Faham kemanusiaan merupakan satu unsur penting yang terdapat di dalam ajaran agama Islam. Pelaksanaan faham kemanusiaan di dalam ajaran agama Islam wujud dalam bentuk wajib dan juga sunat. Akan tetapi, jika kita berpandukan kepada ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis nabi s.a.w., ia banyak muncul dalam bentuk suatu kewajiban yang setaraf dengan arahan pelaksanaan solat, puasa mahupun haji. Antara arahan-arahan yang dapat diterjemahkan sebagai iltizam ajaran agama Islam untuk memastikan faham ini benar-benar dilaksanakan oleh umat Islam ialah kewajiban berzakat dan beramal jariah. Daripada dua bentuk asas saluran pelaksanaan faham kemanusiaan ini, pelbagai amalan-amalan kebajikan lain yang dapat membantu meningkatkan mutu kehidupan masyarakat dapat dijalankan.
Jika tumpuan amalan zakat lebih menjurus kepada membantu lapan golongan yang telah termaktub di dalam al-Quran, amalan jariah pula lebih besar kesannya dalam meningkatkan taraf hidup keseluruhan anggota masyarakat tanpa mengira bangsa dan latar belakang agama yang mereka anuti. Ia bukan setakat dapat menyelesaikan masalah-masalah yang bersangkut paut dengan penyediaan kemudahan awam, malah boleh digunakan sebagai alat untuk membantu melepaskan golongan daif daripada cengkaman kemiskinan.
Masalah kemiskinan yang berlaku di kebanyakan negara, termasuklah Malaysia, banyak berpunca daripada cara pengagihan kekayaan negara yang tidak sempurna. Keadaan ini diburukkan lagi oleh sistem penyaluran sumber modal yang lebih memihak kepada golongan kaya di mana mereka lebih senang memperolehi pembiayaan atau pinjaman daripada institusi kewangan.
Dalam hal ini, golongan kurang berkemampuan terus terpinggir kerana mereka biasanya berhadapan dengan pelbagai halangan yang dikenakan oleh pihak bank. Ketiadaan harta untuk dijadikan cagaran kepada pinjaman dikenalpasti sebagai salah satu punca mengapa golongan ini disisihkan oleh pihak institusi kewangan. Ini ditambah pula dengan ketiadaan rekod-rekod pinjaman dan sejarah pekerjaan selain daripada taraf pendidikan mereka yang rendah. Pada pandangan pihak perbankan, kesemua ini adalah suatu risiko ke atas wang yang dipinjamkan kepada pelanggan.
Dalam hal ini, pihak perbankan gagal untuk melihat kemampuan sebenar ekonomi sesebuah negara. Sikap pilih kasih dalam urusan pengagihan pinjaman akan hanya menyebab pembangunan hanya tertumpu di kawasan yang terpilih atau kelompok yang tertentu sahaja. Sedangkan jika pinjaman modal diberikan tanpa ada pilih kasih, seluruh anggota masyarakat di dalam sesebuah negara dapat menjalankan usaha-usaha membangunkan kegiatan ekonomi secara bersepadu.
Selain gagal untuk melihat keupayaan penjanaan ekonomi secara menyeluruh melalui pengagihan modal secara saksama, pihak bank juga seakan gagal untuk belajar daripada kesilapan lepas. Sejarah telah membuktikan bahawa banyak bank dan institusi kewangan yang runtuh kerana memberi pinjaman dalam jumlah yang besar kepada sesebuah perusahaan atau badan korporat tertentu. Sebaliknya, kita tidak pernah mendengar mana-mana bank yang terpaksa ditutup atau diambil alih oleh pihak lain kerana memberi pinjaman kecil kepada pelanggan mereka.
Menurut pakar-pakar dalam bidang pembangunan, kaedah pinjaman kecil merupakan satu cara yang terbaik untuk membasmi kemiskinan. Menerusi kaedah ini, golongan miskin dapat memulakan sesuatu usaha yang dapat menjana pendapatan dan seterusnya dapat mengatasi masalah kemiskinan di peringkat akar umbi. Selain itu, langkah pemberian pinjaman kecil ini juga dapat mengelak golongan ini daripada terus meminta bantuan dan menjadi beban kepada pihak berkuasa mahupun sanak saudara.
Di sini penulis ingin mengenengahkan peranan wakaf tunai (yang juga merupakan satu bentuk saluran pelaksanaan faham kemanusiaan dalam ajaran agama Islam) dalam menyediakan kemudahan pinjaman kecil (micro credit) tanpa faedah kepada golongan miskin.
Bagi mewujudkan satu kerangka wakaf yang berperanan dalam memberi pinjaman kecil tanpa faedah (qard al-hasan), aset utama wakaf tadi perlu wujud dalam bentuk tunai. Bersandarkan kepada syarat wakaf yang ditetap oleh syarak iaitu aset atau benda yang hendak diwakafkan itu mestilah berkekalan, maka terdapat dua pendekatan boleh digunapakai bagi memastikan syarat ini dipatuhi.
Pendekatan pertama ialah menerusi penwujudan penjamin kecairan (guarantors of liquidity ) dan penjamin kerugian (guarantors of losses). Kaedah ini diutarakan oleh Dr. Muhammad Anas Zarqa menerusi cadangan beliau yang bertajuk Monetary Waqf for Micro Finance di dalam satu simposium anjuran Harvard Law School dalam bulan April 2007 yang lepas.
Menerusi cadangan beliau ini, dana wakaf dikumpulkan menerusi sumbangan yang dibuat oleh para dermawan dan juga qard al-hasan yang dibuat oleh pihak-pihak tertentu di dalam masyarakat. Di sini, Dr Muhammad Anas menggabungkan pendekatan wakaf dan pendekatan qard al-hasan untuk membentuk dana pinjaman yang bakal diberikan kepada golongan miskin yang berdaya usaha. Sumbangan penderma adalah dalam bentuk kekal manakala qard al-hasan adalah suatu bentuk pinjaman di mana pemberi pinjam berhak untuk mengeluarkan wang tadi daripada dana wakaf bila masa difikirkan perlu.
Dalam kerangka cadangan ini, penjamin kecairan akan berperanan untuk menyuntik kecairan dalam bentuk pinjaman ke dalam dana. Dalam hal ini, suntikan kecairan tadi tidak akan digunakan untuk disalurkan sebagai pinjaman kepada golongan miskin. Akan tetapi, ia akan digunakan bagi memenuhi keperluan pengeluaran yang mungkin dibuat oleh pemberi qard al-hasan.
Bagi memastikan jumlah dana wakaf tadi tidak berkurangan atau mengalami penyusutan akibat risiko-risiko pinjaman seperti kegagalan peminjam membayar balik, maka penjamin kerugian akan berperanan untuk menampung jumlah yang gagal dibayar balik tadi kepada pengurus wakaf.
Dari segi agihan zakat, mereka yang gagal melunaskan hutang dirujuk sebagai al-gharimin. Jadi mereka berhak menerima agihan zakat bagi membayar balik hutang yang gagal dijelaskan tadi. Justeru, pihak baitulmal atau pusat pungutan zakat, boleh berperanan untuk bertindak sebagai penjamin kerugian dalam kerangka cadangan ini.
Di sini penulis ingin menambah kepada cadangan dibuat oleh Dr. Muhammad Anas dengan memasukkan kaedah perlindungan pinjaman menerusi perkhidmatan takaful. Dengan kata lain selain daripada badan zakat, pengendali takaful juga boleh bertindak sebagai penjamin kerugian.
Di Malaysia, para pengendali takaful ada menawarkan produk yang bertujuan untuk melindungi peminjam daripada gagal membayar balik pinjaman akibat kematian atau keillatan kekal yang dialaminya semasa tempoh pinjaman. Kos untuk menyertai takaful tadi adalah sangat rendah dan ini boleh dimasukkan ke dalam jumlah pinjaman yang dibuat.
Pendekatan kedua dalam menjadikan wakaf tunai ini sebagai saluran untuk menyediakan pinjaman kecil kepada golongan miskin adalah seperti yang dicadangkan oleh Dr. M.A Manan. Di dalam syarahan umum beliau yang dihadiri penulis bulan lepas yang dianjurkan oleh pihak International Centre For Education In Islamic Finance (INCEIF), dana wakaf dikumpulkan menerusi penjualan sijil-sijil wakaf oleh pihak pengendali dana. Ia kemudiannya akan diuruskan oleh pengurus dana bagi tujuan pelaburan. Keuntungan yang diperolehi daripada pelaburan tadi akan dijadikan sumber asas untuk diberikan sebagai pinjaman kepada golongan miskin mahupun rancangan-rancangan kemasyarakatan berdaya maju yang lain.
Kaedah ini mirip dengan pendekatan yang sekarang ini digunakan oleh sesetengah pihak di Malaysia yang menjual sijil-sijil wakaf bagi tujuan untuk mendapatkan dana bagi membiayai pembinaan masjid, sekolah agama dan sebagainya. Cuma di Malaysia belum ada lagi penjualan sijil bagi tujuan mewujudkan tabung pinjaman kecil sepertimana yang telah dinyatakan oleh Prof. Dr. M.A Manan tadi.
Usaha untuk memajukan cadangan yang dibuat oleh ahli ekonomi golongan muslimin di atas berkenaan keupayaan wakaf tunai bertindak sebagai sebagai sumber pinjaman kecil bagi memajukan ekonomi masyarakat miskin adalah terletak di bahu setiap umat Islam yang mempunyai kuasa dan kemampuan.
Bagaimanapun pihak perbankan tidak boleh dilihat sebagai pendokong utama dalam memajukan cadangan ini kerana mereka beroperasi atas dasar untuk mengaut keuntungan. Walaupun di luar negara ada bank – seperti Social Investment Bank Limited di Pakistan- yang melaksanakan cadangan Prof. M.A Manan atas dasar tanggungjawab kemasyarakatan, di Malaysia belum ada lagi tanda-tanda pihak industri perbankan yang cenderung ke arah itu. Apa yang ada hanyalah pelaksanaan pemberian pinjaman kecil atas kadar faedah yang rendah yang dibuat atas arahan pihak kerajaan atau Bank Negara Malaysia.
Mungkin pihak Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji, ataupun pihak Majlis Agama Islam Negeri, boleh menimbang cadangan yang diutarakan oleh pakar-pakar ekonomi ini. Apapun kejayaan pelaksanaan cadangan bergantung sepenuhnya kepada cara pengurusan dana wakaf itu sendiri. Hanya pihak pengurusan yang amanah dan berwibawa dapat memastikan dana tadi diurus dengan penuh rasa tanggungjawab dan pinjaman diberikan kepada mereka yang betul-betul layak.