PEMBANGUNAN modal insan Melayu perlu diteraskan kepada akidah Islam supaya negara mencapai pembangunan yang seimbang dan kekal dalam tamadun dunia.
Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), Tan Sri Ahmad Sarji, berkata hanya dengan cara itu Melayu boleh mencapai alfalah (kejayaan) serta bersaing dengan bangsa dan negara maju lain.
“Pendidikan memang asas utama dalam pembentukan modal insan dan didikan agama menjamin keseimbangan.
“Melayu perlu berusaha mencapai pembangunan seimbang antara dunia dan akhirat, kerana itu akidah Islam perlu dikekalkan,” katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Melahirkan Modal Insan Melayu Dalam Pembangunan Negara.
Ahmad Sarji yang juga Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) berkata, pemantapan modal insan akan meningkatkan mutu sistem penyampaian sesebuah organisasi, sekali gus menjadi pemangkin kepada usaha membangunkan negara.
“Sistem penyampaian yang baik akan meningkatkan produktiviti, meningkatkan daya saing dan seterusnya kejayaan kepada negara,” katanya.
Namun, katanya, sistem penyampaian bukan hanya terhad kepada organisasi tetapi asas iaitu nilai diri setiap individu.
Beliau berkata, kejayaan sesebuah tamadun disokong faktor modal insan yang sanggup membangunkan bangsanya serta berusaha mengekalkannya.
“Sejarah sudah membuktikan banyak tamadun mengalami kehancuran dan ada yang bertahan kerana mutu modal insannya,” katanya.