Dasar Islam yang menjadi warisan tetap umat ini ialah tidak memulakan serangan terhadap orang lain. Al-Quran mengingatkan kita supaya tidak memulakan serangan terhadap pihak lain. Firman Allah S.W.T. yang membawa pengertian:
Janganlah kamu maki hamun orang-orang yang tidak beriman dengan Allah, nanti mereka akan memaki hamun Allah dengan rasa permusuhan tanpa sebarang pengetahuan. (AI-Anram, ayat 108)
Dasar ini tetap dipelihara dengan sebaik-baiknya oleh orang Islam sepanjang zaman, dan seharusnya akan terus dipertahankan dengan sebaik-baiknya untuk selama-lamanya. Bagaimanapun dalam sejarah kebangkitan Islam sejak dari zaman awal lagi, Islam sering menjadi objek permusuhan dan perseteruan. Islam diserang dan diperlakukan seperti musuh ketat oleh berbagai-bagai pihak.
Dalam al-Quran Allah mengingatkan tentang permusuhan yang sering dibangkitkan oleh kaum Yahudi dan Nasrani terhadap Rasulullah S.A.W. sepanjang hayat baginda, dan seterusnya hingga ke hari ini dan tentunya akan berterusan sepanjang zaman.
Dalam konteks ini Allah berfirman yang bermaksud:
Kaum Nasrani dan Yahudi tidak akan rela dengan kamu (wahai Muhammad) sehingga kamu mengikuti agama mereka. (Al-Baqarah, ayat 120)
Mengikut tatabahasa Arab ayat ini dimulakan dengan satu partikal yang menunjukkan makna “tidak akan”, iaitu mereka selama-lamanya tidak akan rela dan tidak akan berdiam diri, sehingga mereka dapat menguasai kamu, iaitu dengan memaksakan cara hidup dan ideologi mereka ke atas orang-orang Islam. Penguasaan ini bolehlah ditafsirkan dalam istilah baru sebagai menjajahi akal fikiran dan minda serta mengikuti apa yang direncanakan oleh mereka.
Amaran yang diberikan Allah S.W.T. ini sebenarnya telah terbukti kebenarannya dalam sejarah pembangunan Islam dan umatnya dari masa ke semasa. Umat Islam pada hari ini menjadi sasaran penjajahan kaum-kaum itu di mana-mana saja, terutamanya yang mempunyai kekuatan dari segi sumber alam atau pembangunan ekonomi dan perjuangan mental umat Islam itu dalam menegakkan maruah dan identitinya sendiri yang tanpa sebarang sebab dianggap sebagai ancaman kepada orang lain, khususnya kuncu-kuncu mereka.
Selain dari dua kaum itu Allah S. W. T. juga mengingatkan tentang permusuhan kaum Musyrikin yang sering mengancam dan menyerang umat Islam. Kaum Musyrikin akan bersedia sepanjang masa untuk bekerjasama dengan kaum Nasrani dan Yahudi untuk menyerang umat Islam dalam berbagai dimensinya, iaitu secara fizikal, mental dan budaya serta lain-lain lagi. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
Dan akan terus menerus mereka memerangi kamu, sehingga mereka menjauhkan kamu dari agama kamu, sekiranya mereka mampu. (Al-Baqarah, ayat 217)
Sekali lagi dari segi tatabahasa Arab ayat ini mempunyai isyarat makna yang tertentu, iaitu penggunaan kata kerja yang menunjukkan pengertian “akan terus menerus” memerangi kamu. Serangan ini pula tidak semestinya merupakan serangan fizikal, malahan termasuk juga serangan pemikiran yang sering menjadi aktiviti berterusan oleh pihak kaum Musyrikin. Maka serangan ini juga merupakan satu jenis penjajahan baru yang sering dialami oleh negara-negara Islam dan umat Islam pada hari iru.
Meneliti dan menyedari keadaan ini, iaitu permusuhan yang sering diusahakan oleh pihak musuh Islam terhadap orang Islam, maka Islam juga memberi peluang kepada umat Islam untuk mempertahankan diri mereka dalam menegakkan prinsip dan agama mereka.
Dalam al-Quran Allah menjelaskan bahawa:
Sekiranya kamu dicerobohi, maka kamu boleh mencerobohi mereka sama seperti yang mereka lakukan. (Cuma dalam hal ini) kamu tidak boleh melampaui batasan (dengan melakukan kezaliman umpamanya) (Al-Baqarah, ayat 194).
Ertinya orang Islam berhak mempertahankan kedaulatan dan maruah mereka berdasarkan cara hidup dan ideologi agama Islam itu sendiri. Tidak ada sesiapa pun yang berhak memaksa umat Islam menjadi pak turut dan penyembah mereka sehingga menjatuhkan nama baik agama Islam sendiri.
Melihat keadaan negara-negara Islam kini, ternyata ada di antaranya yang terperangkap dengan jebak penjajahan ini, dan memang ada yang tanpa disedari menjadi mangsa penjajahan bentuk baru di bawah penguasaan musuh-musuh tradisi Islam itu. Biasanya penjajahan bentuk baru ini mempunyai agenda yang tertentu sama ada politik, ekonomi atau budaya dan cara hidup permisif dan liberal yang jelas menyimpang dari ajaran agama Islam.
Penjajahan musuh Islam itu sering berlaku dengan penuh bijaksana, kadang¬kadang dengan menimbulkan isu-isu kemanusiaan, hak asasi manusia dan lain-lain yang dijadikan alasan untuk diambil tindakan antara bangsa yang tunduk di bawahnya untuk mengenakan tindakan terhadap negara Islam yang tertentu, seperti yang berlaku di Iraq dan Libya. Mereka berjaya mendapatkan alasan dari tindakan kedua-dua negara ini umpamanya untuk melabuhkan agenda tekanan mereka. Malah ada di antara negara Islam yang menjadi mangsa serangan musuh tanpa alasan yang konkrit, seperti serangan roket yang berlaku ke atas Sudan dan Afghanistan. Bagaimanapun mereka akan sentiasa mendapatkan alasan sendiri untuk tujuan itu.
Oleh itu umat Islam seharusnya sentiasa berwaspada dan berhati-hati agar tidak melakukan sesuatu yang boleh membuka sebarang ruang untuk musuh-musuh Islam itu menyerangnya secara fizikal atau pemikiran. Negara kita sendiri umpamanya menjadi sasaran serangan berlandaskan isu-isu yang direka-rekakan tanpa sebarang kebenaran. Serangan secara terang-terangan ke atas negara kita melalui media dan kenyataan-kenyataan andaian yang amat jauh dari hakikat sebenarnya, menunjukkan bahawa negara kita juga ingin dimusuhi dan diserang berhabis-habisan supaya menjadi lemah dan kucar kacir, agar dengan itu satu lagi negara yang cuba membangunkan Islam dan umatnya akan tunduk atau tersungkur di kaki penjajahan baru itu.
Oleh itu umat Islam dan rakyat Malaysia yang selama ini dapat membuktikan kepada dunia dengan megahnya sebagai satu bangsa yang berpadu dan mempunyai jati diri sendiri, seharusnya sentiasa berhati-hati agar jarum penjajahan yang ingin memecah belahkan mereka tidak memberi sebarang kesan yang boleh membawa kepada tragedi malang di negara kita.
Telah kita lihat dalam sejarah Madinah, bagaimana kaum Yahudi memperalatkan kaum munafik untuk memecah belahkan masyarakat Madinah di bawah pimpinan baginda Rasulullah S.A.W., dan bagaimana kaum itu menyembunyikan rasa permusuhan mereka terhadap baginda dan para pengikutnya, sehingga akhimya terbuka juga tembelang permusuhan itu, dan apabila hal ini menjadi ketara pada pandangan Rasulullah S.A.W. maka baginda pun segera bertindak dengan mengambil langkah tegas mengusir para musuh itu dari bumi Madinah.
Tindakan baginda itu adalah bersesuaian dengan ajaran Allah dalam mempertahankan diri dan mengelakkan kejatuhan dan kemusnahan negara. Islam memang sentiasa mengamalkan dasar perdamaian dan toleransi, tetapi Islam juga memberi hak kepada umatnya untuk menegakkan maruah dan keperibadiannya. Cuma dalam hal ini umat Islam haruslah berhati-hati, tanpa bertindak mengikut nafsu sehingga memberi peluang kepada musuh untuk menakluki mereka.