ISLAM adalah agama bersifat dinamik dan progresif. Oleh itu, orang Islam seharusnya bersifat demikian tetapi realiti yang berlaku adalah Kita suka bernostalgia mengingati masa lampau dan masih lagi leka dengan perkara-perkara yang bukan bersifat dharuriyyat (kemestian), hajiyyat (keperluan) atau apa yang dirujuk sebagai tahsinat (kesenangan).
Memang tidak salah mengimbau masa lampau, tetapi ia perlu dilakukan secara positif seperti untuk mencari pengajaran atau belajar daripada kesilapan lalu.
Adalah tidak salah kita menikmati unsur tahsinat atau kesenangan, tetapi ia hendaklah dalam batas yang dibenarkan syariah.
Disebabkan leka dengan perkara tidak mustahak, kita tertinggal jauh dalam persaingan kehidupan.
Lihatlah dunia Islam sekarang yang menjadi mangsa keadaan kerana kegagalan masyarakat Islam untuk bersaing dalam bidang politik, social dan ekonomi dengan penganut agama lain.
Ini menyebabkan Islam secara tidak langsung turut dilabel sebagai satu doktrin yang tidak kontemporari dan tidak sesuai untuk diguna pakai dalam zaman serba maju dewasa ini.
Perkara ini diburukkan lagi dengan kegagalan umat Islam sendiri menangkis kecaman dan tuduhan tidak benar yang dilemparkan kepada mereka.
Punca utama masalah ini berkait rapat dengan sikap orang Islam yang tidak bersatu dan tidak tahu untuk menggunakan atau mengurus kelebihan yang dikurniakan Allah demi kepentingan umat Islam sejagat.
Perkara sama terjadi kepada umat Islam di Malaysia. Orang Melayu Islam di Malaysia mempunyai banyak kelebihan sama ada yang termaktub di dalam perlembagaan atau pun yang tidak.
Berapa ramai di antara kita yang menggunakan kelebihan ini untuk memajukan diri dan masyarakat?
Kita mudah berpuas hati dengan apa yang ada menyebabkan tiada ikhtiar untuk meningkatkan tahap kepuasan yang mungkin diperoleh jika kita berusaha lebih giat lagi.
Profesor Diraja Ungku Aziz sering mengutarakan pandangan beliau mengenai pentingnya orang Melayu mengubah sikap jika mereka ingin berjaya.
Tun Dr Mahathir Mohamad pernah meluahkan perasaan kecewanya atas kegagalan beliau mengubah sikap orang Melayu sebelum membuat keputusan melepaskan jawatan Perdana Menteri yang disandangnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sekarang pun menghadapi situasi sama di mana beliau turut berdepan dengan masalah sikap orang Melayu yang tidak bersungguh mengubah nasib mereka.
Daya saing orang Melayu tidak sehebat masyarakat Cina yang kelangsungan hidup mereka amat menakjubkan.
Letak saja mereka baik di organisasi atau penempatan yang majoritinya bukan kaum Cina, mereka mampu meneruskan kehidupan malah lebih baik daripada warga asalnya.
Apa yang tidak ada pada orang Melayu tapi ada pada kaum Cina? Rasanya kita memiliki semuanya dan apa yang kurang ialah sikap gigih berusaha ke arah kecemerlangan.
Jadi tidak hairanlah jika masyarakat Cina terkehadapan kerana berjaya menguasai pelbagai bidang kehidupan di negara kita disebabkan kegigihan mereka.
Ini bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud, “dan bahawasanya seorang manusia tiada memperoleh selain apa yang telah diusahakannya.” (Surah an-Najm, aya 39)
Adakah salah di sisi Islam jika kita mempelajari dan meniru sikap positif kaum Cina ini? Jawapannya tentu sekali tidak kerana nabi di dalam satu hadis yang diriwayatkan bersabda yang bermaksud: “Kebijaksanaan umpama tongkat yang hilang bagi seseorang mukmin. Dia harus mengambilnya dari siapa saja yang didengarnya tidak peduli dari sumber mana datangnya.” (Riwayat Ibnu Habban)
Secara jelasnya kebangkitan dan kemunduran sesuatu bangsa bergantung kepada sikap dan tindakan mereka. Perubahan sikap sebenarnya tidak perlu mengambil masa lama.
Konsep ‘mahu berubah untuk kebaikan’ sudah sedia ada dalam Islam. Konsep taubat misalnya, adalah satu konsep yang penting dalam Islam.
Malangnya kita melihat konsep itu sebagai satu cara untuk penyucian dosa semata-mata.
Seharusnya kita perlu melihat konsep taubat secara falsafah kerana proses bertaubat memerlukan kita meninggalkan perkara mendatangkan dosa secara terus, bukannya beransur-ansur.
Dalam hal berkaitan perubahan sikap orang Melayu, mengapa perlu mengambil masa yang lama untuk berubah?
Nabi Muhammad mengambil masa 10 tahun berdakwah di Makkah untuk memantapkan akidah orang Islam sebelum berhijrah ke Madinah.
Usaha Baginda turut membabitkan proses menukar persepsi dan sikap masyarakat Makkah pada masa itu daripada menyembah berhala kepada mentauhidkan Allah.
Kita pula mengambil masa 30 tahun untuk melaksanakan program Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Sepanjang tempoh pelaksanaan DEB, pelbagai program pembangunan memajukan orang Melayu dilakukan. Malangnya, apabila DEB berakhir pada 1990, kita gagal mencapai apa yang digariskan.
Sehingga sekarang pun kita masih tidak mencapai apa yang perlu kita capai pada 1990.
Sekali lagi masalah sikap dikatakan menjadi punca mengapa matlamat untuk memajukan orang Melayu melalui DEB gagal. Adakah ini benar atau, strategi yang digariskan DEB kurang berkesan?
Ungku Aziz berkata, DEB tidak seharusnya menekankan peningkatan pemilikan ekuiti orang Melayu sebaliknya, menjadikan usaha membasmi kemiskinan sebagai agenda utama.
Persoalan sekarang, adakah benar situasi yang dihadapi orang Melayu berkait rapat dengan sikap mereka atau ia ada kaitan dengan polisi kerajaan atau kedua-duanya sekali.