawa bidaan untuk tender Jurulatih Pengenalan Penerbangan (FLIT)/Pesawat Tempur Ringan (LCA) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah pun ditutup pada awal Oktober.
Walaupun terdapat para pesaing yang menawarkan pilihan-pilihan menarik, pemilihan sebahagian lain jenis pejuang wajar ditangguhkan oleh kerana pelbagai isu seperti geopolitik, ketidakpatuhan, dan ketidakserasian.
Sebagai permulaan, latar belakang pencerobohan ruang udara oleh 16 pesawat tentera China pada Jun 2021 berkemungkinan menjejaskan peluang syarikat CATIC untuk menawarkan pesawat L-15 buatannya.
Sehingga September, difahamkan India sedang mengusahakan pertukaran secara barter minyak sawit keluaran Malaysia dengan pejuang Tejas keluaran Hindustan Aeronautics, walaupun ia terlebih dahulu merupakan negara pengimport terbesar komoditi itu.
Persoalannya tetap sama ada sesuatu boleh ditawarkan sebaliknya, dalam menangani dasar ketenteraan agresif oleh pesaing India di Laut China Selatan.
Kekuatan Korea Aerospace Industries (KAI) F-50 Golden Eagle terletak pada persamaan sistemnya hasil kerjasama pembangunan oleh KAI Korea Selatan dan syarikat Amerika Lockheed Martin.
Persamaan ciri-cirinya dengan F-16 Fighting Falcon keluaran General Dynamics menjanjikan “ketangkaslincahan” yang sama. Ini dapat memudahkan peralihan juruterbang kepada pesawat pejuang penguasaan udara seperti F/A-18D Hornet yang digunakan oleh Tentera Udara DiRaja Malaysia (UDM). Tambahan pula, sebarang kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Korea Selatan merupakan satu lagi peluang untuk meneruskan hubungan dua hala yang sudah pun terjalin sejak 1980-an.
Dari segi pengalaman, TUDM telah mengintegrasikan, mengendalikan dan menyelenggarakan pesawat tempur tangkas-lincah Mikoyan MiG-29 dan Sukhoi SU-30 MKM buatan Rusia masing-masing sejak 1995 dan 2007. Keterbiasaan itu menjadikan tawaran MiG-35 terbaharu oleh Aerospace Technology Systems menjadi pakej yang menarik dan serasi.
Sungguhpun begitu, dari perspektif pertahanan ketenteraan yang realis, Malaysia berkedudukan sebagai kuasa pertengahan, yang strategi pertahanan besarnya mesti disesuaikan dengan sewajarnya dengan kemungkinan masa depan dunia multipolar.
Strategi demikian penting dalam usaha negara menyumbang kepada keamanan dan keselamatan serantau berdasarkan prinsip Qur’ani: “Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka cenderunglah [berdamai] kepadanya. Dan jadikanlah pergantunganmu kepada Allah. Sesungguhnya Ia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Al-Anfal, 8:61).
Turki, iaitu satu lagi pesaing bidaan FLIT/LCA, tidak asing dengan Malaysia dalam hal ehwal kerjasama pertahanan. Malahan, kenderaan berperisai pelbagai peranan amfibia AV8 Gempita (Thunder) merupakan hasil usaha bersama DefTech Malaysia dan FNSS Turki.
Walaupun Hürjet buatan Turkish Aerospace Industries (TAI) dijangka tidak membuat penerbangan sulungnya sehinggalah tahun 2022, dengan memilihnya dapat melangkahkan ke arah penzahiran visi blok Islam yang bersatu seperti pernah diutarakan dua tahun lalu di Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019.
Langkah sedemikian boleh mewujudkan kemandirian dalam kalangan anggota blok Islam dan memupuk hubungan yang erat dan saling memanfaatkan bagi mengekalkan kedaulatan negara masing-masing dan menentang tekanan asing yang tidak wajar, sama ada melalui jalan ekonomi atau ketenteraan.