Luqman al-Hakim berpesan kepada puteranya: dampingilah para ilmuan, dengarkanlah mutiara ucapan (hukamak) para ahli hikmah, sesungguhnya Allah S.W.T. menghidupkan hati yang mati dengan cahaya hikmah seperti titisan air hujan yang menghidupkan tanah yang kering kontang.
Pesanan Luqman al-Hakim kepada anaknya ini mengingatkan kita kepada perkembangan moden dunia hari ini iaitu ketika kita menghadapi krisis dan konflik antara ilmu dan hikmah, atau antara ilmu dan penghayatan nilai murni dan akhlak yang terbit dari mental dan hati nurani manusia.
Pesanan ini seolah-olah mengingatkan manusia bahawa kemantapan ilmu pada seseorang itu belum tentu dapat menjamin penghayatan nilai-nilai moral yang baik dari orang yang sama. Para cendiakawan adalah mampu memberi ilmu pengetahuan kepada pelajarnya, tetapi dengan ilmu itu belum tentu ia sekali gus dapat menerapkan nilai akhlak yang baik ke dalam diri pelajar tersebut. Oleh itu Luqman al-Hakim meminta anaknya mendampingi “hukamak” iaitu para ahli hikmah yang dapat mendidiknya menghayati dan mempraktikkan semangat dan nilai-nilai akhlak yang baik, sesuai dengan ketinggian ilmunya.
Menyedari tradisi berharga keislaman ini, amatlah wajar kita cuba mengamati masyarakat kita sendiri, khususnya institusi dan pusat-pusat pengajian kita hari ini, apakah kita benar-benar telah dapat melaksanakan konsep pembelajaran untuk kecemerlangan dalam ilmu dan kecemerlangan dalam moral peribadi para pelajar itu. Apakah pelajar-pelajar Islam khususnya sanggup menjadi model yang baik seperti yang dipesankan oleh Luqman al-Hakim di atas?
AI-Quran sendiri ketika menekankan tentang kepentingan ilmu dan hikmah menegaskan bahawa Allah S.W.T. ketika mengutuskan rasul-rasul-Nya “mengajar mereka al-Kitab dan al-hikmah” kerana tugas rasul-rasul termasuk Rasullullah S.A.W. adalah untuk membentuk masyarakat manusia yang berilmu dan berakhlak serta bermoral tinggi. Umat manusia tidak akan lahir sebagai umat yang bertamaddun, sekiranya masyarakat manusia itu tersisih dari kecemerlangan ilmu dan ketinggian peradabannya.
Hakikat ini yang seharusnya diwarisi oleh pelajar-pelajar lslam pada hari ini, nampaknya agak terhakis sedikit demi sedikit. Di samping mengakui kecemerlangan pelajar-pelajar kita dalam bidang ilmu dan moral mereka, maka pada umumnya para pelajar kita lebih berminat menjadi pelajar “average” pelajar yang “cukup makan” untuk lulus dan mendapat sijil di akhir tempoh pengajiannya.
Saya pernah berkecimpung di dalam dunia akademik di UKM dan UIA lebih dari lima belas tahun. Saya dapat melihat sendiri kemajuan para pelajar Islam dalam bidang pengajian mereka dan dalam masa yang sama saya juga dapat merasakan kekecewaan di kalangan masyarakat kampus tentang mutu pencapaian pelajar-pelajar Melayu di dalam bidang pengajian mereka masing-masing. Di UKM saya berkhidmat di Fakulti Pengajian Islam, dan semua pelajarnya ketika itu adalah terdiri dari pelajar-pelajar Islam. Oleh itu sekiranya terdapat pelajar yang mencapai kecemerlangan di tahun akhir, umpamanya mendapat kelas pertama dengan kepujian maka mereka tentulah terdiri dari pelajar Melayu. Dalam hal ini UKM dapatlah berbangga dengan pencapaian pelajar-pelajar bumiputera di Fakulti Pengajian Islam.
Tetapi keadaan ini agak berbeza di bidang dan jurusan pengajian yang lain, di mana pelajar-pelajarnya adalah terdiri dari berbagai kaum. Dalam jurusan ini pelajar-pelajar Islam pada umumnya sering ketinggalan dalam pencapaian dan kelulusan mereka. Banyak hadiah pelajaran dan anugerah kecemerlangan dibolot oleh pelajar-pelajar bukan Islam. Hal ini amat ketara disaksikan oleh para ibu bapa dan tetamu-tetamu yang sering menghadiri majlis-majlis konvokesyen yang agak mengecewakan di beberapa buah IPT tempatan.
Bagaimanapun saya selalu mengharapkan bahawa kelemahan dan kekecewaan dalam bidang ilmu dan kelulusan ini dapatlah kiranya ditampung oleh pengukuhan-pengukuhan yang lain, terutamanya dari sudut kekuatan moral dan peradaban yang tinggi. Tetapi sayangnya harapan ini juga sering mengecewakan. Dalam ketika-ketika yang tertentu, pelajar-pelajar kita lebih mengutamakan aktiviti yang agak jauh jaraknya dari bidang keilmuan yang sedang mereka pelajari. Mereka sering mengutamakan aktiviti sampingan yang tidak sepatutnya diberikan keutamaan paling istimewa.
Sepanjang perhatian saya, terutamanya pada waktu-waktu yang terakhir ini, pelajar-pelajar kita amat cenderung menceburkan diri mereka dalam aktiviti politik partisan. Keterlibatan diri dalam politik kepartian yang sempit kadang-kadang mengakibatkan pembentukan sikap fanatik dan menutup minda mereka dari menerima perubahan-perubahan semasa. Memang tidak dapat dinafikan bahawa pelajar-pelajar haruslah diberi kebebasan untuk mempelajari dan menganalisis politik negara dan politik semasa antarabangsa. Malah pelajar-pelajar juga seharusnya peka dengan perkembangan terkini politik negara dan antarabangsa yang dapat membuka minda dan pemikiran mereka.
Tetapi sepanjang pemerhatian saya, mereka nampaknya lebih cenderung untuk menyertai aktiviti politik yang tidak membayangkan keterbukaan minda dan ilmu, dan lebih gemar mengikut arus yang menentang dan mencabar otoriti secara yang agak tidak sihat.
Dalam keadaan ini, maka tidak hairanlah ketika kita menyaksikan keterlibatan mereka dalam demonstrasi yang terbaru dan keaktifan mereka mengedarkan risalah-risalah serta aktiviti-aktiviti lain yang mencerminkan keterlibatan mereka dalam arus semasa berbentuk “anti-establishment”. Sungguhpun terdapat pandangan yang menyatakan bahawa jumlah pelajar yang terlibat dengan aktiviti ini agak kecil, tetapi yang menjadi isu pokoknya bukanlah kuantiti dan jumlahnya. Yang mungkin menggawatkan masyarakat ialah aliran penglibatan pelajar kita dalam arus yang sempit, dan hal ini secara langsung atau tidak langsung akan membendung kebebasan berfikir dan kekuatan daya analisis pelajar kita terhadap isu-isu politik semasa.
Hal ini sesungguhnya amat merugikan masyarakat Islam dan masa depan ummah.
Kelemahan dalam bidang akademik sering menjadi lebih parah dengan kelemahan moral dan maruah diri yang bertindak meruntuhkan tamaddun umat seperti yang dipesan oleh Luqman al-Hakim di atas. Kekuatan ilmu yang seharusnya ditegakkan di atas kekuatan hikmah dan budi akan terhakis sekiranya kita tidak segera kembali kepada tradisi Islam dalam mengejar kemajuan dan kecemerlangan ilmu serta ketinggian budi.
Gambar pelajar-pelajar Islam yang menjunjung sepanduk di luar sebuah masjid baru-baru ini menuntut sesuatu yang tidak mengikut amalan demokrasi dan saluran yang beradab mencerminkan apa yang ditakuti oleh Luqman al-Hakim iaitu tersisihnya generasi baru dari memanfaatkan ilmu pengetahuan dari para cendiakawan dan hikmah “wisdom” dari para hukamak. Gambar yang ditonjolkan dengan sepanduk yang mencatatkan semua nama IPT awam sebagai institusi yang terlibat dengan gerakan itu, sekiranya benar, adalah merupakan satu permulaan tragedi keruntuhan daya intelektual dan adab siswa kita yang akan mengambil masa yang amat lama untuk dipulihkan, sekiranya pun dapat dipulihkan.
Bagaimanapun adalah diharapkan bahawa gambar itu tidak menceritakan cerita sebenar yang menyeluruh, atau mewakili siswa-siswa yang lebih berilmu dan bermoral, yang lebih berhikmah dan bijak. Sebaliknya ianya mungkin hanya mewakili segelintir manusia yang meraba-raba di siang hari.