Sering kali, pergerakan pemodenan mempunyai unsur-unsur penentangan dan pemberontakan terhadap pergerakan agama. Melalui pergerakan sekularisme, ia berjaya memencilkan agama daripada kehidupan serta mengecilkan fungsinya seperti keimanan yang dilihat dari sudut yang sempit dan kepercayaan individu semata-mata.
Ini amat berbeza dengan pembangunan yang berasaskan Islam, di mana sebarang penguasaan terhadap sesuatu didahului dengan kemajuan dan pembangunan kerohanian manusia. Tumpuan pembangunan seperti ini ialah pembinaan dan pembangunan insan yang berasaskan ketinggian rohani, mengikut acuan yang ditentukan oleh al-Quran.
Al-Quran menjadi sumber rujukan yang menggerakkan pembangunan yang berpusatkan pada pembangunan manusia. Proses pembangunan ini berlaku di bawah bimbingan Rasulullah s.a.w. yang tidak terkeluar daripada kehendak al-Quran. Arahan dan bimbingan baginda telah melahirkan generasi al-Quran yang unik dengan roh dan minda yang dicernakan dalam acuan al-Quran itu sendiri.
Dalam proses pembinaan insan rabbani yang terbentuk sahsiahnya daripada ketinggian roh, al-Quran memberi penekanan kepada pembentukan minda al-Quran yang bertitik tolak daripada keimanan dan pandangan hidup yang jelas serta mempengaruhi corak kehidupan generasi pertama Islam dan menentukan bentuk tingkah laku dan akhlaknya.
Minda al-Quran berteraskan keimanan ini, akan melahirkan pembentukan aktiviti akal yang cergas untuk berfikir. Melalui aktiviti akal yang sebeginilah akan tercetusnya dorongan-dorongan dan perkembangan dalam masyarakat yang akan menggerakkan pelbagai bentuk perubahan yang positif.
Akal yang sentiasa dihidupkan dengan aktiviti berfikir tidak mungkin statik, bahkan ia sentiasa dinamik dan berkembang. Dari sumber inilah generasi Islam yang pertama mendapat kekuatan dan inspirasi untuk bergerak dan mara ke hadapan, di mana ia menjadi tenaga penggerak yang teguh dan mendorong ke arah pembangunan.
Generasi yang dibentuk dengan acuan al-Quran adalah generasi yang berjaya membentuk dan menanam unsur-unsur takut kepada Allah, membina jiwa berani, merdeka dan bebas. Matang dalam memberikan buah fikiran dan membuat keputusan, sentiasa melahirkan idea-idea yang bernas dan membina.
Pemikiran yang bersifat menyeluruh akan membentuk minda yang sempurna dan bijaksana di samping memantapkan keimanan. Minda yang positif bersikap tidak putus asa terhadap rahmat Allah, tidak sombong dan lupa diri bila diberi kejayaan, kerana itu semua adalah dari Allah.
Inilah akal yang sihat dan minda al-Quran yang perlu dihidupkan dalam masyarakat Islam hari ini. Minda yang mempengaruhi pembentukan akhlak yang tinggi, melahirkan semangat pengorbanan serta tidak mementingkan diri sendiri.
Sayangnya, di zaman informasi yang serba canggih kini, manusia kagum dengan kemajuan industri sains dan teknologi, kekuatan dan kestabilan politik, ketenteraan, ekonomi, yang kesemuanya mereka bina sendiri dengan asas yang rapuh, yang zahirnya kelihatan gagah dalam segala hal tetapi gagal untuk menyelamatkan manusia dan alam sekitarnya.
Nasib malang ini juga turut menimpa umat Islam yang kini terkepung dari segenap penjuru sehinggakan kepesatan pembangunan zaman moden yang seharusnya menjanjikan keselesaan dan keharmonian hidup turut melahirkan kesan sampingan yang meruntuhkan moral dan kemanusiaan.
Pembangunan dan pemodenan hari ini melahirkan manusia yang sering hilang pertimbangan dan mudah menjadi keliru. Yang tidak tahu batas-batas agama, dan tidak kurang juga yang mahu bercakap dengan hujah-hujah tetapi sebenarnya jahil dan menyesatkan.
Maka, untuk menyelamatkan manusia daripada kekeliruan ini, kita perlu mempunyai agenda pembangunan manusia yang baik dan tersusun, yang dapat membetulkan arah dan matlamat hidup yang berasaskan wahyu Ilahi serta mengukuhkan kembali moral kehidupan manusia.
Pada saat seperti inilah kita perlu melihat kembali kepada nilai-nilai yang dibawa oleh al-Quran dan beramal dengan nilai-nilai tersebut. Hanya melalui penghayatan nilai-nilai Islam yang menyeluruh mampu untuk membina kembali tapak kemajuan yang kukuh, dan menuju kepada matlamat yang jelas dan terang.
Memang telah jelas dan terbukti bahawa ajaran Islam mengandungi landasan yang lurus dan prinsip-prinsip yang membawa kemajuan dan kesejahteraan hidup.
Tetapi harus juga difahami bahawa yang menentukan keberkesanan prinsip-prinsip kehidupan itu ialah cara bagaimana kita mengamalkan agama. Cara bagaimana kita memahami Islam dan bagaimana kita beramal dengannya juga turut menentukan sama ada prinsip-prinsip Islam itu berkesan di dalam membina kemajuan atau sebaliknya.
Untuk itu, kita perlu kepada perubahan tanggapan terhadap kehidupan dan pemikiran supaya serasi dengan tuntutan al-Quran demi membentuk generasi Muslim yang diidamkan. Sebarang bentuk aktiviti individu dan masyarakat hendaklah menjurus kepada pengabdian mutlak kepada Allah s.w.t. dengan berlandaskan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.
Masyarakat perlu disedarkan bahawa hidup ini adalah sementara dan manusia diberi tugas yang berat sebagai khalifah untuk mentadbir alam. Untuk itu al-Quran perlu dijadikan panduan bagi merangka corak kehidupan manusia dalam segenap aspek.
Justeru, dalam usaha untuk membina dan membangunkan kembali kekuatan ummah, kita harus melihat dengan serius cara kita beragama. Kita harus mengkaji adakah cara masyarakat kita beragama itu berada di dalam keadaan yang benar-benar serasi dengan ajaran Islam dan menepati kehendak beragama yang sebenar.
Malangnya, sebahagian besar daripada kita mengambil mudah perkara ini dan merasa puas dan memadai dengan sebahagian daripada ajaran Islam yang diamalkan. Dalam banyak hal, hubungan dan kefahaman yang kabur antara masyarakat dan Islam diterima sebagai hubungan yang betul yang sekali gus meletakkan agama sebagai faktor yang menyumbang kepada kepincangan apabila masyarakat itu mundur.
Hakikat sebenarnya, tetapi ramai yang tidak mengakuinya, ialah kesilapan memahami dan mengamalkan agamalah yang menjadi puncanya.