Perbankan dan kewangan Islami kini telah diterima sebagai perantara kewangan yang setanding dan memberi sumbangan dan kesan kepada keseluruhan usaha pembentukan kekayaan, perkembangan dan pembangunan negara dan dijadikan keutamaan pihak-pihak yang berurusan dengan kewangan dan perbankan di seluruh dunia. Namun, terdapat kejanggalan dalam perkembangan ini apabila sudut perundangan, pertikaian dan piawaian perakaunan kurang diberi perhatian. Isu pembangunan kewangan Islami lebih memberi perhatian kepada pematuhan syariah dan pasaran perkhidmatan berbanding menyediakan satu aturan untuk amalan perundangan dan perlaksanaan piawaian di peringkat yang lebih pakar. Kegagalan rangka perundangan dan piawaian kewangan Islami berupaya membawa kepada kemungkinan ketidakpatuhan syariah semula akhirnya.
Aturan kewangan berdasarkan muamalah Islami terutamanya di Malaysia kini telah melalui rentetan perkembangan dari masa ke semasa sehingga mampu bersaing dalam keseluruhan aturan kewangan dalam negeri dan antarabangsa. Sejak tahun 1980-an, aturan perbankan tanpa faedah diperkenalkan dalam perbankan dan pelaburan telah mengilhamkan penubuhan berbagai institusi perantara dan berbagai keluaran perkhidmatan baru. Tidak kurang juga, institusi sedia ada telah mengalami perubahan dengan mengunapakai pendekatan muamalah Islami dalam pengurusan dan menjadikan kewangan Islami sebagai salah satu produk yang setanding dengan produk biasa. Dengan sokongan pasaran yang memberangsangkan dan keistimewaan aturan kewangan berasaskan landasan syariah sendiri, kini aturan kewangan ini telah berjaya menguasai penawaran dan permintaan industri.
Berbagai tanggapan telah disandarkan kepada pembangunan ini sehinggalah ada yang mengatakan bahawa, aturan kewangan Islami hanya menukar pada nama sahaja tetapi aturan berasaskan kepada faedah/riba masih berleluasa. Sebenarnya perkara ini mungkin benar pada peringkat awal tetapi perkembangan demi perkembangan yang berlaku telah menidakkan kenyataan ini. Apa yang membimbangkan dalam perkembangan semasa ialah keadaan perundangan dan piawaian semasa tidak mampu untuk memberi sokongan sebenar yang diperlukan oleh aturan kewangan Islami.
Memang diakui pada peringkat awal perkembangan, berlaku Islamisasi ke atas perkhidmatan kewangan Islami dari aturan biasa (konvensional). Usaha kerajaan dengan peranan yang dimainkan oleh Bank Negara telah berjaya meletakkan aturan kewangan Islami di peringkat yang amat membanggakan. Masyarakat juga perlu menerima kelemahan yang ada dalam aturan kewangan negara bekas penjajah dan berusaha untuk memperbaikinya dari masa ke semasa. Sekiranya kita tinjau, kita akan dapati bahawa perkara yang sama berlaku dalam persoalan lain juga. Ini adalah kerana agama Islam tidak memberi panduan pengurusan terutamanya kewangan Islam secara terperinci kecuali panduan umum kepada ummah untuk menyelaraskannya dengan keadaan tertentu berasaskan panduan hikmah dan kebijaksaan yang telah digariskan oleh perlembangaan al-Quran.
Pasaran modal Islami contohnya melihat bagaimana perkembangan bond berlaku dengan pemurnian berlaku ke atas asas aqad dari berdasarkan faedah kepada faham yang lebih jelas dan telus iaitu perkongsian keuntungan dan risiko. Akhirnya, pasaran sukuk yang dahulunya adalah mimikan bond bertukar menjadi satu instrumen baru dan penting dalam pasaran modal Islami. Bond kini lebih dikenali dengan sukuk manakala Malaysia kini berada di tahap paling cergas dalam menawarkan hasil ini dengan menguasai lebih kurang 62% pasaran sukuk di peringkat antarabangsa atau berjumlah lebih kurang RM195 Billion. Kadar perkembangan ini adalah dianggarkan sebanyak 17% bagi jangkamasa 2001-2006. Sepanjang bulan Februari dan awal Mac tahun ini, beberapa badan seperti SilTera Malaysia Sdn Bhd., Westport, Kuwait Finance House Bhd, Bank Pembangunan Islam (IDB) dan Bank Negara sendiri telah menawarkan sukuk dengan jumlah yang agak besar.
Penawaran ini menunjukkan bahawa aturan kewangan Islami sedang meningkat naik. Peningkatan ini banyak dipengaruhi oleh keyakinan semua pihak terbabit terhadap keseluruhan binaan sukuk dan potensinya sebagai sumber pasaran modal yang patuh kepada syariah. Asas aqad sukuk pinggiran seperti sukuk yang diasaskan kepada aqad bai’ bithamani ajil dan bai’ inah cenderung saduran aturan konvensional kini kurang mendapat sambutan. Asas aqad seperti ijarah dan musyarakah yang selari dengan jual beli dan perkongsian yang dibenarkan oleh agama Islam mula menjadi keutamaan.
Perkara penting yang ingin diketengahkan di sini ialah berkenaan dengan wujudnya kejanggalan dalam aturan kewangan Islami. Penumpuan yang wajar perlu diberikan. Terdapat dua perkara penting yang perlu diberi perhatian iaitu dari sudut perundangan dan piawaian perakaunan.
Dalam kes pertikaian contohnya, kes berkenaan pertikaian kewangan Islami dirujuk ke mahkamah sivil yang lebih memberi tumpuan dan keutamaan kepada peruntukan terma dan syarat aqad berbanding melihat sendiri kehendak adil dan ehsan yang menjadi asas utama perundangan Islam. Tanpa pendedahan dan penguasaan bidang kewangan Islami, kita tidak menolak kemungkinan bahawa mahkamah sivil akan terlepas pandang beberapa ciri penting muamalah itu sendiri. Satu tribunal khas perlu diwujudkan dalam masa terdekat ini bagi mengatasi masalah ini. Kita bukanlah meragui mahkamah tetapi sebagai langkah yang lebih bijaksana dalam menyokong perkembangan baik kewangan Islami. Kita tidak mahu putusan dari kes-kes terdahulu yang kurang sesuai atau gagal mengambilkira unsur berkepentingan kemudiannya dijadikan sebagai landasan penghakiman.
Manakala dari segi perakaunan pula, terdapat sedikit ketidakselarian tentang cara bagaimana penyata dan penyataan imbangan serta laporan untung/rugi tahunan dilaporkan. Pada dasarnya masih tiada keselarasan. Dengan mengambil contoh seperti persoalan bagaimana melaporkan Simpanan Pembahagian Untung (Profit Equalization Reserve) dan Simpanan Risiko Pelaburan (Investment Risk Reserve) yang dibuat oleh institusi kewangan boleh mempengaruhi pematuhan kepada syariah. Kedua-dua simpanan ini sekiranya tidak digunakan hendaklah kemudiannya dikembalikan kepada pencarumnya. Malang sekali semua pihak berkenaan tidak memberi tumpuan ke atasnya dan semua simpanan ini direkodkan sebagai aset institusi dan akhirnya menjadi milik institusi.
Terdapat banyak lagi ciri lain selain dari ringkasan permasalahan yang diketengahkan. Sekiranya kita mengkaji kedudukan kedua-dua ciri kejanggalan di atas, pihak berkenaan perlu menyediakan pendekatan tertentu supaya kelicinan aturan kewangan Islami dapat diperbaiki dan dipertingkatkan. Dengan langkah ini, permasalahan kejanggalan yang ketara mampu diatasi. Pendekatan ini juga selain itu dapat menjadi enjin pemacu kepada kelancaran aturan kewangan secara keseluruhannya. Walaupun memang terdapat beberapa ketidakselarian yang mungkin tidak dapat dielakkan seperti perbezaan pandangan mazhab yang memberi kesan langsung, persoalan ini bagaimanapun tidaklah ketara dan sedikit demi sedikit telah diubah oleh kecenderungan pasaran.