Penyalahgunaan dadah adalah perbuatan keji di sisi Allah SWT kerana ia menyebabkan kemudaratan bukan sahaja kepada diri penagih, malah juga kepada keluarga, masyarakat dan juga negara.
Penagihan dadah menyebabkan penagih tidak dapat menjalani kehidupan yang biasa kerana gejala ‘tarikan’ yang kuat, mudah untuk menghidap pelbagai jenis penyakit berbahaya dan mengalami masalah terhadap tubuh badan yang dalam keadaan tertentu boleh membawa kepada kematian.
Apabila seseorang sudah tidak dapat menjalani kehidupan yang sihat, tentulah keadaan ini memberi masalah kepada arus pembangunan negara. Sesebuah negara akan menjadi lebih mudah terbangun apabila memiliki rakyat yang sihat. Sebaliknya, individu yang lemah dari segi jasmani dan akli tentunya tidak mampu untuk memikul sebarang tanggungjawab atau memakmurkan negaranya. Bukan sahaja dari ciri pembangunan dan pemakmuran negara, tetapi juga dari segi pertahanan dan mutu ketenteraan. Sejarah telah membuktikan bahawa penyalahgunaan dadah adalah sebab kekalahan di dalam peperangan seperti mana yang berlaku di kalangan tentera-tentera Amerika yang kalah di tangan pihak tentera Vietkong.
Juga sangat malang apabila penagihan dadah mengakibatkan berlakunya gejala masyarakat dan jenayah. Ia menggugat keamanan dan ketenteraman masyarakat awam. Dalam satu kajian menunjukkan penagihan dadah sebagai satu punca berlakunya jenayah-jenayah seperti pecah rumah, mencuri di kedai, pemalsuan, mencuri peralatan kereta, mencuri kereta, seluk saku, penipuan, mengugut, judi, pelacuran dan bunuh.
Sebuah negara yang merdeka adalah negara yang telah bebas daripada belenggu penjajahan. Walaupun demikian tafsiran bagi kemerdekaan sesebuah negara semakin diperluaskan seiring dengan tafsiran penjajahan itu sendiri. Individu yang menjadi rakyat bagi negara yang merdeka sebenarnya belum pasti memiliki jiwa dan pemikiran yang merdeka. Penyalahgunaan dadah adalah salah satu unsur yang menghalang kemerdekaan bagi seseorang individu dari sudut jiwa dan pemikirannya.
Penyalahgunaan dadah yang menimbulkan jenayah dan menjadikan anggota masyarakat yang tidak berdosa sebagai mangsa mereka juga mencemarkan kemerdekaan yang dimiliki oleh sesebuah negara. Ini kerana kemerdekaan sepatutnya memberikan rasa aman dan tenteram kepada ahli masyarakat.
Beban kewangan yang perlu ditanggung kesan daripada kegiatan yang tidak sihat ini juga tentunya tidak sedikit. Pendapatan isi rumah yang memiliki ahli keluarga yang menyalahgunakan dadah sudah tentu diperuntukkan untuk memulihkan si penagih. Bukan sahaja keluarga, tetapi masyarakat dan negara juga mengalami kerugian. Pusat-pusat pemulihan dan rawatan serta latihan-latihan yang berkaitan juga memerlukan modal wang yang banyak sebagai usaha untuk mengawal bilangan penagih.
Kemerdekaan sebenarnya adalah satu keadaan yang memberi jaminan dan perlindungan terhadap lima perkara asas iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Akan tetapi penyalahgunaan dadah ibarat serangan dan peperangan terhadap perkara-perkara yang dilindungi oleh Islam kerana ia telah menyebabkan si penagih sudah tidak kenal batas yang halal dan haram. Penyalahgunaan dadah yang melampaui juga menyebabkan terjejasnya kesihatan yang boleh mengakibatkan kehilangan akal dan nyawa. Keturunan juga tidak dapat dipelihara dengan sempurna akibat penyakit-penyakit yang dihidapi dan ia ‘diwariskan’ kepada anak-anak. Jenayah terhadap harta juga dibuktikan berlaku kerana sebahagiannya disebabkan penyalahgunaan dadah. Maka, penyalahgunaan dadah secara berleluasa telah merosakkan kemerdekaan negara keranan ia menghalang matlamat kemerdekaan dicapai.
Kemerdekaan perlu dipertahankan oleh setiap individu, maka masalah yang disebabkan oleh penyalahgunaan dadah harus dihadapi oleh setiap manusia yang berfungsi yang berfikir. Tanpa mengira apakah peranannya yang lebih khusus, mungkin sebagai kakitangan kerajaan, peniaga, suri rumah ataupun pemimpin masyarakat maka penyalahgunaan dadah harus dibasmi sehingga ke akar umbi demi kemerdekaan hakiki.