Dalam menangani kelemahan politik dan kecapaian ekonomi umat Islam pada masa ini, tiga unsur yang penting perlu dibina jika umat Islam mahu maju dengan berkesan. Ketiga-tiga unsur tersebut juga turut sesuai dalam rangka pembangunan umat Islam di negara ini.
Pertama, umat Islam perlu memiliki pandangan hidup yang menyeluruh berkaitan dengan Islam itu sendiri. Pengamatan sedemikian akan mewujudkan ummah yang berwawasan semoga dapat berperanan secara relevan dan membangun. Islam hendaklah difahami dan diyakini sebagai sistem penyusunan umat manusia dalam membina sebuah tamadun yang mulia dan tinggi bersesuaian dengan sifatnya yang menepati nilai kemanusiaan sejagat. Islam perlu dihayati bukan sebagai tindakbalas kepada kemusnahan tamadun semasa, bahkan pada awal lagi Islam diutuskan untuk memberi rahmat kepada keseluruhan umat manusia termasuk yang tidak beragama Islam. Prinsip-prinsip Islam adalah bersesuaian dengan kehendak kemanusiaan walaupun terdapat perubahan cara hidup dan ruang tempat yang berbeza. Justeru itu menguasai ilmu al-Quran dan Hadith secara mendalam sangat perlu untuk mengambil panduan dalam menyusun dan membangun ekonomi negara.
Unsur yang kedua melibatkan pembinaan keutuhan akhlak di kalangan ke semua lapisan masyarakat Islam. Penghayatan akhlak yang tinggi akan menjadi asas kepada perjuangan dan cita-cita hidup setiap masyarakat Islam ke arah menjayakan hakikat Islam. Ia melahirkan keikhlasan dan ikatan perasaan (emotional attachment) seseorang Muslim kepada perjuangan Islam.
Akhlak tidak boleh difahami sebagai prilaku individu yang jujur dan lurus semata-mata, ia harus dilihat dalam rangka yang menyeluruh yang melibatkan perjuangan ke arah mendaulatkan nilai kebenaran dalam ke semua aspek kegiatan kehidupan. Ia turut meliputi usaha dan peningkatan ibadat untuk menyuci niat dan sikap serta memiliki sifat ehsan kepada saudara manusia yang lain dalam menjalani urusan hidup. Kemuncak kepada penghayatan akhlak ialah terlaksana nilai dan semangat keadilan yang dapat dipupuk dalam penyusunan hidup bermasyarakat dan bernegara.
Rata-rata orang Islam memahami dan masih menganggap bahawa memiliki akhlak yang mulia akan membentuk insan menjadi seorang yang lurus dan jujur dalam menerajui hidup dan pekerjaannya dengan tidak banyak menimbulkan keburukan kepada masyarakat. Kefahaman yang demikian menganjurkan kepada insan semoga membina prilakunya sahaja dan tidak ingin berperanan dalam membaiki dan membangun akhlak masyarakat. Sebagai insan yang bersifat mengasingkan diri daripada masyarakat, sikap sedemikian tidak menepati peranan seorang Muslim yang baik. Umat Islam perlu berkecimpung dalam urusan masyarakat dengan semangat untuk membina.
Pada masa ini, rata-rata akan bersetuju bahawa akhlak umat Islam khususnya di Malaysia perlu ditingkatkan untuk perubahan ke arah kebaikan demi memajukan negara. Amalan rasuah, menipu, menindas, memfitnah dan memiliki beberapa sifat yang hina, perlu dikikis dan dihapuskan. Sifat-sifat ini adalah penghalang kepada semua bentuk kemajuan.
Arus kebendaan yang begitu ketara melanda masyarakat kita pada masa ini perlu dibimbing moga-moga kejayaan ekonomi sesetengah golongan membawa kepada sumbangan yang membagun kepada kebajikan masyarakat dan bukan ke arah memusnahkan sifat kemuliaan kemanusiaan bermasyarakat. Perpaduan masyarakat akan rapuh jika golongan kaya melupai tanggungjawab masyarakat yang jelas dituntut oleh Islam. Justeru itu, golongan korporat Muslim yang berjaya perlu berperanan jujur untuk meningkat mutu hidup umat Islam keseluruhannya.
Akhlak Islam mendidik umatnya supaya dalam menguasai harta ia harus menganggap harta tersebut hanya sebagai amanah kurniaan Allah. Justeru itu harta yng dimiliki perlu dibelanja dan dilabur demi mendapat keredaan Illahi. Ia tidak seharusnya menjadi matlamat muktamad dalam kehidupannya. Pandangan ini yang membezakan di antara akhlak Islam dengan sekular. Islam menganjur kepada hak pemilikan dengan disepadukan tanggungjawab keagamaan.
Umat Islam yang berakhlak oleh itu tidak patut membisu dengan amalan masyarakat yang bercanggah dengan nilai Islam. Mereka perlu menangani persoalan tersebut dengan menyertai usaha membina masyarakat dan bukan menjauhkan diri dari membaiki keruntuhan masyarakat. Gelanggang jihad termasuk berusaha membina akhlak masyarakat.
Dalam era semasa, sama dengan keperluan silam, tamadun manusia perlu kepada pencapaian kemajuan ekonomi masyarakat dan negara yang mantap. Rasulullah S.A.W. begitu bimbang jika kemiskinan melanda masyarakat. Baginda sentiasa mendoa moga-moga cubaan tersebut dijauhi. Usaha untuk memajukan ekonomi ummah perlu berpanjangan.
Tambah lagi dalam keadaan semasa adalah menjadi satu tuntutan bagi sesebuah negara khususnya negara Islam seperti Malaysia berusaha untuk memajukan ekonomi negara bukan sekadar untuk menyelesaikan keperluan asasi rakyat tetapi hendaklah berusaha dengan penuh perancangan untuk mencapai taraf ekonomi maju yang mampu menghayati kemerdekaan bagi negara pada hakikat sebenar, dan seterusnya boleh mempengaruhi perjalanan arus baru dunia.Jika matlamat ini tidak di anggap sebagai suatu tuntutan pada masa ini, hakikat Islam tidak mungkin dapat dicapai dan dilaksana. Dalam era semasa dimana kuasa ekonomi sangat penting, pelaksanaan dan penghayatan Islam akan hanya dapat diwujudkan dari kedudukan kekuatan ekonomi umat Islam.
Masyarakat yang berakhlak dalam ertikata yang menyeluruh akan berperanan secara tulus dan membina dalam mencapai kemajuan negara terbabit. Umat Islam dengan itu perlu menguasai ilmu yang diperlui untuk mencapai kecemerlangan tesebut. Salah satu jurusan ilmu tersebut ialah ilmu ‘professional’. Menguasai ilmu tersebut akan memungkinkan umat Islam untuk mengurus negara dengan cekap dan cemerlang.
Mendidik ummah semoga memiliki pandangan hidup Islam yang berwawasan dan sentiasa berijtihad serta akhlak baik dan menguasai ilmu profesional semoga mampu mengendalikan urusan pentadbiran dan kemampuan membina kemampuan masyarakat, adalah tiga unsur yang sangat mendesak kepada keperluan ummah pada masa ini.
Mengikut pendekatan Islam, ketiga-tiga ciri – pandangan hidup yang sentiasa bermakna, akhlak yang tinggi dan ilmu profesional adalah tiga asas yang perlu digunapakai dalam aliran pendidikan. Oleh kerana aliran pendidikan semasa belum mengambil pendekatan tersebut, ketiga-tiga ciri tersebut perlu diberi keutamaan oleh umat Islam.
Dalam keadaan pesaingan yang hebat umat Islam harus dapat bersaing dengan masyarakat antarabangsa. Dunia makin bertambah kecil dan peranan sebaran media massa dunia maju mudah mempengaruhi dunia umat Islam. Dari gambaran yang sebegini kegagalan ummah menghadapi cabaran semasa akan meruncing kemajuan ummah itu sendiri. Ummah yang berwawasan serta berakhlak yang tinggi dan menguasai ilmu kepakaran di kalangan ahli masyarakat Islam akan mampu membina sebuah tamadun yang utuh yang akan menjadi garispanduan kepada zaman ini.