Al-Quran merupakan kitab hidayah yang menjadi petunjuk buat seluruh manusia. Petunjuk yang disampaikan ini adalah untuk memastikan manusia berada pada landasan yang betul dalam kehidupan serta melindungi daripada kesesatan. Berhubung perkara ini, Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara dan kamu tidak akan sesat selagimana kamu berpegang dengannya iaitu kitab Allah (al-Quran) dan sunnah Nabi-Nya” (Muwatta’ Imam Malik, Kitab al-Qadr, Hadis 1628).
Pedoman di dalam al-Quran merangkumi pelbagai bentuk seperti peringatan mentauhidkan Allah, panduan gaya hidup berteraskan hukum-hakam Islam, perintah melaksanakan ibadah dan syariat Islam, dan pembudayaan akhlak yang baik. Selain daripada itu, al-Quran juga memperihalkan kejadian makhluk dan fenomena alam semesta. Pemerihalan ini sebagai satu penegasan tentang kedudukan Allah SWT sebagai pencipta. Pada masa yang sama, pemerihalan ini juga menegaskan al-Quran sebagai sumber inspirasi ilmu. Di dalam al-Quran digambarkan kejadian seisi alam semesta yang menarik minat mengembangkan ilmu pengetahuan.
Hal ini misalnya dapat dilihat melalui beberapa ayat al-Quran yang menyerlahkan elemen sains yang boleh mencetuskan minta umat Islam dalam mengembangkan sains dan teknologi. Hal ini misalnya dapat dilihat melalui Surah al-Naḥl, ayat 68-69 yang bermaksud:
Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: “Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia.Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu”. (Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir.
Ayat ini menggambarkan kekuasaan Allah yang menjadikan madu untuk makan manusia daripada badan lebah. Dalam ayat ini, al-Quran menggunakan kalimah “min buṭūniha” yang bermaksud “dari dalam badannya”. Perkataan “buṭūniha” dalam ayat di atas merujuk kepada “badan lebah betina”. Melalui kajian dan penerokaan sains berkenaan lebah, sememangnya terdapat lebah pekerja yang ditugaskan untuk mengumpulkan nektar dan menghasilkan madu. Kemudian, sains menemui bahawa lebah pekerja tersebut merupakan dalam kalangan lebah batina. Fakta ini mempunyai keselarian dengan penggunaan istilah “buṭūniha” di dalam al-Quran yang merujuk kepada badan lebah betina.
Terdapat banyak ayat lain yang menjadi sumber inpirasi penerokaan sains. Misalnya dalam Surah al-Naml, ayat 18-19 yang bermaksud:
…berkatalah seekor semut: “Wahai sekalian semut, masuklah ke sarang kamu masing-masing, jangan Sulaiman dan tenteranya memijak serta membinasakan kamu, sedang mereka tidak menyedari”. Maka tersenyumlah Nabi Sulaiman mendengar kata-kata semut itu, dan berdoa dengan berkata:” Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku – dengan limpah rahmatMu – dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh”.
Al-Quran menggelarkan semut yang berkata-kata di dalam ayat ini dengan gelaran “namlatun”. Menurut kefahaman bahasa Arab, “namlatun” merupakan istilah feminin yang merujuk kepada semut betina. Menurut kajian sains pula, semut yang memimpin sesuatu koloni semut bukanlah raja semut, tetapi ratu semut. Maka, tidak hairanlah al-Quran menggunakan perkataan yang bersifat feminin dalam ayat berkenaan bagi menunjukkan semut-semut berada dibawah pimpinan seekor semut yang dipanggil ratu semut.
Ringkasan daripada contoh-contoh ini, dapatlah difahami bahawa ayat di dalam al-Quran terkandung pelbagai jenis ilmu. Kefahaman dan penghayatan yang mendalam pada ayat al-Quran dapat mencetuskan rasa ingin tahu dan minat penerokaan ilmu. Umat Islam yang melazimi pembacaan al-Quran tidak boleh melepaskan peluang untuk menghayati elemen sains di dalam al-Quran dan mengembangkannya untuk menjadi ilmu yang berguna buat kemajuan umat.
Perbincangan tentang elemen sains dalam al-Quran perlu diarusperadanakan sebagai satu langkah menerapkan minat dan mencambahkan pemikiran sains dalam kalangan golongan muda khususnya yang beragama Islam. Tambahan pula, Malaysia pada masa kini menghadapi kekurangan jumlah kemasukan pelajar ke aliran STEM di sekolah dan pendidikan tinggi. Dorongan dan semangat yang disalurkan melalui kefahaman al-Quran berupaya mengatasi masalah ini. Suntikan semangat untuk meneroka dan mengembangkan sains dan teknologi selari dengan pendirian Islam bahawa setiap aktiviti sains itu mempunyai nilai yang tinggi apabila ia ditujukan kepada mengingati Allah SWT. Perkara ini dihujahkan dengan firman Allah SWT dalam Surah Āli ‘Imrān, ayat 191 yang bermaksud:
(Orang-orang yang berakal ialah) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka”.
Mencerap, memerhati, memahami, memikirkan dan menganalisis fenomena alam dan menghubungkannya dengan pencipta merupakan proses saintifik yang meningkatkan keimanan seseorang. Proses berfikir ini membezakan seseorang muslim daripada muslim lain yang sekadar membaca al-Quran sebagai ibadah harian. Proses menghubungkan fenomena alam dengan pencipta membezakan muslim dengan golongan yang tidak mempercayai tuhan.
Tuntasnya, kandungan al-Quran menjadi pembakar semangat kepada umat Islam untuk mengembangkan pelbagai cabang ilmu termasuk sains dan teknologi. Ilmu yang dicetuskan daripada penghayatan al-Quran menunjukkan bahawa kitab suci ini tidak hanya dibaca dalam rutin harian. Tetapi, ia ditelaah bagi tujuan merangsang minda untuk meneraju dunia dengan ilmu pengetahuan, di samping meneguhkan keimanan.