APAKAH yang lebih bermakna bagi bangsa dijajah selain kemerdekaan dan kebebasan? Apakah pula yang amat berharga bagi negara yang bebas lagi merdeka, selain warganya yang berjiwa merdeka dalam erti kata sebenar.
Dengan kata lain, kemerdekaan hilang maknanya jika rakyat tidak berusaha memastikan akidah, akal, jiwa serta budi mereka sentiasa bebas daripada penjajahan. Sebaliknya, mereka merelakan diri dijajah semula, dalam apa juga bentuk sekalipun.
Prof Dr Wan Mohd Nor Wan Daud, dalam kertas kerja ‘Kemerdekaan Dalam Islam: Menyuburkan Maknanya di Malaysia’, berkata Islam adalah umat terbaik yang diutus kepada manusia.
Mereka mengajak kepada kebaikan (al-makruf), mencegah kemungkaran (al-munkar) dan beriman kepada Allah iaitu seperti yang dinyatakan dalam ayat 103, surah Ali Imran. Pelaksanaan ketiga-tiga asas tanggungjawab akhlak dan kerohanian umat Muhammad ini mengandaikan secara automatik bahawa mereka umat merdeka.
Keimanan kepada Allah secara langsung akan membebaskan jiwa hamba daripada sebarang bentuk perhambaan yang sia-sia kepada selain-Nya. Keimanan suci inilah juga yang akan memerdekakan dirinya untuk melayari kehidupan dengan berpandukan perintah dan peraturan yang ditetapkan syariah. Bahkan, keimanan, ketakwaan dan ketaatan kepada Allah yang dapat membebaskan hamba daripada belenggu syaitan.
Keimanan kepada Allah yang memberikan kemerdekaan dan kebebasan jiwa, juga mendorong penyerahan jiwa hamba yang sepenuhnya kepada Allah. Penyerahan jiwa ini juga sebenarnya bentuk kemurahan hati seorang kekasih, khususnya seorang hamba yang mencintai Penciptanya. Jalaluddin al-Rumi (1207/8 – 1273M) pernah mengungkap, “Sesuailah bagi seorang yang pemurah untuk mendermakan wangnya, namun kemurahan hati seorang kekasih adalah dengan menyerahkan jiwanya. Jika kamu memberikan sebuku roti demi kerana Allah, kamu akan diberikan sebuku roti sebagai balasannya; jika kamu menyerahkan nyawamu demi kerana Allah, kamu akan dikurniai hayat sebagai ganjarannya.” (Mathnawi I, 2235-36)
Bebasnya akidah seseorang daripada sebarang belenggu, sekali gus akan memerdekakan minda serta akal budinya. Lalu mendorong dia mencipta kejayaan dan kemajuan dalam kehidupan. Individu ini akan berupaya menyempurnakan semua bentuk tanggungjawab yang diamanahkan. Antaranya menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran.
Tanggungjawab ini memainkan peranan penting dalam kehidupan bermasyarakat dan antara aspek penting dalam sistem pentadbiran sosial. Kata Ibn Khaldun, ia adalah tanggungjawab agama. Tanggungjawab yang dikenali sebagai hisbah ini berkaitan dengan peraturan awam dan adab atau kaedah pencegahan jenayah yang berkesan. Ia bertujuan memelihara dan membentuk masyarakat harmoni, aman dan berakhlak mulia.
Usaha menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran ini adalah tanggungjawab penting yang sentiasa dilaksanakan Rasulullah SAW. Usaha murni ini menunjukkan bagaimana ia berperanan mengukuhkan dan menstabilkan masyarakat, diteruskan pula oleh Khalifah `Umar ibn al-Khattab. Beliau pemerintah pertama yang mengamalkan peraturan hisbah ketika zaman pemerintahannya dalam pelbagai bidang termasuk akidah, politik, sosial dan muamalat. Tanggungjawab ini akhirnya diungkap sebagai hisbah pada zaman pemerintahan Khalifah al-Mahdi, salah seorang khalifah Bani Abbasiyyah.
Satu perkara yang juga mempunyai kaitan dengan tanggungjawab agama ini adalah penyediaan kekuatan oleh umat Islam zaman kini. Allah berfirman bermaksud, “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan daripada pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh yang lain daripada mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedangkan Allah Mengetahuinya. Dan apa saja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiayai.” (Surah al-Anfal, ayat 60)
Selain menyediakan peralatan untuk pertahanan negara yang bersesuaian, umat Islam, khususnya di Malaysia harus giat memantapkan akidah, jiwa dan akhlak. Pertahanan dalam bentuk inilah yang dapat menyelamatkan mereka dalam menghadapi apa juga bentuk serangan mahupun ancaman musuh. Ini juga yang ditegaskan Dr Wahbah al-Zuhaili dalam mentafsirkan ayat ini. Katanya, maksud perkataan quwwah (kekuatan) dalam ayat 60, surah al-Anfal ini bersifat umum.
Ia meliputi persediaan peralatan atau kebendaan daripada pelbagai bentuk senjata yang bersesuaian dengan zaman moden ini, sama seperti apa yang dimiliki oleh pihak musuh dan diperbuat dalam negara Islam.
Selain itu, ia merangkumi persediaan maknawi dan kerohanian seperti dorongan bakat serta kebolehan, kekuatan (diri) dan merangka persediaan bagi menghadapi peperangan, iaitu dengan memantapkan akidah Islamiah yang benar serta akhlak mulia di kalangan mereka.