Kempen OMBAK (Wanita Membanteras Keganasan) dilancarkan untuk menyekat keganasan dari menjadi sebahagian dari budaya kita. Sebagaimana yang kita tahu, sejak akhir-akhir ini berbagai bentuk keganasan telah berlaku dalam masyarakat kita. Pada tahun lalu sahaja, lebih 3,700 kes rogol, kekejaman dan pembunuhan telah dilaporkan. Ini tentunya suatu perkembangan yang tidak sihat. Jika kita tidak mengambil sesuatu langkah untuk membendung hal ini, kita bimbang keganasan akan terus bermaharajalela dalam masyarakat kita. Bila ini berlaku, tiada siapa yang akan berasa selamat lagi, hatta dalam rumah sendiri.
“Wanita Membanteras Keganasan (OMBAK)” ini adalah satu kempen yang dilancarkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga dan kempen ini telah dilancarkan oleh Y.A.B Perdana Menteri kita pada 23 Julai 2001 yang lalu. Ini merupakan salah satu usaha pihak kementerian untuk memupuk dan mengekalkan ketenteraman dalam masyarakat kita. Walaupun namanya “Wanita Membanteras Keganasan” tetapi ia tidak hanya tertumpu kepada wanita sahaja. Lelaki juga perlu terlibat. Ini kerana apa-apa bentuk kempen pun tidak akan berjaya tanpa sokongan padu semua anggota masyarakat.
Berkaitan dengan objektif kempen ini, setelah melayari laman web OMBAK ini, saya mendapati ia mempunyai tiga objektif utama: (i) meningkatkan kesedaran mengenai keganasan yang berlaku dalam masyarakat kita, termasuk terhadap wanita; (ii) mengenalpasti tindakan yang boleh diambil untuk membantu membanteras keganasan tersebut dan mengambil tindakan itu; (iii) membantu mangsa keganasan.
Jadi kita dapati objektif pertama OMBAK ialah untuk meningkatkan kesedaran. Kedua, untuk membanteras atau menghentikan keganasan (unsur proaktif) dan ketiga, membantu mangsa untuk meneruskan hidup atau mendapatkan bantuan (reaktif).
Menurut kempen ini, setiap warganegara berperanan untuk menyekat keganasan. Satu daripada caranya ialah melalui pendidikan anak-anak. Anak-anak perlu dididik untuk menghormati orang lain. Dengan adanya nilai hormat ini tidaklah mereka sewenangnya bertindak ganas terhadap orang lain atau melakukan perbuatan yang tidak wajar kepada orang lain. Ibubapa juga perlu memberi panduan kepada anak ketika memilih rancangan televisyen. Selalu diperkatakan bahawa apa yang ditunjukkan di televisyen itu mempunyai pengaruh yang besar kepada anak-anak. Maka elakkan mereka dari menonton cerita-cerita ganas. Jika cerita-cerita seperti ini tidak dapat dielakkan, bimbing mereka mengenai isi kandungan cerita itu agar mereka dapat membezakan yang mana yang baik dan yang mana yang buruk.
Selain itu, kenali rakan anak anda. Ini penting kerana kadangkala didikan di rumah itu betul tetapi ia digagalkan oleh kawan-kawan anak-anak kita yang mempengaruhinya dengan nilai-nilai yang lain. Jadi kalau kita mendapati anak kita bergaul dengan budak-budak yang tidak baik – hadkan pergaulan mereka. Kenali rakan-rakan mereka juga penting untuk memastikan tiada kecenderungan ganas dalam diri kawan-kawan anak-anak kita itu. Kita bimbang kalau kecenderungan ini ada, lambat-laun anak kita akan terikut-ikut atau menjadi mangsa keganasan itu sendiri.
Kita juga boleh memainkan peranan dengan mendidik masyarakat agar peka dengan keganasan. Ini terutamanya untuk mereka yang berkesempatan mendidik masyarakat seperti guru, penceramah, guru agama dan sebagainya. Mereka yang dalam kedudukan ini, perlu meningkatkan kesedaran masyarakat tentang keganasan. Bila kesedaran telah meningkat, masyarakat akan lebih peka dengan apa yang berlaku di sekeliling mereka dan bertindak sewajarnya untuk membanteras keganasan atau mengambil tindakan-tindakan yang sepatutnya bila sesuatu keganasan berlaku.
Kita juga boleh membanteras keganasan dengan melaporkan keganasan yang kita tahu sedang atau telah berlaku. Kadangkala kita tahu ada keganasan berlaku tetapi kita ambil sikap mendiamkan diri kerana tidak mahu “menjaga tepi kain orang lain”. Begitu juga, kadangkala kita tahu ahli keluarga kita melakukan keganasan tetapi kerana tidak mahu ia ditangkap, kita berdiam diri. Ini tidak betul. Kita perlu melaporkannya walaupun keganasan itu berlaku dalam rumah kita dan oleh orang yang paling dekat dengan kita.
Kalau kita menjadi mangsa keganasan pula, kita perlu melaporkannya. Jangan takut untuk melaporkan kepada pihak-pihak yang berkenaan kerana tentunya mereka akan melindungi kita.
Melihat kepada objektif ketiga kempen ini iaitu memberi bantuan kepada mangsa keganasan, OMBAK memerlukan bantuan tenaga dari ahli masyarakat untuk menjadi sukarelawan bagi membantu mangsa keganasan.
Jadi, bagi mereka yang prihatin kepada mangsa keganasan dan ada masa untuk diluangkan, mendaftarlah untuk menjadi sukarelawan OMBAK. Para sukarelawan akan diberi latihan dan kemudiannya di tempatkan di Pusat Khidmat Bersepadu di hospital di seluruh negara untuk membantu mangsa keganasan. Jadi, ini satu cara lagi bagaimana kita boleh memainkan peranan dalam kempen ini.
Bentuk bantuan lain yang diperlukan oleh OMBAK ialah bantuan kewangan. Baru-baru ini akhbar melaporkan bahawa badan-badan korporat telah menyumbangkan sejumlah wang kepada OMBAK untuk membantu kempen ini. Jadi, kita lihat bagaimana kempen ini telahpun mendapat sambutan dari berbagai pihak, temasuk pihak korporat. Wang ini akan digunakan untuk program-program yang akan dijalankan oleh OMBAK.
Sehubungan dengan kempen ini, banyak sekali yang boleh wanita sumbangkan terutamanya dalam melihat peranan mereka sebagai ibu dalam sesebuah keluarga. Kalau kita hendak membanteras keganasan, kita perlu membenci keganasan itu dahulu. Jadi kalau wanita ingin mendidik anak membanteras keganasan, ia perlu tunjukkan bahawa ia juga bencikan keganasan. Bagaimana kita hendak mendidik anak membenci keganasan jika kita tidak pernah terlepas menonton rancangan gusti setiap minggu? Bagaimana kita hendak mendidik anak membenci keganasan jika bila kita bercakap dengan anakpun kita menggunakan kata-kata yang kasar dan kesat?
Kita sebagai wanita juga perlu peka dengan persekitaran kita. Pertama, kita lihat anak kita. Adakah ia menunjukkan sikap yang ganjil bila disuruh keluar dengan bapa atau pakciknya. Kalau dia enggan, tanya mengapa. Mungkin individu-individu tadi telah melakukan sesuatu yang ia tidak suka tapi ia tidak memberitahu kita. Kedua, peka terhadap apa yang berlaku kepada jiran kita. Kalau kita lihat hari ini tangannya lebam, esok, matanya lebam, tanya apa puncanya. Jiran kita itu mungkin didera dan memerlukan pertolongan.
Wanita juga perlu mendidik anak untuk peka kepada keadaan kawan-kawan mereka. Kalau ada kawan yang suka menyendiri, suruh dia dekati kawannya itu perlahan-lahan. Mungkin ada yang cuba dilindungi oleh kawannya itu seperti tangan yang lebam atau bekas luka dicucuh puntung rokok. Didik anak kita untuk ambilberat dan laporkan hal itu kepada gurunya.
Sebagai ibu kita juga perlu mendidik anak untuk membezakan apakah perbuatan-perbuatan yang orang lain boleh buat keatasnya dan apa yang tidak. Jadi, didik anak-anak di mana ayah dan abang boleh sentuh mereka dan di mana tidak boleh. Misalnya, ayah atau abang boleh memegang tangan anak perempuan kita, tetapi tidak kemaluannya. Begitu juga, didik anak untuk melaporkan apa-apa perbuatan yang dia tidak suka orang lakukan kepadanya. Kalau kita hendak beritahu satu persatu, memang susah. Jadi beritahu kepada anak kita, apa-apa perbuatan yang membuat dia rasa tidak selesa, dia boleh beritahu kita dan kita boleh hentikan perbuatan itu. Jangan tunggu perkara-perkara besar (seperti dicabul/dirogol) baru mengadu. Jadi kita dapati melalui peranan wanita sebagai pendidik, ia boleh memainkan peranan yang aktif dalam kempen ini.
Seperti yang kita maklum, OMBAK bermatlamat untuk membanteras keganasan. Jadi, sudah tentu Islam mengalu-alukan kempen ini. Malah, melalui motto kempen ini yang berbunyi, “Membuta, membisu atau membantu” ada relevannya dengan ajaran Islam. Sudah tentu Islam menuntut, malah mewajibkan kita membantu mereka yang teraniaya dan menghentikan keganasan. Jadi orang Islam patut menyambut baik kempen ini dan bersama-sama menyumbang padanya.
Sehubungan dengan itu saya ingin memetik beberapa ayat al-Quran yang menunjukkan Islam menyambut baik kempen OMBAK ini dan menggalakkan untuk kita mengambil bahagian. Dalam ayat 71, Surat at-Taubah, Allah berfirman yang bermaksud, “Dan orang-orang mukmin lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi pelindung kepada sebahagian yang lain. Mereka menyuruh membuat kebaikan dan melarang daripada kejahatan.” Jadi, sebagai pelindung, kita hendaklah melindungi golongan yang lemah dan wanita dan kanak-kanak dari terus menjadi mangsa keganasan. Menyuruh orang lain berbuat baik terhadap golongan ini dan melarang atau menghentikan keganasan yang berlaku juga dituntut oleh Islam. Ayat 104 dan 110 Surah Ali Imran juga membawa mesej yang sama di mana umat Islam dituntut supaya menyeru kepada kebaikan dan melarang dari kejahatan. Penglibatan kita dalam OMBAK untuk membanteras keganasan juga merupakan satu usaha untuk melarang atau menghentikan kejahatan. Satu lagi ayat al-Quran yang saya rasa relevan ialah ayat 135 Surah an-Nisa yang bermaksud, “Hai orang-orang beriman! Hendaklah kamu berdiri teguh di atas keadilan serta menjadi saksi (atas kebenaran) kerana Allah yang sekalipun terhadap dirimu sendiri atau terhadap ibubapa dan kaum kerabatmu…” Ayat ini amat relevan kepada mereka yang tahu tentang keganasan yang berlaku di kalangan ahli keluarga tetapi enggan melaporkan kerana malu, takut atau bimbang kehilangan pencari nafkah keluarga. Ini tidak sepatutnya berlaku terutamanya di kalangan orang Islam kerana keadilan perlu ditegakkan tidak mengira siapa yang melakukan kesalahan.
Kita lihat pula hadis Rasulullah yang bermaksud, “Sesiapa di antara kamu melihat sesuatu kejahatan, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya, sekiranya tidak sanggup hendaklah dengan lisan dan sekiranya tidak sanggup, hendaklah dengan hatinya, yang demikian itu (mengingkari dengan hati) adalah selemah-lemah iman.” Ini menunjukkan bahawa dalam Islam bila nampak sesuatu yang tidak kena, kita tidak boleh buat-buat tidak nampak (membuta/membisu) sebaliknya kita perlu buat sesuatu untuk membaiki keadaan (membantu).
Begitu juga dalam hadis yang lain di mana antara lain Rasulullah menyebut orang mukmin itu umpama satu tubuh badan, kalau peha kiri yang sakit, seluruh badan itu akan merasa sakitnya. Jadi, jika kita membisu dan membuta bila orang Islam lain diganasi bermakna semangat persaudaraan Islam itu tidak wujud dalam diri kita.
Jadi ternyata kempen OMBAK ini tidak bertentangan dengan Islam malah terkandung di dalam beberapa ajaran Islam yang asas tentang kehidupan bermasyarakat. Oleh yang demikian marilah kita bersama-sama menyertai kempen ini untuk memastikan kejayaannya.