Kejutan besar daripada keputusan pilihan raya umum lalu masih lagi terasa dan diperkatakan umum meskipun telah hampir dua minggu ia berlalu. Ini kerana, keputusan di luar jangkaan itu juga turut mencetuskan pelbagai kesan dan akibat besar yang lain, misalnya berkaitan dengan urusan pentadbiran, penubuhan serta pelantikan kepemimpinan dan sebagainya. Maka dengan yang demikian, kita dapat melihat wujudnya kecenderungan pihak yang terlibat, untuk bermuhasabah atas kekurangan dan kelemahan dalam pelaksanaan tugas, amanah serta tanggungjawab terhadap rakyat selama ini.
Pada hakikatnya, tindakan bermuhasabah bukan sahaja khusus bagi mereka yang “tewas” tetapi juga bagi pihak yang mencapai kemenangan. Ini kerana, kemenangan yang diperoleh membawa bersama-sama dengannya tanggungjawab serta amanah yang amat berat untuk dipikul dan dilaksanakan dengan sesempurna mungkin. Ingatlah peringatan yang diberikan Rasulullah s.a.w. kepada Abu Zar r.a. bahawa pada hari akhirat kelak, jawatan yang disandang atau diharap-harapkan merupakan kerugian serta penyesalan, kecuali bagi sesiapa yang menerima atau mengambilnya berasaskan kelayakan dan menunaikan segala tuntutannya, iaitu segala tanggungjawab berkaitan dengan amanah yang dipikul.
Sesungguhnya juga, amalan bermuhasabah tidak asing sama sekali daripada kehidupan seorang Muslim. Amalan mulia ini mendorong agar setiap Muslim sentiasa beristiqamah dalam melaksanakan setiap amanah dan tanggungjawab terhadap diri, keluarga, masyarakat, negara dan ummah seluruhnya dengan sehabis daya dan kemampuan diri. Apatah lagi bagi seseorang pemimpin, lebih besarlah lagi amalan muhasabah yang perlu dilaksanakannya kerana amanah yang dipikul lebih besar dan lebih berat. Rasulullah s.a.w. mengingatkan dalam Hadith Baginda bagaimana setiap insan, terutamanya pemimpin, akan dipersoal tentang orang serta urusan yang berada di bawah jagaan atau pengawasannya pada hari akhirat kelak.
Selain itu, dalam banyak ayat, al-Qur’an mengingatkan bagaimana akhirat menjadi medan untuk dihisab dan dinilai segala amalan serta perbuatan manusia ketika mereka hidup di dunia. Kesimpulannya, setiap Muslim dan Mu’min perlu menjalani kehidupan dengan penuh waspada dan berhati-hati. Bahawa mereka akan dipertanggungjawabkan sepenuhnya atas apa jua yang dilakukan di dunia, termasuk yang berkaitan dengan amanah dan tanggungjawab yang diserahkan untuk ditunaikan. Sehubungan itu juga, berasaskan apa yang telah diusahakan sepanjang menjalani kehidupan di dunia itulah, kedudukan dan kesudahan mereka di akhirat kelak ditentukan. Amalan bermuhasabah juga sebati dalam kehidupan pemimpin-pemimpin agung tamadun Islam seperti Khalifah `Umar r.a. Di sebalik ketegasannya, Khalifah `Umar r.a. terkenal di kalangan sahabat-sahabat dan rakyat baginda sebagai seorang yang amat mudah menitiskan air mata sehingga membasahi janggutnya di hadapan orang yang mengingatkannya tentang hari kiamat. Rasa takutnya akan Allah begitu tinggi dan beliau sentiasa bermuhasabah diri dengan cara yang keras, semata-mata bertujuan mengingatkan diri bahawa pengabdian diri kepada Allah masih belum mencapai tahap selayaknya. Sehubungan itu, beliau sentiasa mengingatkan sahabat-sahabat serta rakyatnya akan azab neraka dan menggalakkan mereka supaya sentiasa bermuhasabah dengan pesanannya, “Hisablah diri kamu sendiri sebelum kamu dihisab, dan timbanglah jiwa kamu sebelum ia ditimbang.” Khalifah `Umar ternyata bersungguh-sungguh melaksanakan setiap tanggungjawab kepemimpinannya hatta terhadap haiwan sekalipun, dan beliau pernah mengatakan, “Amatlah kutakuti sekiranya seekor anak kambing mati di tebing Sungai Furat, Allah akan menghisab `Umar kerananya.” Bagi pemimpin-pemimpin hari ini, amalan bermuhasabah amat wajar dijadikan amalan dan kebiasaan dalam kehidupan seharian, bukan hanya setelah berlakunya peristiwa besar yang menguji kepemimpinan dan mencabar kewibawaan atau setelah berlalunya pilihan raya.
Ini kerana, amanah kepemimpinan menuntut pemikulnya sentiasa mencari-cari kelemahan, kepincangan dan kekurangan untuk diatasi dengan penuh wibawa. Maka dengan itu, tiada satu saat pun yang akan dibiarkan berlalu begitu sahaja tanpa dimanfaatkan sepenuhnya bagi mencapai tujuan tersebut. Ini kerana, kebimbangan menguasai diri setiap pemimpin berkenaaan seandainya amanah yang diserahkan dengan penuh kepercayaan oleh rakyat yang dipimpin telah gagal disempurnakan dan menyebabkan rakyat seluruhnya berduka cita kerananya. Lantaran itu sebagai akibatnya, mereka pula yang akan dipersoalkan Allah s.w.t. pada hari pengadilan kelak kerana kecuaian dan kegagalan mereka sebagai orang yang dipercayakan amanah serta tanggungjawab kepemimpinan.
Dalam membicarakan soal kepemimpinan, barangkali kita lupa akan kepentingan peranan yang diberikan oleh penasihat kepada pemimpin. Kisah Khalifah Harun al-Rashid, khalifah Bani `Abbasiyyah yang kelima, menarik untuk direnung iaitu bagaimana gurunya, Sufyan, menolak untuk menemui dan memutuskan hubungan dengan baginda akibat kecewa dengan tindakannya yang membuka Baitul Mal dan mengagih-agihkan kepada kaum-kerabat dan sahabat-sahabatnya sebaik sahaja baginda dilantik sebagai pemerintah, tanpa terlebih dahulu memohon kebenaran daripada tentera yang berjuang pada jalan Allah, janda-janda dan anak-anak yatim. Peringatan yang diberikan oleh Sufyan kepada Khalifah Harun al-Rashid turut menginsafkan `Abbad, utusan yang membawa surat daripada baginda kepada Sufyan. `Abbad sendiri telah menukar penampilannya dengan membeli pakaian yang lebih murah di pasar.
Pada penghujung kisah tersebut diceritakan bagaimana Khalifah Harun al-Rashid yang menangisi dan menginsafi kesilapan yang dilakukannya, menolak gesaan daripada orang istana yang merupakan penasihat-penasihat baginda supaya Sufyan dibawa menghadap kerana sikap tidak menghormati pemerintah yang ditunjukkan. Malah, baginda sebaliknya menyatakan kekesalannya terhadap mereka yang gagal memberikan nasihat yang terbaik kepadanya. Selain itu, (surat) jawapan Sufyan untuk Khalifah Harun al-Rashid yang ditulis pada helaian yang sama, iaitu di belakang surat baginda sendiri sering kali dibaca untuk mengingatkan baginda mengenai tanggungjawab besar yang dipikul. Jelaslah di sini bahawa Sufyan telah bertindak sebagai penasihat terbaik bagi Khalifah Harun al-Rashid.
Jika dirujuk sirah Rasulullah s.a.w. sendiri, jelas menunjukkan bahawa Baginda sentiasa menerima pandangan sahabat-sahabat yang memiliki ilmu dan kepakaran tertentu sebagai nasihat berguna termasuklah dalam menghadapi saat-saat genting seperti peperangan. Misalnya dalam Peperangan Khandaq, Baginda menerima pandangan daripada Salman al-Farisi yang mengutarakan cadangan berdasarkan strategi yang diambil oleh negara Parsi apabila menghadapi tentera musuh yang besar bilangannya, iaitu dengan menggali parit. Lantas, parit pun digali dari utara Madinah dan sebahagian kecil di bahagian barat kerana dari arah lain, Madinah dilindungi oleh bukit-bukau dan kawasan batu-batan serta kebun-kebun yang sukar untuk dilalui oleh tentera musuh.
Sejarah pentadbiran negeri-negeri Melayu juga mencatat bahawa terdapat pemimpin yang menjadikan cendekiawan sebagai penasihat. Ini misalnya Sultan Zainal Abidin III (1281H./1865M.-1337H./1918M.) yang bukan sahaja berguru bahkan menjadikan Tok Ku Paloh atau nama sebenarnya, Sayyid Abdur Rahman al-Aidrus (1233H./1818M. – 1335H./1917M.) sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Negeri baginda. Nasihat yang diberikan oleh Tok Ku Paloh telah membantu Sultan Zainal Abidin III untuk menyusun rancangan bagi mengukuhkan pentadbiran negeri. Ini khususnya dengan menegakkan perkara-perkara yang dituntut oleh agama, melaksanakan perkara makruf dan mencegah kemungkaran serta meneguhkan keperibadian serta akhlak rakyat, bagi mempertahankan negeri Terengganu daripada ancaman luar. Semasa Tok Ku Paloh dan Sultan Zainal Abidin III masih hidup, pihak Inggeris tidak sama sekali berjaya mencampuri urusan pentadbiran negeri Terengganu.
Kisah-kisah ini menunjukkan bahawa setiap pemimpin memerlukan penasihat yang berilmu, bijaksana lagi berwibawa agar dapat memberikan pandangan, teguran serta nasihat berguna bagi memastikan amanah kepemimpinan dapat dilaksanakan dengan sempurna. Setelah menerima nasihat itu pula, setiap pemimpin haruslah bersedia mendengar, mempertimbang dan seterusnya bijak membuat keputusan terbaik. Bagi penasihat pula, mereka seharusnya menyedari tanggungjawab besar yang digalas. Nasihat dan pandangan yang diberikan mestilah berasaskan kebenaran dan kebaikan, bukan sekali-kali atas tujuan-tujuan yang lain, misalnya demi memenuhi kepentingan diri atau juga bagi mencapai matlamat tertentu yang akhirnya membawa kemudaratan disebabkan pengabaian terhadap kepentingan rakyat seluruhnya. Tidaklah keterlaluan jika dikatakan bahawa pemimpin yang baik akan berusaha mendapatkan penasihat yang baik, berakhlak mulia lagi berwibawa. Begitulah juga sebaliknya, penasihat yang baik dan bijaksana hanya berkecenderungan untuk berkhidmat dengan pemimpin yang juga memiliki sifat, ciri-ciri dan nilai yang sama.