Menerusi tulisan saya dalam akhbar BH pada 28 Mac 2024 yang lepas bertajuk “Rapatkan saf hadapi provokasi terhadap Islam, jauhi fahaman melampau,” saya ada menyentuh tentang sikap golongan keterlaluan atau melampau (ghuluw) yang menerapkan kefahaman ekstrem dalam memahami dan mengambil sesuatu tindakan. Ghuluw dalam beragama adalah sikap melampau batas dalam perintah agama. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar turut menyatakan bahawa gelombang pemikiran khawarij baharu yang ingin menjatuhkan mana-mana pemerintah yang dilabelkan sebagai zalim dan takfiri di Malaysia berada pada tahap membimbangkan.
Baru-baru ini, tular sebuah video berdurasi 18 saat di aplikasi TikTok memaparkan tulisan yang mendoakan agar Allah menimpakan bala serta laknat kepada Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Menteri Kabinet dan penyokong-penyokongnya yang menggunakan latar bacaan Qunut Nazilah. Dato’ Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar dalam ucapannya sempena program Jelajah Madani Ulama dan Umara Peringkat Negeri Zon Utara Tahun 2024 di Meru raya, Ipoh mengesali tindakan tersebut dengan menyatakan bahawa tidak sepatutnya mendoakan sebegitu biarpun mempunyai perbezaan pandangan.
Sekiranya gejala khawarij baru dan ghuluw ini tidak dibendung, dikhuatiri dengan tindakan mengkafirkan seterunya, akan menimbulkan perpecahan dan merosakkan perpaduan dalam kalangan rakyat selain menyebabkan Islam itu sendiri dipandang serong oleh agama lain. Pihak yang tidak bertanggungjawab ini juga boleh dikenakan hukuman menurut lunas undang-undang sedia ada.
Doa Qunut Nazilah merupakan satu doa yang dibaca apabila umat Islam ditimpa musibah yang besar. Imam Nawawi menyebutkan antara sebab dibacakan Qunut Nazilah ialah umat ditimpa musibah seperti ketakutan, kebuluran, wabak penyakit, serangan serangga dan sebagainya. Menelusuri sirah, Rasulullah SAW membaca Qunut Nazilah ketika berlaku pengkhianatan dan pembunuhan ke atas sahabat Baginda.
Daripada hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA: Bahawasanya Ri’lan, Zakwan, Usaiyah dan puak Lahyan meminta bantuan daripada Nabi SAW untuk menyediakan kepada mereka beberapa orang lelaki untuk memerangi musuh mereka. Maka Baginda SAW menghantarkan kepada mereka tujuh puluh orang lelaki daripada golongan Ansar yang dikenali sebagai Al-Qura’ (penghafaz al-Quran). Maka mereka ini membantu untuk mengumpul kayu api pada siang, dan bermunajat kepada Allah pada waktu malam. Ketika mana mereka (golongan Ansar) sedang berada di lembah Ma’una, mereka dibunuh dan dikhianati. Apabila berita ini sampai kepada Rasulullah, Baginda membaca qunut (nazilah) selama sebulan dalam solat subuh mendoakan (kecelakaan) ke atas puak arab, Ri’lan, Zakwan, Usaiyah dan puak Lahyan.
Saya ingin memetik pendapat Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi ruangan Al-Kafi #1993 bertajuk “Hukum Membaca Doa Qunut Nazilah Ke Atas Sesama Orang Islam” iaitu: “Perbuatan membaca doa qunut nazilah ke atas orang Islam, tidak kira ia menjadi musuh atau lawan sesama umat Islam, adalah tidak dibolehkan dalam apa jua keadaan. Apatah lagi jika hanya melibatkan perselisihan faham dan pandangan yang biasa dalam politik dan seumpamanya. Hal ini seharusnya dielakkan kerana ia akan menjerumuskan seseorang kepada perbuatan yang ekstrim dan melampau dalam agama.”
Allah SWT berfirman dalam surah an-Nisa’ ayat 171 maksudnya: “Janganlah kamu melampaui batas dalam perkara agama kamu, dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar.” Dalam hal ini, Islam ialah agama pertengahan (wasatiyyah) yang menyarankan umatnya sentiasa berada pada jalan lurus dan tidak berlebih-lebih. Islam menganjurkan kita supaya bersederhana dalam semua perkara, baik dalam hal agama mahupun kehidupan secara keseluruhannya.
Allah SWT juga berfirman dalam surah an-Nisa’ ayat 59 maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil Amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.” Selagi mana arahan pemerintah menyeru kepada kebaikan dan kemaslahatan rakyat secara umum, hendaklah didengar dan ditaati meskipun arahan tersebut tidak dipersetujui oleh pandangan peribadi segelintit rakyat.
Rasulullah SAW pula bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar RA: “Wajib bagi setiap Muslim patut dan taat (kepada pemimpin) pada apa yang dia suka dan dia benci, selagi mana dia tidak diperintah melakukan maksiat. Justeru apabila dia diperintah melakukan maksiat, maka tiada lagi kewajipan untuk patuh dan taat.” (Sahih Bukhari #7144 dan Sahih Muslim #1839)
Seharusnya, semua pihak perlu berhati-hati dalam menggunakan Qunut Nazilah dan tidak menyalahgunakannya untuk tujuan politik mahupun peribadi. kita harus sentiasa berusaha untuk menyelesaikan perselisihan dengan cara yang baik, melalui dialog, musyawarah dan perdamaian. Keharmonian dan perpaduan yang dinikmati oleh umat Islam di Malaysia khususnya, perlulah dijaga bersama-sama.
Nilai-nilai Islam yang sebenar iaitu kasih sayang, toleransi dan persaudaraan juga perlulah disebarkan agar segala perpecahan, kebencian dan syak wasangka dalam kalangan umat Islam dapat dielakkan. Ini juga bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Seorang Muslim adalah saudara bagi Muslim yang lain. Dia tidak boleh menzaliminya, menghinanya dan merendahkannya.” (Sahih Muslim #2564)
Saya juga ingin menggesa semua pihak agar merujuk kepada sumber-sumber yang sahih dan mendapatkan nasihat daripada ulama yang berkelayakan sebelum membuat sebarang tindakan atau keputusan yang berkaitan dengan agama.