
Bersempena dengan penamaan Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia untuk tahun 2020 oleh UNESO, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) mempersembahkan koleksi khasnya berkenaan Tamadun Islam yang pertama kali diperolehi pada 2008 dalam acara jemputan dan disiarkan secara langsung di pelbagai pentas media sosialnya.
Majlis Pelancaran Koleksi Khas tersebut telah disempurnakan oleh Tun Ahmad Sarji bin Abdul Hamid, Pengerusi IKIM pada 4 September 2020.

Koleksi Khas Tamadun Islam Perpustakaan IKIM mengandungi 8,001 jilid buku-buku nadir dan jurnal pelbagai bidang ketamadunan Islam dalam lebih daripada 20 bahasa. Khazanah ini secara rasminya kini dibuka untuk para penyelidik dengan ruang yang dikhususkan – dan IKIM merancang untuk mendigitalkan keseluruhan koleksinya dalam kerjasama dengan Arkib Negara.
Keberadaan koleksi sangat berharga ini menjadikan Perpustakaan IKIM salah sebuah perpustakaan di Malaysia dan barangkali Asia Tenggara dengan koleksi sedemikian. Pemerolehan koleksi ini dilaksanakan melalui Ars Libri Ltd, wakil profesional terkemuka dunia yang diiktiraf oleh The Antiquarian Booksellers’ Association of America, the International League of Antiquarian Booksellers dan the International Fine Print Dealers Association.

Keluasan koleksi ini dapat diwakili dengan kehadiran sejumlah besar karya-karya agung dalam beberapa bahasa dari seni bina ke seni hiasan, karya-karya kurang masyhur mengenai persenjataan dan baju perisai, tekstil, tembikar, barang logam, barang kaca, dan ciri-ciri perhiasan yang merupacitakan perwatakan istimewa kesenian Islam, meliputi pelbagai kawasan geografi dari kawasan tengah Islam di Semenanjung Tanah Arab, Turki, Farsi, Afrika Utara, bahagian selatan Sahara di Afrika, Sepanyol, benua kecil India, Asia Tengah, dan Kepulauan Melayu.