Saban tahun, tanggal 18 Februari merupakan tarikh yang sangat bermakna buat Institut Kefahaman Islam Malaysia. Pada tanggal yang keramat itulah IKIM telah diwujudkan pada 30 tahun yang lalu. Sepanjang 30 tahun ini, IKIM sebagai institusi penyelidikan dan pemikiran, telah berusaha untuk meningkatkan kefahaman Islam di kalangan masyarakat dalam dan luar negara.
2. IKIM ditubuhkan dengan objektif untuk memberikan kefahaman Islam yang sebenar kepada orang Islam dan bukan Islam, di peringkat negara dan antarabangsa. Hal ini dilakukan ialah kerana Islam telah disalah tafsirkan oleh masyarakat Islam dan bukan Islam, malah media barat sering manafsirkan imej Islam yang amat negatif di mata masyarakat dunia. Islam sebagai sistem hidup yang lengkap maka, ia perlu ditonjolkan kepada masyarakat Islam dan bukan Islam, dan Islam sebagai agama yang dinamik, bertoleransi, bertamadun dan berakhlak.
3. Untuk mencapai objektif ini, selama 30 tahun IKIM telah berfungsi dan berusaha di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa melalui penganjuran kongres, wacana, kolokium, seminar, dialog dan muzakarah yang dihadiri oleh pakar bidang, ahli akademik, ahli politik, pembuat dasar, diplomat dan sebagainya. Kefahaman tentang Islam, akan terus disampaikan dengan lebih tuntas, konstruktif dan sistematik, agar corak hidup masyarakat akan lebih teratur dan terhindar daripada segala konflik yang boleh menjejaskan kualiti hidup dan imej umat Islam di mata dunia.
4. Pada tahun-tahun yang mendatang IKIM akan meneruskan usaha-usaha bukan sahaja dalam penganjuran program, tetapi juga penyelidikan, penerbitan program Radio, TV dan buku sebagai wadah untuk menyediakan penyelesaian masalah ummah dan masyarakat, serta menanamkan persepsi yang betul bagi menggambarkan makna dan wajah Islam yang sebenar, iaitu sebagai agama perdamaian.
5. Tema-tema bagi penganjuran program bersempena sambutan Ulang Tahun IKIM ke-30 antaranya adalah Kongres Nasional “Islam, Keluarga Malaysia Dan Keharmonian: Membenteng Agenda Kalis Cabaran Masa Depan”; Webinar “Pembangunan Kandungan Digital Ke Arah Melahirkan Generasi Berminda Islami”; Wacana Media “Pendekatan Elemen Popular Dalam Penyampaian Dakwah Islam”; International Webinar “Discourse On Islam And Biomedical Ethics: The Way Forward”; dan Webinar “Towards a Wiser Thinking on Development”. Ini juga akan disulami dengan penerbitan buku-buku dan jurnal IKIM juga mampu mengangkat dan memartabatkan hasil penulisan akademik dalam menafsirkan nilai ilmu yang sangat diperlukan di dalam industri dan pasaran seperti buku “Ungku A. Aziz and Muslims’ Development”; “Model Pendidikan Islam Pembina Peradaban”; “Siri Madrasah Ramadhan: Pengajaran Dari Pelbagai Dimensi”; “Siri Madrasah Ramadan: Iktibar Sepanjang Masa”; Siri “Khaira Ummah Challenges & Solutions” dan Jurnal TAFHIM.
6. Radio IKIM dan TV IKIM sebagai pelopor media Islami di Malaysia juga, akan terus menyemarakkan bidang penyiaran dengan syiar dakwahdengan penglibatan para ulama Islam, mufti-mufti dan juga saudara baru Islam. Antara program-program baharu Radio IKIM sepanjang 2022 ini adalah “Resolusi”; “Khabar Orang Muda”; “Kemuliaan Al-Mustofa”; “Klik-IT”; “Dapur Kita” dan “Forum Bicara Ad-Din Khas” .TV IKIM juga telah menerbitkan rakaman-rakaman perjalanan majlis-majlis ilmu yang terpilih yang dapat ditonton di platfom digital melalui saluran laman web TV IKIM dan FB Live IKIM yang bukan sahaja mampu menjentik minda masyarakat, tetapi juga terbukti membawa satu transformasi kepada pemikiran dan intelektual ummah.
7. Saya mengucapkan terima kasih kepada warga kerja IKIM, dan setinggi penghargaan kepada mereka yang masih berkhidmat di IKIM semenjak 30 tahun yang lalu. Tahun-tahun yang telah berlalu hendaklah kita jadikan renungan dan pengajaran yang baik buat warga kerja IKIM sekalian. Yang baik menjadi ingatan yang pahit menjadi pengajaran.
8. Marilah kita sama-sama meneruskan usaha dakwah ini bak kata pepatah “Usaha Itu Tangga Kejayaan”. Pepatah yang sering kita dengar, umpama menaiki tangga, tanpa usaha pasti tidak akan dapat mendaki untuk ke puncak yang tinggi. Usaha dan amalanlah yang menjadi perkara yang dinilai oleh Allah S.W.T sebagaimana firman-Nya di dalam Surah At-Taubah ayat 105 yang bermaksud:
“Dan katakanlah (wahai Muhammad): Hendaklah kamu semua berusaha (beramal) kerana Allah akan melihat dan menilai apa yang kamu usahakan.”
9. Akhir sekali, setinggi-tinggi penghargaan juga kepada semua pihak yang memberi sumbangan ke arah kecemerlangan IKIM selama 30 tahun ini.
Selamat Ulang Tahun IKIM Ke-30.
Sekian, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.