Pandemik COVID-19 telah dilihat sebagai asas yang kukuh untuk mencetuskan satu fenomena dunia alam maya digital agar segera menjadi semakin maju dan canggih. Kekangan pandemik dan tuntutan untuk kelestarian kehidupan juga telah menuntut pelbagai bentuk baharu platform alam siber yang berteknologi tinggi semakin menjadi kenyataan. Permintaan kepada urusan dan aktiviti kehidupan dalam talian, seperti perkhidmatan perdagangan dan jual beli, pembelajaran serta perundingan, telah menjadi semakin bertambah, malah turut mampu meningkatkan produktiviti dan keuntungan.
Sebagai contoh, perdagangan dalam talian atau juga dikenali sebagai e-dagang telah mendapat keuntungan yang tinggi sepanjang tempoh pandemik berbanding sebelumnya. Tempahan dan pembelian secara dalam talian pula tidak terjejas ketika musim pandemik, malah sebaliknya semakin meningkat dan memberi banyak peluang pekerjaan kepada orang ramai ketika pandemik melanda.
Hakikatnya juga, pada tahun 2020, penubuhan syarikat dan perniagaan dalam talian di Malaysia telah meningkat lebih tinggi berbanding sebelumnya. Peningkatan ini ditunjukkan dengan bertambah jumlah syarikat iaitu daripada 76,443 buah syarikat kepada 85,901 buah syarikat dan perniagaan. Situasi yang sama juga berlaku dalam industri Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) kerana sehingga September 2020, sebanyak 140,883 perusahaan kecil dan sederhana telah mengambil bahagian dalam platform e-dagang di Malaysia berbanding 42,620 PKS pada 2019. Situasi ini telah menunjukkan lebih 300 peratus peningkatan pendaftaran berbanding sebelumnya.
Di peringkat global pula, beberapa syarikat gergasi seperti Amazon dan Walmart telah membuka sebanyak 100,000 sehingga 150,000 peluang pekerjaan baharu bagi memenuhi permintaan e-dagang mereka ketika musim pandemik berlaku. Laman sesawang Amazon itu sendiri telah menyaksikan perbelanjaan sebanyak RM45, 000.00 sesaat oleh para pengguna di laman sesawang mereka. Manakala Alibaba Holding pula telah meneroka peluang baharu pasaran dengan menawarkan perkhidmatan pinjaman kewangan kepada sektor perniagaan yang memerlukan sebagai memenuhi tuntutan tanggungjawab korporat mereka.
Pendek kata, kebergantungan kehidupan umat manusia kepada dunia digital dan elektronik serta internet telah menjadi semakin rancak dan serius. Permintaan kepada urusan digital alam maya telah menjadi semakin tinggi. Tanpa platform digital seperti ini, kehidupan manusia akan menjadi semakin sukar malah urusan dan keperluan kehidupan mungkin tidak dapat diteruskan dan dipenuhi.
Tuntutan kepada keperluan platform dalam talian turut mempengaruhi pelbagai aktiviti lain termasuklah pembelajaran dan perundingan. Ketika pandemik ini, cara bekerja dari rumah (BDR) serta pembelajaran dan pengajaran di rumah (PDPR) telah dilaksanakan. Keadaan ini juga memerlukan ramai dalam kalangan murid dan pelajar serta pekerja sama ada awam atau swasta beralih kepada platform secara dalam talian.
Kaedah perhubungan dan komunikasi digital secara dalam talian seperti ini amat baik dan berkesan terutama dalam mengawal penularan dan jangkitan virus COVID-19. Namun secara tidak langsung, ia juga telah mendedahkan kita kepada risiko dan gejala penyalahgunaan internet atau penggunaan internet secara tidak beretika, lantas mendedahkan kita kepada sebarang isu keselamatan ketika berada di ruang siber. Di antaranya adalah seperti penipuan, kecurian data dan maklumat peribadi, mahupun isu berkaitan buli dan diskriminasi dalam talian.
Buli siber adalah satu perbuatan dengan niat secara sengaja untuk mendatangkan ancaman keberhayaan atau memprovokasikan perasaan marah, malu atau takut terhadap orang lain melalui platform media digital dan elektronik. Menurut CyberSekuriti Malaysia, tindakan seperti ini boleh berlaku di media sosial, platform pemesejan, platform permainan, komputer atau telefon mudah alih. Beberapa contoh buli siber termasuk komen yang menyakitkan dan memalukan, tinjauan undian yang menjatuhkan maruah individu, ancaman dan ugutan secara lisan atau sebaran imej dan video yang memalukan, pencurian identiti dan sebagainya.
Dalam konteks buli siber ini juga, syarikat perkakasan perisian anti-virus Bitdefender telah merekodkan bahawa terdapat sebanyak 81 peratus kes melibatkan buli di alam siber semasa musim pandemik. Malah, kebanyakan kes buli siber melibatkan mereka di peringkat usia kanak-kanak dan remaja, berbanding golongan dewasa. Memandangkan gejala buli siber sejajar dengan kemajuan teknologi digital dan walaupun melibatkan sebilangan besar golongan kanak-kanak dan remaja, ia sebenarnya melibatkan semua orang, dan kesan negatif itu akan dirasai oleh ahli keluarga mereka sendiri dan juga seluruh masyarakat. Di kebanyakan negara maju pula, buli siber merupakan satu masalah kesihatan awam kerana ia telah mengundang pelbagai gejala kesihatan, baik fizikal mahupun mental, malah melibatkan kejadian tragis yang berakhir dengan bunuh diri dan mencederakan diri.
Jika ditinjau secara umum, golongan kanak-kanak dan remaja merupakan kumpulan generasi rentan yang kehidupan mereka lebih terdedah kepada gajet dan internet. Mereka juga mempunyai lebih banyak masa lengang untuk melayari dunia siber berbanding golongan dewasa. Rata-rata mereka berkecimpung di alam maya atas tujuan berinteraksi secara sosial atau bermain permainan secara dalam talian. Tambahan pula, musim pandemik telah meningkatkan peluang untuk mereka terdedah dengan aktiviti secara maya akibat tuntutan PDPR dan perintah kawalan pergerakan (PKP). Akibatnya, mereka lebih terdedah kepada risiko penyalahgunaan internet yang semakin berleluasa kini.
Begitu juga, bagi golongan individu dewasa pula, akibat keperluan kerjaya dan tanggungjawab kekeluargaan, bekerja secara maya dari rumah, tambahan pula kekangan kewangan, adalah di antara faktor yang mendedahkan mereka kepada aktiviti secara maya dan turut berisiko terlibat dengan salah guna internet mahupun jenayah siber. Contoh biasa yang kedengaran , seringkali dikaitkan dengan golongan dewasa adalah sexual grooming, perangkap cinta siber, skim cepat kaya dalam talian dan sebagainya. Lantaran itu, kesedaran terhadap penggunaan internet secara berhemah dan bertanggungjawab serta penuh rasa menghormati amat perlu diterapkan sepanjang masa. Sambutan Safer Internet Day atau Hari Kesejahteraan Internet pada 8 Februari 2022 merupakan strategi proaktif dalam memupuk kesedaran tersebut kepada masyarakat.