Nabi Allah lbrahim dan Nabi Allah Yaakob seperti yang dinyatakan oleh al-Quran dalam surah al-Baqarah, ayat 132 dan 133 berpesan kepada anak-anak mereka supaya terus menerus berpegang dan beramal dengan agama Allah hingga ke akhir hayat. Malah Nabi Allah Yaakob ketika merasai bahawa tanda-tanda kewafatan telah menghampirinya, maka baginda segera bertanyakan anak-anaknya apakah yang akan mereka sembah selepas kewafatannya. Terhadap pertanyaan ini, anak-anaknya segera membuat pengakuan bahawa mereka akan terus menyembah dan mematuhi Allah yang Maha Esa selepas baginda tidak ada lagi di dunia ini.
Anak-anak para Nabi Allah ini mewakili generasi muda, yang penuh dengan kekuatan semangat dan keyakinan diri berikrar akan meneruskan perjuangan generasi lama, ibu bapa dan nenek moyang mereka dengan penuh komitmen dan bersikap positif.
Dalam menghadapi pergolakan hidup yang penuh cabaran kini, iktibar dan pengajaran dari kisah al-Quran itu amatlah penting diambil dan dijadikan panduan dalam mempersiapkan generasi muda kita sendiri yang seharusnya dapat meneruskan perjuangan dan amalan generasi tua.
Hal ini menimbulkan tanda tanya kepada kita iaitu dalam konteks pembangunan bangsa kita yang penuh halangan dan cabaran ini apakah generasi muda kita benar-benar telah mempunyai persiapan ilmu, mental, jiwa dan fizikal yang cukup mantap bagi meneruskan perjuangan yang telah diletakkan batu asasnya yang agak kukuh oleh generasi lama? Apakah generasi muda benar-benar mempunyai persediaan untuk menjamin kelangsungan kepemimpinan menggantikan para pemimpin sekarang?
Pembangunan generasi muda seperti yang dapat diambil dari ajaran al-Quran juga banyak menekankan tentang pembangunan ilmu, hikmah, akhlak dan keyakinan diri yang kuat. Rasulullah S.A.W. memberi amaran bahawa ilmu yang ada di dalam dada para ilmuan tidak akan dicabut serta merta, tetapi ilmu itu akan pupus dan terhakis dengan kematian mereka, generasi demi generasi, sehingga akhimya orang akan bertuankan manusia-manusia yang tidak berilmu, dan ketika itu pemimpin-pemimpin yang tidak berilmu ini akan menjadi sesat dan menyesatkan orang lain bersama.
Hal ini mempunyai kaitan yang amat rapat dengan dunia para pelajar dan mahasiswa kita, apakah tahap pengajian dan pencapaian ilmu para pelajar kita masa kini dapat mengatasi pencapaian generasi pelajar terdahulu, atau sebaliknya?
Kita tidak mahu melihat sikap sambil lewa para pelajar dalam pengajian mereka sehingga dengan itu akan wujud generasi pelajar yang bersikap negatif dan pasif, yang hanya termasuk dalam golongan pelajar average, tidak cemerlang, yang idealisme mereka terhenti setakat cukup makan atau boarder line bagi cita-cita mendapat diploma atau ijazah mereka.
Sikap negatif dan pasif seperti ini mungkin termasuk dalam konteks firman Allah S.W.T.:
Tiap-tiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada mereka. Maka biarkanlah mereka dalam kesesatannya hingga ke suatu waktu. (al-Mukminun, ayat 53)
Kiasan yang boleh diambil dari ayat ini bahawa memang ada kumpulan yang merasa sombong dan bangga dengan sikap mereka sendiri, dan akan terus mempertahankan pendirian mereka itu tanpa ilmu dan pengetahuan.
Sikap ini seterusnya mempengaruhi cara mereka berfikir and bertindak sehingga kadang-kadang membawa kepada kelakuan luar biasa dan ganjil, bertentangan dengan arus perdana pemikiran dan budaya bangsa sendiri.
Ketika Al Gore membuat kritikan dan kenyataan biadab tentang isu negara, dan melabelkan sifat berani kepada orang-orang kita yang pengecut dan tidak berdisiplin, terdapat mahasiswa yang tidak dapat menentukan pendirian mereka yang sebenarnya, malah terdapat presiden sebuah persatuan mahasiswa yang mewakili sebuah universiti utama negara yang sebaliknya cuba memutar belitkan kenyataan itu dengan mengemukakan pandangannya agar kita mengkaji kenapa Al Gore membuat kenyataan itu yang membayangkan sokongannya secara tidak langsung terhadap mesej pemimpin Amerika itu.
Bagi pelajar yang berilmu dan peka kepada keadaan sebenar rakyat dan negara serta perjuangan mempertahankan maruah, saya tidak fikir kenyatan Al Gore itu harus dijadikan bahan kajian sehingga hendak dilihat dulu kenapa beliau berkata begitu. Terlepas dari sebarang alasan dan sebab maka kenyatan itu nyata tidak dapat diterima, dan terang-terang mencabuli kedaulatan dan maruah negara dan bangsa kita yang selama ini mengamalkan demokrasi dengan undang-undang yang adil.
Di sinilah terletaknya kepentingan ilmu dan hikmah, iaitu yang dapat menjadi panduan yang baik untuk mempertimbangkan segala apa yang kita fikir dan kita ucapkan. Rasulullah S.A.W. bersabda bahawa di tangan dan di kaki andalah wahai para belia terletak pembangunan dan survival umat kamu.
Maka berpandukan pesanan Rasulullah S.A.W. ini generasi muda, para belia, pelajar dan mahasiswa inilah yang seharusnya mempunyai pertimbangan yang waras bersandarkan ilmu dan hikmah yang matang dan mantap.
Apakah dalam keadaan ini, mahasiswa boleh bertindak mengikut perasaan dan emosi semata-mata? Apakah selamanya kita menjadi pengikut yang tidak mempunyai pertimbangan terhadap apa yang berlaku di sekeliling kita? Kita melihat orang lain bertindak ganas maka kita juga harus bertindak ganas, sedangkan keadaan dan persoalan yang kita hadapi adalah amat berbeza dan berlainan sama sekali dari keadaan dan isu yang diperjuangkan oleh masyarakat lain itu.
Apakah emosi dapat mengatasi fikiran dalam keadaan yang tidak kena pada tempatnya seperti tindakan sebahagian mahasiswa yang mengenakan lambang perjuangan kelompok minoriti di dalam majlis ilmu, iaitu majlis konvokesyen di salah sebuah instituasi pengajian tinggi baru-baru ini? Apakah lambang reformasi yang tidak relevan dengan dunia akademik dan kedudukan ketua perlembagaan Universiti itu harus diperagakan dalam majlis yang begitu mulia dan suci? Apakah rasa bangga yang lahir di wajah para pemakai peta putih pada hari itu benar-benar menggambarkan pemikiran dan sikap positif dan rasional?
Sikap dan tindakan ini sesungguhnya mencemarkan dunia ilmu yang memerlukan kematangan dan kewarasan berfikir. Allah S.W.T. mengangkat orang¬orang yang berilmu dan beriman beberapa darjat. Jadi orang-orang yang berilmu dan beriman ialah orang-orang yang dapat bertindak secara bijaksana dan berakhlak, sesuai dengan tempat dan persekitarannya.
Allah S.W.T. berfirman:
Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. (Al-Israk, 36)
Oleh itu janganlah bertindak sebarangan, berpandulah kepada ilmu dan akhlak dalam semua gerak geri dan tingkah laku kita.